Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 27/12/2007
15 belia selatan Thailand tamat kursus GiatMara

15 belia selatan Thailand tamat kursus GiatMara

KUALA LUMPUR 26 Dis. – Seramai 15 orang belia Selatan Thailand berjaya menamatkan kursus Program Latihan Kemahiran GiatMara sesi kedua di beberapa pusat GiatMara berhampiran sempadan Thailand-Malaysia.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Nam Marthinin berkata, program jalinan kerjasama antara Thailand dan Malaysia itu berperanan menyediakan latihan kemahiran teknikal kepada belia dari Selatan Thailand.

Katanya, program itu membantu belia berkenaan meningkatkan taraf hidup dengan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan atau mendapat pekerjaan berasaskan kemahiran yang diperoleh.

“Mereka dipilih melalui satu proses temuduga yang dijalankan oleh GiatMara dan pihak Thailand dengan kerjasama Kedutaan Malaysia dan pejabat wakil konsul Malaysia di Songkhla, Thailand.

“Kita yakin belia yang terpilih ini bukan sahaja berminat dalam program ini malah bersedia untuk memperbaiki diri dan meningkatkan ilmu masing-masing,” katanya dalam ucapan pada Majlis Penyampaian Sijil Pelatih GiatMara Selatan Thailand di Ibu Pejabat Mara di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Hasan Nudin Yeop.

Turut hadir dalam majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Meriam Abd. Majid dan wakil Duta Thailand di Malaysia, Kanyanat Tajak.

Program itu dilaksanakan atas inisiatif Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Sesi pertama bagi program selama enam bulan itu bermula Januari lalu dan merangkumi kursus Fabrikasi Logam, Membuat Perabot, Teknologi Bangunan dan Membuat Pakaian.

Pusat-pusat GiatMara (PGM) terbabit terletak di Padang Besar, Perlis; Jitra, Kedah; Pasir Putih dan Tumpat, Kelantan.

Sementara itu, Rosnannee Hedmad, 22, yang mengambil kursus jahitan di PGM Padang Besar berkata, dia akan berusaha membuka perniagaan dalam bidang yang diceburinya selepas tamat pengajian.

“Buat masa ini, saya hanya boleh mengambil tempahan untuk menjahit baju tetapi dengan sokongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan, saya yakin dapat membuka kedai sendiri,” katanya.

Seorang pelatih kursus Kimpalan pada tahap II di PGM Jitra, Ekkalak Lamlaeh, 20, yang mempunyai minat yang mendalam dalam kursus itu berharap dapat menyambungkan kursus itu bagi meningkatkan kemahiran yang sedia ada.

“Walaupun orang ramai berpendapat kerjaya ini kerja ‘orang kuli’, namun saya berasa bidang ini mempunyai keunikan yang tersendiri.

“Selain itu, permintaan terhadap pengimpal di tempat asal saya adalah tinggi dan saya tidak mahu kemahiran disia-siakan begitu sahaja,” kata belia yang berasal dari Songkhla itu.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN