Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BICARA AGAMA

ARKIB : 27/12/2007
ABIM gerakkan misi bantuan banjir

ABIM gerakkan misi bantuan banjir

Banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia baru-baru ini meninggalkan kesan yang mendalam kepada penduduk terlibat.

Kesan itu bukan sahaja dari segi fizikal seperti kemusnahan harta benda termasuk ternakan tetapi ia juga meninggalkan kesan psikologi terutama di kawasan yang kerap dilanda banjir.

Sehubungan itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Global Peace Mission (GPM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bergabung dalam misi bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa banjir di Segamat, Johor pada 15 dan 16 Disember lalu.

Misi itu diketuai oleh Shirajuddin Sirat bersama lima lagi anggota terdiri daripada Dr. Sitti Sulhoon Ali, Dr. Azlina Mazzita Muhd. Mokhtar, Ahmad Abdul Jalil Mohd. Razali, Raja Zahanizah Raja Alang Hassan dan Mohd. Shazni Abdullah.

Misi ini memberikan khidmat pemeriksaan kesihatan, kaunseling, khidmat nasihat dan program ramah mesra bersama kanak-kanak.

Seramai 90 pesakit daripada lima kampung mendapat rawatan kesihatan oleh pasukan ini. Pemeriksaan kesihatan, khidmat nasihat dan kaunseling serta program bersama kanak-kanak itu dijalankan di Pusat Penempatan Mangsa Banjir di Kampung Gemereh 4, Kampung Pogoh 2, Kampung Kuala Paya, Kampung Bukit Pupuk dan Kampung Mentaus.

Pasukan ini mendapat bantuan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) yang menyediakan bot ke Kampung Bukit Pupus dan Kampung Mentaus kerana perjalanan darat ke kedua-dua kampung tersebut telah terputus akibat dinaiki air.

Hasil pemeriksaan oleh doktor daripada pasukan ini di Kampung Bukit Pupus, seorang wanita warga emas berumur 70 tahun telah dikejarkan ke hospital oleh JPA3 kerana kegagalan jantungnya berfungsi dengan baik.

Penyakit yang dihidapi oleh kebanyakan mangsa banjir adalah seperti gatal-gatal kulit, demam, batuk dan selesema.

Sepanjang ahli-ahli misi berada di lokasi bencana banjir, pihak ABIM Daerah Segamat selaku tuan rumah dengan penyelarasan bersama ABIM Negeri Johor telah membantu menyediakan segala keperluan logistik dan mengadakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan serta lain-lain aktiviti kepada mangsa banjir.

Kerjasama yang erat dan bantuan daripada Jawatankuasa Bantuan Banjir setempat serta JPA3 dalam melicinkan operasi bantuan kemanusiaan ini adalah amat baik.

Pihak ABIM, GPM dan PKPIM sangat mengharapkan agar semua pihak memainkan peranannya masing-masing bagi membantu dan meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir di Malaysia ketika ini.

Projek bantuan banjir ini diketuai oleh Ketua Biro Kesihatan ABIM, Dr. Saifullah al-Hany.

Dalam perkembangan berkaitan, pasukan dalam misi kedua Bantuan Mangsa Banjir digerakkan ke kawasan Mukim Penor, Kuantan, Pahang pada 22 Disember lalu.

Misi kali ini menumpukan kepada bantuan keperluan asas seperti selimut, makanan kering dan beras. Ia dikoordinasi oleh Sekretariat ABIM Pahang yang diketuai oleh Setiausaha ABIM Pahang, Muhammad Hisyamuddin Baharuddin.

Misi ketiga akan digerakkan oleh pasukan perubatan dari Kuala Lumpur yang diketuai oleh Dr. Saifulah al-Hany pada 28 Disember ini.

Dalam kempen ‘Tangan Dihulur, Bakti Ditabur’, segala bentuk sumbangan atau bantuan boleh dimaklumkan kepada pasukan sekretariat banjir diketuai oleh Dr. Saifullah melalui talian 016-6186514 dan Muiz Abdul Samad di talian 017-4712249.

Antara keperluan yang penting selain bantuan kewangan ialah selimut, tuala, lampin pakai buang bayi, susu, beras dan air mineral.

Sumbangan juga boleh disalurkan di Anjung Rahmat, Batu 6, Jalan Gombak, 53100, Kuala Lumpur atau boleh menghubungi pejabat ABIM Negeri Pahang dan ABIM Negeri Kelantan 09-7730026.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN