|
SHAH ALAM 14 Dis. – Kos pembinaan landasan kereta api berkembar dari Ipoh, Perak ke Padang Besar, Perlis telah meningkat kepada RM12.5 bilion berbanding RM8 bilion yang disasarkan empat tahun lalu.
Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Bhd. (Gamuda), Datuk Lin Yun Ling berkata, ini disebabkan oleh kenaikan harga bahan mentah seperti minyak dan bahan binaan yang berlipat kali ganda.
Jelasnya, harga kepingan keluli telah meningkat 800 peratus, diesel (200 peratus) dan tembaga sebanyak 300 peratus.
‘‘Jadi adalah tidak menghairankan sekiranya projek ini dahulu yang dijangka bernilai RM8 bilion, tetapi kini telah meningkat kepada RM12.5 bilion,’’ katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan Gamuda, di sini hari ini.
Pada Jun lalu, kerajaan telah meluluskan cadangan Gamuda dan rakan kongsi perniagaannya MMC Corp. Bhd. untuk membina landasan berkembar sepanjang 330 kilometer itu.
Gamuda-MMC telah diberikan projek yang sama empat tahun lepas sebelum kerajaan membekukan projek itu.
Menurutnya, Gamuda-MMC akan melaksanakan 20 peratus daripada kerja projek itu dan bakinya menerusi penyumberan luar.
Yun Ling menjelaskan bahawa, projek itu memerlukan bahan mentah yang banyak , termasuk kepingan keluli lebih daripada 400,000 tan bernilai lebih RM1 bilion, serta, lebih dua juta keping konkrit pra tuang bernilai lebih RM800 juta.
Projek itu telah melantik jururunding tunggal untuk mereka bentuk dan menyelaras projek, 32 firma jururunding kejuruteraan awam, dan 16 firma bagi kerja ukur dan siasatan tanah membabitkan kos keseluruhan kira-kira RM400 juta, katanya.
‘‘Projek ini akan menawarkan kira-kira 108,000 peluang pekerjaan termasuk 5,000 pekerja profesional, operator kilang (15,000), pemandu lori (16,000) dan pekerja mahir serta tidak mahir seramai 60,000 orang,’’ jelasnya
IKLAN@UTUSAN
|