|
KUALA LUMPUR 30 Dis. – Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd., Datuk Tony Fernandes bercadang menubuhkan sebuah entiti baru bagi menyelaraskan pengurusan atau sebagai pemegang pelaburan anak-anak syarikatnya yang semakin pesat berkembang.
Beliau berkata, syarikat baru itu akan dikenali sebagai Tune Group yang merupakan syarikat induk bagi kumpulan Tune.
“Apabila ditubuhkan, semua syarikat Tune termasuk Tune Money Sdn. Bhd., Tune Hotels Sdn. Bhd., Tune Talk Sdn. Bhd. dan Tune Entertainment Sdn. Bhd. akan dikumpulkan di bawah Tune Group,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.
Fernandes ketika ini menguasai syarikat-syarikat tersebut menerusi Tune Ventures Sdn. Bhd.
Selepas kejayaan dalam bidang pengangkutan udara menerusi AirAsia Bhd. dan AirAsia-X serta bidang perhotelan, kewangan, komunikasi, penerbitan filem melalui Tune Hotels, Tune Money, Tune Talk dan Tune Entertainment, Fernandes kini bercadang untuk membuka dua lagi syarikat baru iaitu Tune Store dan Tune Records.
“Tune Store adalah berkonsep pasar raya runcit sederhana, hampir sama seperti pasar raya Parkson, yang akan dibuka di bandar-bandar kecil seperti di Miri, Sitiawan dan bandar-bandar lain.
“Kami juga bercadang membuka syarikat rakaman iaitu Tune Records bagi meneroka industri muzik,” kata bekas Ketua Warners Music Malaysia itu.
Mengulas mengenai perkembangan terbaru Tune Hotels, Fernandes berkata, pihaknya dijangka membuka sebuah lagi hotel bajet di Bali, Indonesia menjelang pertengahan tahun depan.
“Hotel kami di Pantai Kuta, Bali dijangka beroperasi pada pertengahan 2008 manakala sebuah lagi yang sedang dalam pembinaan berhampiran Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) KLIA dijangka siap menjelang hujung tahun 2008.
“Ketika ini sebuah hotel kami di Kuala Lumpur yang telah beroperasi pada April lalu telah berjaya mencatat keuntungan lebih cepat daripada jangkaan,” katanya.
Sementara itu, hotel di Kota Kinabalu akan dibuka menjelang April depan dan sebuah lagi dirancang dibuka di Jalan Burmah, Pulau Pinang, katanya.
Selain itu, Tune Talk pula dijangka mula menawarkan perkhidmatan telefon mudah alih menerusi pendekatan Operator Sistem Rangkaian Mudah Alih Maya (MVNO) pada awal tahun depan.
Fernandes berkata, pendekatan sebegitu akan memberi kelebihan dari aspek kapasiti sistem rangkaian yang dimiliki syarikat telekomunikasi sedia ada pada harga borong dan kemudian menggunakan kapasiti itu bagi menawarkan perkhidmatan telefon bimbit menggunakan jenamanya sendiri.
Tune Talk tidak perlu memiliki lesen bagi spektrum penyiaran dan melabur bagi membina stesen pemancar, katanya.
Pada 4 Disember lalu, syarikat itu telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Celcom (Malaysia) Bhd. bagi melaksanakan pendekatan MVNO itu.
Selain di Malaysia, syarikat itu difahamkan turut berhasrat mengembangkan perkhidmatannya ke negara-negara ASEAN lain seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina.
Beliau berkata, perkhidmatan yang bakal ditawarkan Tune Talk itu akan dapat memberikan tambah nilai kepada pelanggan AirAsia, Tune Money dan Tune Hotels serta syarikat-syarikat Tune yang lain.
Sebuah lagi syarikat dalam kumpulan tersebut iaitu Tune Entertainments baru-baru ini telah mengadakan kerjasama penerbitan filem dengan Tall Order Productions Sdn. Bhd. yang dimiliki oleh pelakon Hans Isaac untuk menerbit filem sulung arahannya iaitu Cuci.
IKLAN@UTUSAN
|