VERSI : Mobile | Akhbar Digital
19 September 2014 / 24 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 12/12/2007

Mampukah Hadiah Daripada Hati tandingi Transkripsi?


SITI Nurhaliza bersama Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Abdul Mutalib Mohd. Razak (kiri) dan Pengarah Urusan Suria Records Sdn. Bhd., Edwin Tan.


ALBUM Transkripsi yang diterbitkan pertama kali oleh syarikatnya, Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd. telah melakar kejayaan besar pada Anugerah Industri Muzik Ke-14 (AIM 14), April lalu apabila dinobatkan sebagai Album Terbaik dan Album Pop Terbaik.

Transkripsi yang dilahirkan pada tahun lalu sememangnya merupakan album terbaik penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza sepanjang 11 tahun menjadi anak seni. Malah, hampir kesemua lagu-lagu di dalam album tersebut mendapat perhatian peminat dan sering diputarkan di radio.

Setelah hampir satu setengah tahun berlalu, kini penyanyi jelita itu muncul dengan album ke-12 dengan mengambil judul Hadiah Daripada Hati (HDH) yang sudah pun berada di pasaran sejak 10 Disember lalu.

Ketika ditemui di majlis pelancaran albumnya di Hotel Legend, Isnin lalu, penyanyi bersuara emas ini menjelaskan mengapa HDH diangkat sebagai judul album terbarunya.

“Jika dulu, tajuk album saya banyak menggunakan perkataan yang perlu dicari maksudnya seperti Transkripsi, Adiwarna, Pancawarna dan Safa. Namun, kali ini saya mahu lebih ringkas dan maksudnya sampai kepada peminat.

“Disebabkan itu, saya begitu senang sekali menggunakan judul HDH ini kerana maknanya yang jelas. Ia juga sebagai tanda hadiah saya buat mereka yang banyak menyokong saya selama ini terutama peminat saya.

“Pada mulanya, memang saya mahu menerbitkan album pop tradisional tetapi material tidak mencukupi. Lantas, saya mengambil keputusan merakamkan album pop kerana lagu yang saya terima begitu banyak. Insya-Allah, selepas ini, saya akan tampil dengan album tradisional. Rindu juga nak rakam album tersebut,” jelasnya yang mengenakan blaus emas serta seluar biru muda rekaan Rizman dan Ruzaini.

Pada majlis itu juga, Siti Nurhaliza menerima anugerah platinum berkembar empat untuk penjualan album Transkripsi yang dijual melebihi 80,000 serta anugerah platinum berkembar tiga untuk penjualan album Royal Albert Hall yang melebihi 60,000 unit.

Persoalannya, sudah pasti HDH akan dibandingkan dengan Transkripsi yang berjaya kerana lagu-lagunya yang begitu berkualiti dan bagus serta cepat menangkap halwa telinga pendengar.

Adakah Siti sendiri sudah bersedia jika peminat membandingkan HDH dengan album terdahulu. Bukan itu sahaja, mampukah HDH mencipta kejayaan seperti mana Transkripsi?

“Bagi saya ia perkara biasa apabila ada yang membandingkan album ini dengan album yang terdahulu. Ini semua soal citarasa. Ketika pertama kali saya menerbitkan Transkripsi dan seterusnya mencipta kejayaan di AIM14, saya sudah mengatakan inilah yang saya mahukan selepas ini.

Kekuatan tersendiri

“Tetapi selepas saya menjalani proses penerbitan HDH, saya berpendapat album ini juga mempunyai kekuatan tersendiri dari segi lagu-lagunya. Banyak lagu rancak berbanding lagu balada. Inilah antara perubahan dalam album ini. Saya berharap agar HDH mampu memikat pendengar dan diterima dengan baik,” kata Siti yang akan berangkat ke Tanah Suci Mekah esok selama dua minggu bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, ibunya, Siti Salmah Bachik dan abangnya, Saiful Bahri Tarudin atau Ayie.

Seperti Transkripsi, HDH menyajikan 11 buah lagu untuk santapan telinga pendengar ciptaan komposer Malaysia, Singapura dan Indonesia. Antara lagu yang dimuatkan adalah Melawan Kesepian, Tanpa Kalian, Cintamu, Biarkan, Sutramaya dan Sekian Lama.

Bukan itu sahaja HDH turut memuatkan lagu tema drama bersiri Spa Q, Ku Mahu yang kini kerap diputarkan di radio serta lagu Mulanya Cinta (dari teater muzikal P.Ramlee) serta Hati (lagu tema filem 1957 Hati Malaya).

Malah album ini juga menampilkan kelainan dari kulit albumnya yang cukup berbeza dengan kulit albumnya sebelum ini.

“Ini juga perubahan yang saya lakukan. Jika sebelum ini, kulit album saya dilatari dengan warna terang dan gaya saya juga ceria, namun kali ini saya mengambil hitam sebagai tema. Sengaja saya pilih warna itu untuk menunjukkan elemen menawan dan classy,” ujarnya lagi.

Tambah wanita berusia 28 tahun ini lagi, dia turut mengakui penghasilan HDH turut mencabar vokal dan penghayatan untuk lagu-lagu di dalam HDH.

“Sejak berumahtangga, saya kurangkan penglibatan dalam bidang seni. Saya banyak menghabiskan masa di rumah sebab itu tidak ada banyak masa untuk mengasah vokal. Pentas adalah tempat yang paling baik mengasah mutu vokal saya.

“Dulu, sebelum kahwin, sebaik sahaja lepas show, saya akan ke studio dan merakamkan lagu untuk album. Jadi, waktu itu, penghayatan lebih mudah. Sekarang, saya perlu ambil masa dan berlatih di rumah sebelum ke studio,” jelasnya yang menjalani proses rakaman vokal dalam tempoh seminggu sahaja.

Dengan lahirnya HDH di pasaran, mungkin ada artis yang ‘gerun’ untuk mengeluarkan album mereka kerana takut kurang sambutan. Apa komen Siti?

“Janganlah berkata begitu. Saya buat album bukan untuk bersaing dengan sesiapa dan juga bukan untuk menutup periuk mana-mana pihak. Saya lebih suka kita bersaing secara sihat dalam industri ini yang tidaklah besar mana pun,” katanya.

Siti Nurhaliza juga mengambil kesempatan memohon ampun dan maaf kepada mereka yang pernah berkecil hati atau terasa dengan dirinya serta memohon semua pihak mendoakan yang terbaik buat dirinya sepanjang berada di Mekah kelak.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:10
Asar 4:13
Maghrib 7:13
Isyak 8:21



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.