|
![]() |
|
Haidar Mohamed Noor. |
PUTRAJAYA 12 Dis. – Enam anggota Suruhanjaya Diraja yang diumumkan hari ini bagi menyiasat kes klip video memaparkan imej seorang dikatakan peguam sedang berbual menerusi telefon mengenai pelantikan hakim, diberi waktu tiga bulan untuk menyiapkan siasatan.
Suruhanjaya Diraja itu yang dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor akan menyiasat dan menentukan kesahihan rakaman klip video, mengenal pasti identiti orang yang terdapat dalam klip video tersebut dan kepada siapa dia sedang bercakap serta orang yang disebut dalam perbualan itu.
Lima anggota lain suruhanjaya itu ialah bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar, bekas Peguam Cara Negara, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh, ahli sejarah, Prof. Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim dan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, sebagai setiausaha suruhanjaya.
Haidar dan Mahadev merupakan anggota panel khas yang menyiasat kesahihan klip video tersebut yang ditubuhkan pada 25 September lalu selain aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini berkata, pelantikan Haidar bersama lima ahli itu berkuat kuasa hari ini.
Menurut kenyataan itu, tugas lain suruhanjaya tersebut ialah menyiasat dan menentukan kebenaran isi kandungan percakapan dalam klip video tersebut, menentukan sama ada terdapat apa-apa salah laku oleh mereka yang dikenal pasti atau disebut dalam klip video tersebut.
‘‘Suruhanjaya itu juga perlu mengesyorkan tindakan yang sesuai untuk diambil terhadap orang atau orang-orang yang dikenal pasti atau disebut dalam klip video itu sekiranya didapati telah melakukan sebarang salah laku,’’ katanya.
Kenyataan itu menjelaskan, Suruhanjaya Diraja tersebut perlu menyiapkan siasatan dan mengemukakan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa tiga bulan mulai hari ini.
‘‘Jemaah menteri yang bermesyuarat pada 5 Disember lalu telah berbincang dan bersetuju dengan keanggotaan suruhanjaya itu, bidang tugas dan tempoh siasatan.
‘‘Perkara-perkara tersebut disembahkan untuk perkenan Seri Paduka dan Seri Paduka telah memperkenankan penubuhan suruhanjaya itu di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119),” kata kenyataan itu.
Panel khas dipengerusikan oleh Haidar yang diberi tempoh kira-kira sebulan untuk menyiasat klip video itu sebelum ini, telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan.
Tiga menteri pula iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad kemudiannya dilantik oleh Kabinet untuk meneliti laporan panel khas itu.
Dalam pada itu, Haidar yang kini Pengerusi Bumiputra-Commerce Bank Bhd. pernah memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kuching.
Steve, 67, yang berasal dari Kuching pula memiliki ijazah Sarjana Undang- Undang dengan kepujian dari University of Brussels, Belgium dan pernah bertugas sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Kuching.
Mahadev pula pernah dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Penyiasatan bagi menyiasat kecederaan yang dialami bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berada dalam tahanan polis pada 27 Januari 1999.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada April 2000 untuk tempoh dua tahun dan berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi selama 11 tahun.
Zaitun Zawiyah, 57, berasal dari Ipoh, Perak dan telah bersara pada 27 April 2006.
Beliau sebelum itu pernah berkhidmat sebagai Ketua Bahagian Penasihat dan Antarabangsa, Ketua Bahagian Sivil dan Ketua Bahagian Pendakwaan.
Kay Khim, 70, merupakan rakyat Malaysia pertama yang memperoleh falsafah kedoktoran (PhD) dari Fakulti Sastera UM dan pernah menerbitkan dua buku.
Sementara itu, Abdullah Sani, 55, yang memegang jawatan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri sejak 28 Disember 2006 memiliki ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Awam dari American University, Washington DC.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|