|
Pendapat
IZINKAN saya merujuk laporan akhbar tentang usaha Sidang Injil Borneo berhubung larangan kerajaan terhadap mengimport bahan terbitan Kristian yang mengandungi perkataan Allah seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Sun keluaran 28 Disember 2007.
Mengikut laporan akhbar tersebut, Sidang Injil Borneo berpendapat mereka mempunyai hak dari segi Perlembagaan negara untuk menggunakan istilah Allah dalam semua bahan terbitan agama mereka.
Sidang Injil Borneo memperakukan bahawa bumiputera beragama Kristian di Sabah yang menggunakan bahasa Malaysia telah lama menggunakan perkataan Allah. Terjemahan kitab Injil dalam bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia juga telah menggunakan perkataan Allah sebagai suatu istilah untuk Tuhan.
Perkataan Allah juga telah digunakan dalam kitab Injil Arab kuno dan juga kitab Injil Arab baru yang telah dan sedang digunakan oleh orang Arab sejak zaman dahulu hingga sekarang seperti di Mesir, Lebanon, Iraq dan Afrika.
Saya percaya ahli Sidang Injil Borneo adalah penganut agama Kristian Roman Katolik.
Sidang Injil Borneo diharap menjawab persoalan berikut secara jujur bagi manfaat semua rakyat Malaysia yang beragama Islam dan juga penganut Kristian.
Oleh kerana Sidang Injil Borneo telah merujuk penggunaan perkataan Allah oleh penganut Kristian di negara Arab bagi menguatkan alasan dan hujah mereka, maka saya ingin membuat sedikit pemerhatian berhubung kewajaran yang ingin ditimbulkan oleh Sidang Injil Borneo.
Adalah diketahui umum bahawa terdapat perbezaan tentang konsep ketuhanan dalam agama Kristian yang diamalkan oleh penganut Kristian Roman Katolik seperti yang diamalkan di negara Barat dengan konsep ketuhanan dalam agama Kristian seperti yang diamalkan oleh penganut agama Kristian di negara Arab.
Kebanyakan penganut Kristian di negara Arab adalah mengamalkan agama Kristian Timur (Eastern Church) yang berpusat di Iskandariah. Penganut Kristian Arab ini berpegang kepada konsep Unity iaitu tentang konsep ketuhanan bahawa Tuhan itu adalah yang Satu iaitu yang Esa.
Dalam Unity, kefahaman ketuhanan adalah Allah itu tidak mempunyai ciri Bapa, Anak dan Hantu Suci (Father, Son and Holy Ghost). Konsep Tuhan yang Satu ini yang digelar Unity adalah selari dengan konsep Allah yang Esa seperti yang dianuti oleh orang Islam.
Dalam konteks ini, penggunaan istilah Allah yang digunakan oleh penganut agama Kristian Timur tidak bercanggah dengan istilah Allah yang digunakan oleh umat Islam. Tiada pertentangan yang berlaku dalam hal ini.
Akan tetapi, penganut Roman Katolik tidak mempercayai konsep Unity ini. Mereka berpegang kepada konsep Trinity iaitu konsep tiga personaliti dalam satu sifat ketuhanan (the union of three persons - Father, Son, and Holy Ghost in one Godhead). Iaitu konsep the threefold personality of the one Divine Being.
Dalam konteks ini, penggunaan perkataan Allah oleh penganut agama Roman Katolik adalah berkonsepkan bahawa Allah itu bersifat Trinity dan ini bertentangan dengan pegangan agama Islam. Dalam Islam, Allah itu adalah Esa. Allah dalam Islam tidak mempunyai sifat Bapa, Anak dan Hantu Suci. Inilah yang menjadi pertentangan.
Natijahnya, pengertian Allah dalam Roman Katolik adalah berbeza dengan pengertian Allah dalam Islam.
Justeru, jika tuntutan Sidang Injil Borneo dibenarkan untuk mengguna pakai istilah Allah dalam penerbitan mereka dalam bahasa Malaysia, maka akan wujud kekeliruan yang amat sangat di mana pengertian istilah Allah dalam Islam ialah Allah yang Esa manakala pengertian Allah dalam Roman Katolik ialah Allah yang Trinity. Ini sangat sensitif.
Saya percaya orang Islam tidak akan mengizinkan perkara ini berlaku.
Jika Sidang Injil Borneo masih mahu menggunakan istilah Allah dalam penerbitan berbahasa Malaysia mereka, konsep Allah yang mereka gunakan perlu selari dengan makna dan fahaman konsep ketuhanan orang Islam iaitu Allah itu Esa iaitu Allah tidak mempunyai sifat Bapa, tidak mempunyai Anak dan tiada sifat Hantu Suci.
Dengan lain perkataan, untuk membolehkan Sidang Injil Borneo menggunakan istilah Allah dalam bahan penerbitan agama, mereka perlu menggugurkan kepercayaan dan kefahaman Trinity mereka dan menggantikannya dengan konsep Unity seperti yang diamalkan oleh penganut Kristian Timur di negara Arab yang berpusat di Iskandariah itu.
Untuk pengetahuan ahli Sidang Injil Borneo, umat Islam adalah wajib menerima dan mempercayai akan kesemua Rasul dan Nabi Allah daripada Nabi Adam sehinggalah Nabi Muhammad s.a.w. serta akan semua kitab-kitab-Nya. Ini termasuklah Nabi Isa Al-Masih (Jesus Christ) dan kitab suci Injil.
Para Nabi, Rasul dan kitab-kitab suci ini memberitahu kita bahawa hanya terdapat Satu Jalan yang Benar, iaitu Allah yang Esa.
Semoga Allah membuka pintu hati kita melihat satu jalan yang benar ini.
– JOHARI SHAMSUDIN,
Kuala Lumpur.
IKLAN@UTUSAN
|