VERSI : Mobile | Akhbar Digital
28 Ogos 2014 / 2 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 02/12/2007

DBP dan kemandulan minda


DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH.


MUKADIMAH
Ahli Parlimen Gerik, Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh menyelar Jawatankuasa Istilah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang didakwa tidak membuat penyelidikan bagi mencari istilah-istilah baru bahasa Melayu. Beliau yang juga Pengerusi Institut Terjemahan Negara menganggap jawatankuasa istilah itu mengalami kemandulan minda kerana tidak bersungguh-sungguh memperkasakan bahasa Melayu.

Beliau membuat kenyataan itu apabila Kamus Dewan yang diterbitkan oleh DBP terlampau banyak meminjam istilah-istilah dari bahasa Inggeris. Dr. Wan Hashim berpendapat DBP mesti kembali pada zaman gemilang suatu masa dulu dengan memperkasakan bahasa Melayu.

Menurut Dr. Wan Hashim, mencampur aduk istilah bahasa Melayu dengan Inggeris hanya akan menjadikan bahasa yang tidak ada peribadi.

Kritikan ini merupakan yang terbaru selepas sekian lama DBP menjadi sasaran kritikan tokoh bahasa dan kebudayaan apabila bahasa Melayu semakin terpinggir dan martabatnya semakin menurun.

“Saya kecewa melihat Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan belanjawan sudah cukup baik. Lebih 40 tahun sejak merdeka kita menggunakannya, tiba-tiba diperkenalkan istilah bajet,” tegas Dr. Wan Hashim kepada wartawan Mingguan Malaysia SITI MARIAM MD. ZAIN ketika diwawancara Rabu lalu.

Bagaimanapun Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Abdullah menafikan Jawatankuasa Istilah DBP tidak membuat banyak penyelidikan malah untuk mencari sesuatu istilah, ia melalui satu kaedah yang sistematik.

Menurut Dr. Firdaus, kemasukan istilah bahasa Inggeris dalam Kamus Dewan bukan dilakukan secara sambil lewa kerana ia melibatkan pakar-pakar daripada pelbagai bidang selain pakar bahasa Melayu.

“Istilah bajet bukan dicipta oleh Jawatankuasa Istilah DBP. Dalam Kamus Dewan, istilah bajet dilabelkan bp iaitu tidak boleh digunakan dalam konteks yang rasmi,” demikian tegas Dr. Firdaus kepada wartawan Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN dalam wawancara Khamis lalu.

Mengenai kritikan Dr. Wan Hashim, beliau melahirkan rasa bimbang kredibiliti Kamus Dewan yang menjadi rujukan pelajar, penyelidik dan orang profesional akan terjejas. Bagi Dr. Firdaus, kalau hal ini berlaku, ia suatu yang sangat merugikan.

Mingguan: Apakah reaksi pertama Datuk apabila jawatankuasa istilah DBP dilabelkan menghadapi kemandulan minda?

FIRDAUS: Saya kecewa. Saya kecewa bukan kerana saya tidak boleh menerima teguran atau kritikan. Tetapi kecewa kerana apa yang dikatakan oleh Ahli Parlimen Gerik, Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh itu tidak tepat. Itu yang membuatkan saya rasa sangat terkilan. Saya juga bimbang kesan daripada kecaman beliau terhadap Kamus Dewan sebagai kamus bahasa rojak, ini akan menjejaskan kredibiliti kamus berkenaan. Kita kena faham kamus itu digunakan sebagai rujukan dan penyelidikan olah para pelajar, pendidik, orang profesional dan juga orang kebanyakan. Apabila saya melahirkan kekesalan ini, bukanlah bermakna saya tidak boleh menerima teguran, malah menerima dengan semangat yang terbuka.

Tetapi Datuk, Dr. Wan Hashim membangkitkan isu banyak istilah dari bahasa Inggeris dimelayukan seolah-olah jawatankuasa istilah tidak mahu berfikir panjang?

FIRDAUS: Saya tidak setuju kalau dikatakan jawatankuasa istilah DBP mengambil mudah dalam mencipta istilah khususnya dari bahasa asing. Saya ingin tegaskan bahawa jawatankuasa ini mempunyai kaedah yang sistematik. Kaedah ini telah dirumuskan daripada hasil perbincangan pakar-pakar bahasa dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan juga pakar-pakar bahasa Melayu dan orang asing yang membuat pengkhususan dalam bahasa melayu. Ini menunjukkan kaedah itu bukan dicipta secara mudah atau sewenang-wenang. Kaedah itu telah diuji sejak pada 1972, sejak kita memulakan kerjasama kebahasaan dengan Indonesia dan memanfaatkan khidmat daripada pakar bahasa dari merata dunia. Saya hendak beritahu di sini bahawa penciptaan istilah itu ada caranya. Dalam mencipta istilah kita menggunakan dua prinsip iaitu prinsip penterjemahan dan penyerapan. Prinsip penterjemahan maknanya apabila ada istilah dalam bahasa Inggeris yang mengatakan sesuatu konsep itu dan kita tahu konsep itu pernah wujud dalam budaya orang Melayu, kita tidak perlu menterjemah tetapi menyerapkan saja. contoh supermarket, ini terang-terang istilah Inggeris kita panggil pasar raya, highway terang-terang ada konsep dalam bahasa Melayu kita jadikan lebuh raya.

Bagaimana pula dengan prinsip penyerapan?

FIRDAUS: Kita menyerapkan istilah asing itu ke dalam bahasa Melayu dengan mengubah suai sebutan dan ejaan. Seperti radio, ini bahasa asing yang diserapkan terus dalam bahasa Melayu. Kalau hendak diterjemahkan, suatu masa dulu orang menterjemahkan sebagai tetuang udara. Tetapi kita gunakan istilah radio kerana kita anggap lebih praktikal dan lebih meluas pemahamannya. Ini adalah contoh istilah bahasa Inggeris yang diserapkan dalam bahasa Melayu.

Apabila istilah belanjawan bertukar menjadi bajet, ketua inspektor menjadi cif inspektor dan perkataan ini ada dalam Kamus Dewan, tentu ada yang menganggap DBP menerima istilah dari bahasa Inggeris ini. Apa komen Datuk?

FIRDAUS: DBP tidak pernah mengatakan istilah-istilah tadi wajar digunakan dalam situasi-situasi rasmi. Istilah itu bukan dicipta oleh jawatankuasa istilah DBP. Kita kena faham bahawa kamus adalah merakam semua istilah yang terapung atau berada dalam masyarakat. Tetapi DBP menasihatkan istilah mana yang sesuai dalam suasana rasmi dan mana yang tidak sesuai. Dalam Kamus Dewan, ada diberi penerangan bahawa istilah yang berlabelkan bp adalah istilah yang tidak boleh digunakan dalam suasana rasmi. Istilah bajet ada label bp. Semasa istilah bajet diperkenalkan, DBP menasihatkan bahawa istilah ini tidak boleh digunakan dalam suasana rasmi. Dalam kamus, ada sekudus-kudus istilah dan ada selucah-lucah istilah. Tidak betullah kalau semua istilah yang ada dalam kamus dianggap boleh digunakan, apa lagi dalam suasana rasmi.

Tetapi sesetengah orang anggap, apabila ada dalam Kamus Dewan, istilah itu boleh digunakan?

FIRDAUS: Kalau yang menganggap begitu kalangan masyarakat awam yang kurang bermaklumat, saya tidak terlalu kecewa. Tetapi kalau yang berbuat begitu anggota masyarakat yang dianggap sebagai kumpulan bermaklumat, bagi saya itu sangat tidak wajar. Kalau orang awam yang mempunyai prasangka terhadap DBP, saya boleh terima.

Apa yang Datuk ingin katakan kepada Dr. Wan Hashim dalam soal istilah bahasa Inggeris?

FIRDAUS: Saya mengalu-alukan apa juga kecaman dan teguran kepada DBP. Tetapi buatlah teguran yang konstruktif. Jangan membuat teguran yang boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat kepada DBP. Bagi saya, apabila beliau mengatakan kemandulan minda, itu bukan saja menyentuh DBP, tanpa disedari beliau juga menuduh ahli akademik yang memberi kerjasama kepada DBP untuk menyediakan kamus ini sebagai mengalami kemandulan minda. Sedangkan masalah yang ditimbulkan kenapa dalam Kamus Dewan ada istilah dari Inggeris. Memanglah seperti yang banyak orang tahu ada istilah bajet dan sebagainya. Tetapi istilah seperti bajet bukan jawatankuasa istilah yang menciptanya, perkataan yang sudah terapung dalam masyarakat. DBP bertanggungjawab mengumpul istilah-istilah ini dan memasukkan dalam kamus. Tetapi serentak dengan itu hanya boleh digunakan dalam suasana dan konteks tertentu saja.

Siapakah yang menganggotai jawatankuasa istilah DBP?

FIRDAUS: DBP mempunyai jawatankuasa istilah yang dianggotai oleh ahli ilmu politik, komunikasi, astronomi, dan sebagainya selain pakar bahasa. DBP hanya menjadi penyelaras dan menyediakan kemudahan kepada jawatankuasa istilah untuk tujuan menghasilkan kamus.

Apa pandangan Datuk apabila sesetengah pihak menganggap DBP semakin tidak berfungsi apabila bahasa Melayu berada dalam kedudukan yang terancam?

FIRDAUS: Fungsi DBP tetap besar. Kalau diteliti antara sumbangan terbesar DBP ialah menyeragamkan ejaan bahasa Melayu untuk digunakan 300 juta pengguna bahasa Melayu di dunia. Saya melihat peranan DBP ialah sebagai ejen diplomasi budaya pada peringkat serantau dan juga peringkat negara. DBP telah mengadakan kerjasama kebudayaan dengan Indonesia, Brunei dan selatan Thailand. Malah kita juga menghantar guru bahasa Melayu ke Sri Lanka, selatan Thailand dan Vietnam. DBP mempertemukan pakar-pakar ilmu dari negara-negara tersebut untuk memikirkan istilah-istilah dalam bahasa Melayu. Saya menganggap DBP berfungsi sebagai organisasi yang mempunyai satu jasad tiga wajah. DBP dalam satu masa bertindak sebagai pejuang, badan kerajaan dan badan ilmu. Tetapi untuk menjalankan fungsi dalam ketiga-tiga wajah tadi, DBP menghadapi tuntutan yang bercanggah antara satu dengan lain.

Tuntutan yang bercanggah daripada pihak mana?

FIRDAUS: DBP tersepit dalam pelbagai kehendak yang bertentangan. Maka fungsi yang diberikan kepada DBP antara lain ialah melayan tuntutan yang bercanggah ini. Pejuang bahasa menuntut satu bentuk amalan kebahasaan yang bercanggah dengan kerajaan. Tuntutan ini datang daripada pelbagai pihak yang mempunyai harapan yang berbeza-beza. Itu yang menjadi kekangan utama DBP yang pada masa yang sama kita menjadi ejen budaya diplomasi. Itulah peranan DBP. Di peringkat serantau tidak ada masalah. Tetapi di peringkat negara lebih susah dan kerana itu saya cuba merapatkan kefahaman dan kerjasama daripada pejuang bahasa dan pakar bahasa yang mempunyai aspirasi dan tanggapan yang berbeza dengan pimpinan politik. Saya rasa adalah merugikan sekiranya pimpinan politik dan pentadbir berada pada satu pihak, sementara pimpinan bahasa dan tokoh bahasa pada satu pihak yang lain. Ia merugikan kalau kedua-dua masih berjalan di jalan yang bertentangan. Kita kena faham politik budaya dan juga dinamika politik dalam kerajaan. Bagaimanapun suatu hari nanti kita mengharapkan berlakunya pertembungan yang produktif. Untuk mewujudkan pertembungan produktif kita memerlukan aspirasi yang berbeza beza.

Bagi Datuk kenapa semua permasalahan ini berlaku kepada DBP?

FIRDAUS: Saya fikir ini disebabkan dinamika yang berlaku dalam masyarakat itu sendiri. Saya mengandaikan DBP badan kerajaan yang mempunyai kedudukan sebagai organisasi satu jasad tiga wajah. Wajah sebagai perjuang, sebagai badan kerajaan dan badan ilmu. DBP berfungsi dalam ketiga-tiga wajah ini. Tentulah dalam melaksanakan tugas ada kalanya bertentangan antara satu dengan lain.

Seharusnya tidak berlaku?

FIRDAUS: Saya juga melihat dalam mana-mana masyarakat pun pertentangan akan berlaku tetapi saya harap pertentangan itu dapat kita amankan dan selaraskan. Saya berpendapat saya harus menggalakan perbezaan pendapat, tetapi jangan sampai perbezaan pendapat itu memberikan kesan-kesan yang merugikan. Inilah yang diusahakan oleh DBP yakni perbezaan pendapat dalam berjalan dengan sihat.

Tadi Datuk mengatakan DBP sebagai ejen diplomasi budaya. Pada Datuk akan berlakukah diplomasi yang diharapkan?

FIRDAUS: Kalau usaha menjadikan DBP sebagai ejen diplomasi budaya ini berjaya, ini akan menyumbang kepada perpaduan dalaman sesama Melayu, antara Melayu dan bukan Melayu serta perpaduan antara negara-negara ASEAN. Kita terus berusaha dan kita tidak mudah patah semangat.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:17
Asar 4:28
Maghrib 7:22
Isyak 8:32


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.