|
SEORANG ahli politik di sebuah negara Barat ketika ingin menggantikan rakannya yang berhenti daripada satu jawatan parti yang sangat penting telah mengumumkan mengenai perhubungan sulit yang dijalinkan tujuh tahun lalu.
Beliau menjelaskan pendedahan itu bertujuan memberhentikan sebarang gangguan kehidupan peribadinya (apabila beliau menjawat jawatan tertinggi parti) terutamanya daripada pihak media dan musuh-musuh politiknya.
Hasil pendedahan tersebut, timbulnya reaksi yang berbaur menyokong dan lebih banyak menentang.
Kumpulan yang melihat pendedahan ahli politik tersebut sebagai memalukan berpendirian bahawa seorang pemimpin perlu menunjukkan contoh terbaik kepada orang ramai.
Reaksi lain yang diterima ialah mengenai kewibawaan pemimpin yang mengatakan sekiranya seseorang menipu dalam satu perkara, bagaimana dia tidak akan menipu dalam perkara-perkara lain. Dalam konteks ini, ahli politik itu telah menipu dalam perhubungan dalam perkahwinannya, terutama sekali kepada isterinya.
Pandangan lain yang menentang keras perhubungan sulit pemimpin tersebut ialah masyarakat mengharapkan yang terbaik daripada seorang pemimpin. Terlalu banyak permasalahan sosial yang berlaku dan masyarakat mengharapkan pemimpin akan membimbing pengundinya untuk tidak menambah lagi permasalahan sosial. Pendek kata, seorang pemimpin perlu menunjukkan contoh teladan yang baik.
Kejujuran, berintegriti dan mempunyai standard moral yang tinggi adalah antara peranan yang perlu dimainkan oleh ahli politik atau pemimpin.
Ahli politik tidak lagi mempunyai kehidupan peribadi sebaik sahaja beliau ingin bergiat dalam bidang politik yang penuh dengan ranjau. Apabila sahaja bergelar ahli politik, beliau telah mengambil keputusan untuk bertanggungjawab kepada masyarakatnya.
Satu pandangan menarik yang diutarakan berkaitan dengan pendedahan ahli politik tersebut ialah ciri-ciri peribadi yang perlu ada pada seorang ahli politik sepatutnya juga wujud pada profesion lain iaitu mempunyai integriti, jujur dan mempunyai keinginan untuk menerima kritikan.
Pendapat ini juga mengatakan kehidupan peribadi seorang pemimpin tidak wajar menjadi tontonan masyarakat umum. Bagaimanapun apabila ia melibatkan persoalan moral, ia akan memberi kesan apabila rakyat turun mengundi.
Seperti mana yang dikatakan, reaksi pendedahan perhubungan sulit ahli politik tersebut tidak kecuali daripada mendapat sokongan. Mengikut pandangan yang menyokong pendedahan ini ialah kehidupan peribadi seseorang adalah tidak penting. Apa yang penting ialah keupayaan, kebolehan dan komitmennya untuk memimpin.
Seorang ahli politik adalah manusia biasa yang melakukan kesilapan. Kesilapan yang dilakukan perlu dimaafkan.
Apa yang lebih penting ialah tugas yang dilakukan sebagai seorang pemimpin bukannya perkara-perkara peribadi yang dilakukan di luar tugasnya.
Pandangan lain yang menyokong pula menyalahkan media yang dikatakan suka mendedahkan perkara-perkara peribadi orang-orang yang terkenal.
Menurut kumpulan itu, setiap kali kehidupan peribadi orang terkenal didedahkan, hak individu telah diganggu.
Tentunya banyak lagi elemen yang perlu diambil kira mengenai tingkah laku yang tidak bermoral sama ada oleh seorang pemimpin mahupun individu lain. Dalam agama, perbuatan yang terlarang tetap berdosa tanpa mengira status individu. Ia tetap tidak boleh diterima.
Dalam politik pula, nama baik parti perlu dijaga. Begitu juga, parti tidak mahu sesuatu isu yang timbul dijadikan sebagai modal untuk memburukkan parti oleh pihak pembangkang ataupun musuh-musuh politik dalam partinya sendiri.
Seorang ahli politik bukan bergerak secara vakum. Ia membawa bersama-sama nama baik parti yang diwakilinya. Apatah lagi jika beliau memegang jawatan kanan dalam partinya.
Rakyat tentunya akan memikirkan sama ada wajar memangkah calon yang dilihat sebagai telah melakukan satu kesilapan. Persepsi negatif yang sudah terpahat dalam minda akan menyumbang kepada siapakah yang akan dipangkah apabila mengundi.
Amanat kepada ahli politik dan pemimpin mengenai kehidupan peribadi mereka ialah rakyat mengharapkan integriti penuh daripada mereka. Ini termasuklah kejujuran dalam perkahwinan mereka.
- DR. SAPORA SIPON ialah Pensyarah Kanan Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.
IKLAN@UTUSAN
|