|
Barangkali kemanusiaan
telah lama mati
dikerkah gigi-gigi
nafsu yang meruncing
lalu akal dicampak ke jurang
hitam yang paling dalam
kesantunan di sepak
kaki-kaki kebejatan
terlambung entah ke mana
kehormatan sudah tiada
nilainya walau mata
menagih belas berkaca sayu
Izrail pun bersayap di sebelah sini
menjemput banyak lagi mangsa
kerana setiap detik
bakal ada lagi Nurin dan Nurul Huda
dan di hujung sana
para syaitan gegak gempita
bersorak gembira...
DEMIKIAN petikan daripada puisi Gadis Esok karya Zaifulnizam Wagiran yang dideklamasi pada Malam Baca Naskhah Sindiket Soljah dan Kawan-Kawan Yang Kita Suka (Maskara) di Rumah Pena, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Malam baca naskhah tersebut khusus mengutarakan karya-karya yang bertemakan wanita, persoalan kekerasan, hak-hak asasi golongan itu dan sebagainya.
Dalam erti kata lain, naskhah tersebut cuba menyingkap pelbagai isu di sekitar dunia wanita yang berhadapan dengan pelbagai kekerasan dan sesuatu yang tidak wajar.
Pada majlis tersebut, turut membaca naskhah dan karya ialah Farhana Husain yang membaca cerpen Mahkota di atas Jendela, manakala Ummu Hani Abu Hassan menyelami sedutan novelnya, Ladang Hati Mustika.
Pada majlis tersebut, novelis Salina Ibrahim membaca sedutan daripada cerpennya, Tanah Kampung Kami yang tersiar dalam Dewan Sastera pada Februari tahun lalu.
Jurufoto dan blogger, Salina pula membaca naskhah cerpen Adil dan Arial, manakala Nur Safiah Abd. Raub, Nor Diyana Hassan dan Halimatun Saadiah pula membaca puisi dalam bahasa isyarat.
Pembaca naskhah lain ialah Nida, Amyz, Cik Daun dan penulis serta pensyarah, Bernice Chauly manakala pengacara majlis ialah Azie Azah dari sahabat KL.fm.
IKLAN@UTUSAN
|