|
KUANTAN 5 Dis. – Selepas filem 1957 Hati Malaya ditayangkan pada umum, sebuah filem sejarah mengisahkan perjuangan pahlawan Melayu terbilang, Mat Kilau akan menyusul tidak lama lagi.
Salah seorang penerbit filem itu, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, setakat ini, pihaknya baru mengadakan perbincangan awal bersama Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) bagi mendapatkan pandangan mengenai hasrat syarikat Ika Jaya Sdn. Bhd. untuk menerbitkan filem berkenaan.
‘Kita mempunyai peruntukan sebanyak RM7 juta bagi merealisasikan penerbitan filem sejarah ini dan buat masa ini, saya telahpun berpeluang membaca skrip yang dihasilkan untuk filem Mat Kilau,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Mengulas mengenai pengarah yang bakal menerajui filem tersebut, beliau menjelaskan, setakat ini, pihaknya masih di peringkat perbincangan dan pandangan daripada pelbagai pihak perlu diambil kira bagi memastikan pengarah yang bakal dipilih adalah tepat dan bersesuaian.
‘‘Saya ada berbincang dengan Shuhaimi Baba bagi mendapatkan pandangan beliau tetapi saya masih belum memutuskan siapa pengarah filem ini,” ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Waris dan Keturunan Tok Gajah-Mat Kilau memberitahu, penghasilan filem itu memerlukan penelitian yang khusus memandangkan ia merupakan sebuah filem sejarah dan fakta yang diketengahkan perlu tepat.
Zulkifli memberitahu, pihaknya juga merancang untuk menjadikan Pahang sebagai lokasi penggambaran memandangkan Mat Kilau merupakan pahlawan Melayu yang berasal dari Pahang.
‘Sejarah Mat Kilau menentang penjajah Inggeris bermula di Pahang dan kalau boleh kita mahu penggambaran dibuat di lokasi sebenar sewaktu pertempuran itu berlaku.
‘‘Sekiranya tempat tersebut telah dibangunkan kita masih boleh mencari lokasi alternatif di Pahang untuk menjayakan penggambaran filem Mat Kilau ini,” tambahnya.
Ketika ditanya bila filem tersebut akan memulakan penggambaran, beliau berkata, sekiranya segala yang dirancang berjalan dengan lancar, kemungkinan filem itu bakal memulakan penggambaran sekitar tahun depan.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya juga kini sedang berusaha mengesan waris-waris Tok Gajah serta Mat Kilau di seluruh negara dan mereka boleh menghubungi talian 03-77279970 atau 77222532 sekiranya berminat untuk menyertai persatuan tersebut.
IKLAN@UTUSAN
|