Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BICARA AGAMA

ARKIB : 09/01/2008
Program peningkatan ilmu Saudara Baru Perkim

Program peningkatan ilmu Saudara Baru Perkim


PARA perserta Program Peningkatan Ilmu Saudara Kita Peringkat Zon Tengah bersama urusetia dan moderator bergambar kenangan selepas menamatkan kursus tiga hari itu.


USAHA dakwah perlu dijalankan secara berterusan dan dipelbagaikan kaedahnya agar sesuai dengan perubahan semasa.

Sehubungan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan dan Perkim Selangor mengadakan program Peningkatan Ilmu Saudara Kita Peringkat Zon Tengah pada 14 hingga 16 Disember lalu.

Program tiga hari itu diadakan di Pusat Latihan Lakeview INMIND, Sungai Tinggi, Selangor dengan matlamat menyebarkan ilmu Islam kepada saudara baru.

Program itu disertai oleh 100 peserta daripada pelbagai kaum iaitu India, Cina, Orang Asli dan Filipina.

Ia diadakan khusus kepada saudara baru bagi menambahkan pengalaman dan pengetahuan untuk mempertingkatkan lagi kefahaman tentang Islam. Matlamatnya, supaya mereka mempraktikkan Islam sebagai cara hidup serta menjadi muslim dan muslimat yang soleh dan solehah.

Program-program direncanakan oleh sekumpulan moderator yang diketuai oleh Tasnim Mohd. Din.

Slot Pengalamanku paling digemari kerana semua peserta berpeluang mendengar pengalaman atau kisah menarik rakan-rakan dalam kenangan memeluk agama Islam.

Pengalaman yang baik menjadi teladan dan yang buruk menjadi sempadan. Pada masa yang sama, para peserta bertukar-tukar pendapat serta ilmu pengetahuan mengenai Islam.

Pada hari kedua acara sukan futsal dan bola jaring dijalankan bagi meningkatkan kecergasan mental dan fizikal para peserta.

Majlis Mini Tilawah 2007 turut diadakan di mana para peserta bersungguh-sungguh memperdengarkan bacaan al-Quran yang terbaik.

Johan Majlis Mini Tilawah ini disandang oleh Muhammad Arfat Rocky Marcel yang mewakili Perkim Wilayah Persekutuan.

Semangat

Bagi meniup semangat saudara baru berhadapan dengan masyarakat Islam, Shah Kirit Kakulal Govindji dijemput untuk berkongsi pengalaman melalui tajuk ceramahnya Sikap dan Jangkaan Saudara Kita Terhadap Islam.

Beliau menekankan agar semua peserta menerapkan nilai-nilai murni yang diajar dalam Islam terutama mengubah sikap yang tidak baik.

“Contohnya sikap atau percakapan yang kasar ditukar kepada sikap yang lemah lembut, saling menghormati sama ada kepada sesama Islam ataupun yang bukan Islam serta mengamalkan sikap bertolak ansur,” jelasnya.

Bagi menjelaskan lagi peranan sebagai saudara baru, Penolong Setiausaha Kehormat PERKIM Ann Wan Seng menyampaikan ceramah bertajuk Peranan Kita Sebagai Saudara Baru.

Selepas mengikuti ceramah dan beriadah, para peserta berpeluang mengemukakan kemusykilan tentang Islam pada hari ketiga program.

Mereka yang dijemput mengendalikan program itu ialah Imam Besar Masjid Kuala Selangor, Haslin Bahrin dan Mohd. Nicholas Slyvester Abdullah dari Jemaah Islah Malaysia (JIM).

Perasmian penutup majlis tersebut dilakukan oleh Naib Yang Dipertua Perkim Kebangsaan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi.

Majlis turut dimeriahkan dengan penyampaian anugerah Tokoh Pelajar Lelaki Terbaik kepada Muhammad Arfat Rocky Marcel dan Aminah Abdullah (Tokoh Pelajar Terbaik Wanita).

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN