VERSI : Mobile | Akhbar Digital
1 Ogos 2014 / 5 Syawal 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 05/01/2008

Kejutan lonjakan harga minyak dunia


HARGA minyak yang dipamerkan di stesen-stesen minyak di New Jersey kelmarin. Harga minyak dunia mencatatkan rekod tertinggi AS$100 setong Khamis lalu. – AFP.


PERMINTAAN dan penggunaan minyak mentah yang kekal tinggi di sebalik lonjakan harganya hampir 100 peratus lebih tinggi berbanding Januari 2007, menunjukkan bahawa masyarakat dunia pada masa ini mengalami ketagihan kronik terhadap emas hitam itu.

Senario itu merupakan antara penyebab utama harga penanda aras minyak mentah global iaitu ‘Light Sweet’ di pasaran hadapan New York Merchantile Exchange (NYMEX) Amerika Syarikat (AS) naik melepasi paras halangan psikologi AS$100 kelmarin, sebelum susut sedikit ke paras AS$99.69 setong.

Ketua Ekonomi Agensi Tenaga Antarabangsa, Fatih Birol pada Oktober lalu berkata, harga minyak global akan kekal tinggi dalam tempoh sederhana ekoran permintaan tinggi daripada ekonomi-ekonomi yang sedang pesat berkembang seperti China dan India.

Menurut IEA, purata penggunaan minyak mentah global pada tahun ini adalah sebanyak 87.61 juta tong sehari, meningkat daripada 86.03 juta tong pada tahun lepas.

Berdasarkan pengiraan itu, masyarakat global pada 2008 akan menggunakan sejumlah 1,014 juta tong minyak mentah pada setiap saat atau 3.65 juta tong dalam sejam. Angka tersebut meningkat berbanding purata penggunaan pada tahun lalu iaitu sebanyak 996 tong sesaat atau 3.58 juta tong sejam.

Penggunaan komoditi tersebut pada tahun ini juga dijangka melebihi pengeluaran, sama seperti pada tahun lalu dengan masyarakat global menggunakan minyak simpanan sebanyak 90,000 tong sehari berbanding 920,000 tong sehari pada tahun lepas.

Secara umumnya, semua pihak maklum bahawa faktor-faktor geopolitik dunia seperti serangan pengganas, ketegangan berterusan di Asia Barat dan keadaan ketidaktentuan cuaca global, mendorong kepada peningkatan harga minyak, berikutan kekurangan bekalan.

Namun begitu, terdapat tekanan-tekanan bercorak fundamental yang sebenarnya menyebabkan kenaikan harga bahan api itu untuk jangka panjang.

Tekanan tersebut termasuk perkembangan pesat di negara-negara Asia; penurunan pengeluaran hingga empat peratus daripada lapangan-lapangan minyak yang sedia ada dan peningkatan keperluan di negara-negara pengeksport minyak itu sendiri.

Negara-negara pengeksport minyak kini lebih memberi fokus kepada penggunaan dalam negara ekoran peningkatan permintaan dan keperluan domestik.

Sebagai contoh, Indonesia, walaupun sebuah negara pengeluar minyak yang menganggotai Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), tetapi terpaksa mengimport bahan api tersebut berikutan meningkatnya permintaan terhadap komoditi itu bagi keperluan domestik.

Selain itu, negara pengeksport minyak seperti Mexico dijangka mengalami masalah sama seperti Indonesia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sementara itu, peneraju perbankan di Amerika Utara, Canadian Imperior Bank of Commerce (CIBC) dalam laporan penyelidikannya, baru-baru ini melaporkan bahawa negara-negara seperti Rusia, Mexico dan anggota-anggota OPEC akan menurunkan eksport minyak mentah sehingga 2.5 juta tong sehari menjelang 2010.

Jumlah itu adalah hampir menyamai simpanan minyak global ketika ini iaitu sebanyak 2.536 juta tong sehari.

Selain itu, kejatuhan nilai dolar AS berbanding mata wang utama seperti euro dan yen juga turut mempengaruhi peningkatan harga minyak. Oleh kerana sebahagian besar minyak mentah didagangkan dalam dolar AS, akan menyebab harga bahan api itu turut meningkat.

Dasar kewangan AS yang memilih untuk mengekalkan polisi dolar lemah untuk membendung krisis subprima telah memburukkan lagi suasana.

Jika dolar dijangka terus susut, negara-negara pengeksport minyak sudah tentu enggan menambah pengeluaran kerana mereka dibayar dengan mata wang yang rendah nilainya.

Disebabkan perkara tersebut juga, ada kemungkinan negara-negara pengeksport minyak seperti Iran, Venezuela dan Rusia akan beralih secara sepenuhnya daripada menggunakan dolar AS dalam urus niaga minyak kepada mata wang lain yang lebih kukuh seperti yen dan euro.

Berdasarkan faktor-faktor tersebut, agensi-agensi industri petroleum dan syarikat-syarikat kewangan terkemuka dunia mula mencongak tentang harga purata minyak mentah global pada tahun ini berbanding harga purata komoditi tersebut pada tahun lalu iaitu AS$71.70 (RM240.09) setong.

Goldman Sachs menjangka harga purata minyak mentah bagi tahun ini akan berada pada paras AS$95 (RM318) setong, Merill Lynch pula berkata, harga purata komoditi itu adalah pada paras AS$105 (RM351.60) setong, sementara Lehman Brother Holdings meramalkan harga minyak akan berada pada paras AS$84 (RM281.28) setong dan kerajaan Arab Saudi menjangkakan harganya berada pada paras AS$75 (RM251.44) setong.

Jika dilihat pergerakan harga pada tahun-tahun sebelum ini, harga minyak mentah di NYMEX adalah sekitar AS$11 setong pada awal tahun 2000 dan di bawah paras AS$25 setong pada September 2003.

Namun begitu, pada Ogos 2005 harga minyak meningkat melebihi AS$60 setong dan sepanjang tahun 2006, harga bahan api itu mengalami kadar turun naik yang tinggi iaitu antara AS$50 hingga AS$60 setong, sebelum naik secara berperingkat pada tahun lalu.

Pada Oktober 2007, harga komoditi itu mencecah AS$92 setong dan AS$99.29 setong pada Disember, sebelum merekodkan paras tertinggi AS$100 setong pada 2 Januari lalu.

Menurut penganalisis-penganalisis petroleum global, nilai minyak mentah semasa adalah bersamaan dengan harganya pada tahun 1980, jika diambil kira kadar inflasi.

Perkara ini telah menimbulkan kebimbangan penganalisis kerana setiap kali berhadapan dengan kejutan harga minyak, ia akan disusuli dengan kemelesetan ekonomi global seperti yang berlaku pada tahun 1980 dan 1973 lalu.

Walaupun masyarakat global akan menerima kesan sama ada secara langsung atau tidak langsung dari segi kenaikan kadar inflasi, penurunan perbelanjaan pengguna, pengurangan pengeluaran oleh industri dan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan, akibat kejutan lonjakan harga minyak, namun negara yang paling teruk akan terjejas adalah Amerika Syarikat.

Ini adalah kerana AS merupakan pengguna minyak mentah yang terbesar di dunia walaupun import komoditi itu oleh China semakin meningkat dan dijangka akan menyamai AS menjelang 2012.

Amerika ketika ini menggunakan sehingga 25 peratus keluaran minyak mentah dunia walaupun penduduknya mewakili hanya lima peratus daripada penduduk global.

Lanjutan daripada penurunan pengeluaran minyak mentah domestik dan peningkatan permintaan, dianggarkan dua pertiga daripada jumlah penggunaan minyak oleh AS diimport dari negara luar.

Ketagihan kepada minyak mentah ini menyebabkan AS terdedah kepada sebarang gangguan pengeluaran dan peningkatan harga komoditi itu.

Kenaikan tinggi harga minyak juga akan menyebabkan masyarakat global lebih berdisiplin dan menghargai penggunaan bahan tersebut.

Pengguna global dan kilang-kilang akan mencari jalan untuk menggunakan bahan tersebut dengan lebih cekap bagi mengelak pembaziran menerusi pembangunan teknologi yang lebih cekap serta inovasi sumber tenaga alternatif.

Pakar-pakar ekonomi global berkata, ketika ini telah terdapat tanda-tanda bahawa sumber-sumber tenaga alternatif seperti arang batu, gas asli cecair (LNG) dan biofuel mula digunakan secara meluas.

Sebagai contoh, China dan India sedang meningkatkan perbelanjaan dan pelaburan dalam kemudahan pengeluaran gas asli dan arang batu.

Nigeria pula telah mula menggunakan kaedah pembakaran gas asli untuk menjana elektrik berbanding pembakaran minyak sebelum ini. Sementara itu, Brazil telah menggubal dasar penggunaan kenderaan hibrid yang menggunakan biofuel, manakala Thailand, Vietnam dan Indonesia bercadang untuk membangun kemudahan nuklear bagi menjana tenaga elektrik dalam tempoh dua dekad akan datang.

Peralihan tersebut dibuat kerana masyarakat global mula menyedari bahawa lebih daripada 50 peratus daripada penggunaan minyak mentah adalah bukan untuk aktiviti pengangkutan, tetapi lebih kepada penjanaan elektrik, perkilangan dan sebagainya.

Aktiviti-aktiviti tersebut dilihat boleh dijalankan dengan menggunakan bahan api alternatif yang lebih murah berbanding minyak mentah.

Kenaikan harga minyak mentah juga telah menyebabkan masyarakat global lebih berhati-hati membeli kenderaan dan lebih memilih untuk menggunakan kenderaan awam.

Jualan kenderaan ekonomi berkapasiti kecil seperti Daihatsu serta kenderaan hibrid seperti Toyota Prius dan Honda Civic Hybrid telah meningkat disebabkan penggunaan minyak yang lebih cekap.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:22
Asar 4:43
Maghrib 7:30
Isyak 8:42

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.