VERSI : Mobile | Akhbar Digital
21 April 2014 / 21 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
BICARA AGAMA

ARKIB : 07/01/2008

Larangan duduk di atas kubur

Pada zaman permulaan Islam, syariat Islam telah melarang amalan menziarahi kubur. Ini bagi mengelakkan sebarang kepercayaan atau amalan-amalan karut yang diamalkan semasa zaman Jahiliah dilakukan semasa menziarahi kubur.

Tetapi setelah asas pemahaman akidah diterapkan oleh Rasulullah s.a.w, larangan ini telah dihapuskan.

Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Daripada Ali r.a berkata, bahawa Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya aku dahulu pernah melarang kamu daripada menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah kubur kerana ia dapat mengingatkan kamu akan akhirat”. (riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasai, Ibn Majah dan Ahmad).

Daripada Abu Said al-Khudri berkata, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya aku dahulu pernah melarang kamu daripada menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah ia kerana padanya ada pengajaran”. (riwayat Imam Ahmad).

Pengajaran

Jelaslah bahawa amalan menziarahi kubur ini dapat mengingatkan kita tentang kematian dan negeri akhirat yang padanya mempunyai pelbagai pengajaran dan menimbulkan keinsafan. Namun begitu, keizinan menziarahi kubur ini tetap juga tertakluk kepada beberapa adab dan peraturan lain yang perlu dipatuhi.

Ini kerana menziarahi kubur ini merupakan ibadah dan sesuatu ibadah yang dilakukan mestilah bersih dari segala unsur-unsur syirik, khurafat dan bidaah. Justeru, ia mesti dilakukan berpandukan peraturan yang telah ditetapkan oleh syariat.

Di antara larangan yang perlu diberi perhatian semasa kita menziarahi kubur atau mengkebumikan jenazah ialah tidak duduk di atas kubur.

Larangan ini berdasarkan kepada beberapa hadis Rasulullah. Antaranya ialah:

-Daripada Abu Hurairah r.a berkata, bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: Sekiranya seseorang kamu duduk di atas bara api yang membakar pakaiannya dan menyentuh dan menghanguskan kulitnya, lebih baik baginya daripada duduk di atas kubur. (riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasa'i, dan Ibn Majah, al-Baihaqi dan Ahmad)

-Daripada Abu Marthad al-Ghanawi berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda bermaksud: Jangan kamu sembahyang mengadap ke arah kubur, dan jangan kamu duduk di atasnya. (riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasa’i, al-Tirmizi)

Al-Imam al-Nawawi (w 676) ketika menghuraikan hadis-hadis ini mengatakan bahawa haram untuk duduk di atas kubur. (Rujuk: al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz (Beirut: Dar al-Ma’rifah, cet. 7, 2000), jil.7, hal.41).

Al-Mubarakfuri (w 1353) pula dalam Tuhfat al-Ahwazi, semasa menghuraikan hadis Abu Marthad al-Ghanawi mengatakan bahawa: “Hadis ini dalil yang menunjukkan haramnya duduk di atas kubur, dan inilah pendapat jumhur… dan ditegah segala sesuatu yang tidak terdapat panduannya daripada sunah, dan sesungguhnya apa yang ditunjukkan oleh sunah ialah menziarahi kubur dan berdoa di sisinya secara berdiri”. (al-Mubarakfuri, Tuhfat al-Ahwazi, Kitab al-Janaiz (Madinah: Maktabah al-Salafiyah, cet.2, 1965), jil. 4, hal, 153).

Al-Imam al-Syawkani (w 1255), di dalam Nail al-Awtar, menyebut bahawa hadis Abu Hurairah ini merupakan dalil yang menegah daripada duduk di atas kubur dan para jumhur berpendapat hukumnya adalah haram. (Rujuk: Al-Syawkani, Nail al-Awtar, Tahqiq: Anwar al-Baaz (al-Mansurah: Dar al-Wafa’, cet. 2, 2003), jil.3, hal.189)

Menurut al-Imam al-San’ani pula: “Di antara perkara yang menyakiti dan mengganggu mayat ialah duduk di atas kuburnya”. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Al-Hafiz Ibn Hajar berkata bahawa sanadnya sahih, iaitu hadis daripada Amru bin Hazm al-Ansari bahawa beliau berkata: Rasulullah s.a.w melihat aku duduk di atas kubur, lalu Baginda bersabda: “Jangan kamu ganggu dan sakiti penghuni kubur ini”.

Kemudian al-San’ani mendatangkan pula hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan Abu Marthad, lalu beliau memberikan pendapatnya: “Semua dalil ini membawa maksud haramnya duduk dan lalu di atas kubur, kerana hadis Nabi: Jangan kamu mengganggu penghuni kubur ini menunjukkan tegahan daripada mengganggu mayat orang mukmin dan menganggu dan menyakiti mukmin ini adalah haram berdasarkan nas al-Quran (bermaksud): Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata. (al-Ahzab: 58) (Rujuk: Al-San‘ani, Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, Tahqiq: Hazim Ali Bahjat al-Qadhi (Beirut: Dar al-Fikr, 2003), jil. 3, hal.573-574)

Sheikh Mohamad Soleh ibn al-‘Uthaimin ketika menghuraikan hadis tentang larangan duduk di atas kubur ini berkata: “Ini kerana di dalam kubur itu terdapat insan muslim yang perlu dihormati, dan perbuatan engkau duduk di atasnya merupakan suatu penghinaan baginya, maka sebab itulah Nabi s.a.w bersabda: “Sekiranya salah seorang di antara kamu duduk di atas bara api yang membakar pakaiannya dan menyentuh serta menghanguskan kulitnya, lebih baik baginya daripada duduk di atas kubur, dan ini menunjukkan bahawa hukumnya adalah haram”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin, Tahqiq: Muhamad Muhamad Tamir (Kaherah: Dar al-A'nan, cet. 1, 2002), jil.4, hal. 320)

Kesimpulannya, amalan menziarahi kubur adalah suatu yang dituntut dan dianjurkan oleh Islam kerana ia dapat mengingatkan kita dengan kematian yang semestinya akan dihadapi oleh setiap insan.

Namun begitu, adab-adab dan larangan ketika berada di kawasan perkuburan mestilah dijaga dan diberi perhatian agar ibadah yang kita lakukan ini tidak dicemari oleh perkara-perkara yang ditegah. Sentiasalah kita menjadikan al-Quran dan sunah Rasulullah ini sebagai panduan agar kehidupan kita di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat di bawah rahmat dan naungan Tuhan.

* Abd. Razak Abd. Muthalib adalah pelajar sarjana Kulliyah Ilmu Wahyu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:15
Asar 4:28
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.