Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
TERKINI

ARKIB : 01/12/2007
Tindakan Hindraf melampau, kata PM

Tindakan Hindraf melampau, kata PM

ALOR GAJAH 1 Dis. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang mendakwa kerajaan Malaysia melakukan penghapusan etnik adalah tindakan yang melampau.

Perdana Menteri yang nyata marah dengan dakwaan itu berkata, tuduhan dan pembohongan yang tidak berasas itu boleh menimbulkan kebencian di kalangan rakyat dan menyebabkan perbalahan kaum.

“Saya rasa marah sebenarnya, saya jarang rasa marah, tetapi ini tindakan yang tidak boleh dilayan sama sekali,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Perkampungan Hadhari peringkat negeri di Dataran Pantai Perkelahan Tanjung Bidara dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, Hindraf mempunyai niat yang tidak baik apabila melakukan banyak pembohongan dan cuba memperdaya kaum India bahawa mereka golongan yang ditindas dengan mendakwa berlaku penghapusan etnik di negara ini.

“Penghapusan etnik ini seperti berlaku di Bosnia apabila pihak Serbia sentiasa menyerang dan membuat segalanya-galanya supaya orang Bosnia itu tidak wujud lagi, tetapi kita tidak lakukan perkara itu,” katanya.

Abdullah yang turut kesal dengan tindakan Hindraf membuat aduan mengenai kaum India di Malaysia kepada kerajaan United Kingdom, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pihak antarabangsa lain, berkata, ia semata-mata untuk menimbulkan keadaan yang tidak tenteram dan perbalahan antara kaum.

Beliau berkata, Hindraf cuba hendak memperdaya kaum India yang telah bersama-sama hidup aman dengan kaum lain dan membantu kerajaan membangun dan memakmurkan negara ini.

“50 tahun kita merdeka, tidak pernah kita ada apa-apapun hingga tidak ada berbalahan dengan orang India, orang India telah memainkan peranan mereka menjadi penyokong kuat kepada kerajaan Malaysia dan Barisan Nasional (BN), tentu sekali mereka tahu kerajaan bersikap adil dan saksama,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak pernah meminggirkan mereka dalam apa juga pembangunan yang berlaku di negara ini.

“Saya bantu mereka, macam-macam saya bantu mereka, mereka hendak wang untuk baiki kuil mereka, saya bantu sebab kita menghormati agama lain.

"Mereka bukan bermusuh dengan kita, mereka duduk bersama-sama bermaufakat dengan elok dan bekerjasama, ini yang telah berlaku,” katanya.

Perdana Menteri tidak mahu rakyat terutamanya kaum India membenarkan diri mereka diperdaya dengan dakwaan kumpulan berkenaan dan begitu juga kaum-kaum lain diharap tidak akan menunjukkan apa-apa simpati kepada kumpulan itu.

“Adakah ini yang kita cari? Di Malaysia tidak ada masalah antara Islam dan Hindu, tidak pernah berlaku, tidak ada pergaduhan di sini, mengapa perkara seperti ini ditimbulkan, tentu apa yang dilakukan ini ada berbau perkauman dan tujuan untuk memporak-perandakan keamanan dan kesejahteraan rakyat kita,” katanya.

Katanya, tindakan Hindraf yang hendak “menangguk di air keroh” itu tidak boleh dibiarkan kerana negara mempunyai undang-undang dan perlembagaan, yang mana semua pihak perlu mematuhinya dan tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap sesiapa yang melakukan kesalahan.

“Kita berjaya sebab kita mematuhinya, kita pegang kuat pada Rukun Negara,” katanya dan menurutnya, polis sentiasa memantau apa yang berlaku di negara ini termasuk kegiatan oleh pengikut Hindraf.

“Jadi saya harap rakyat Malaysia akan membuat penilaian dengan kenyataan seperti ini (oleh Hindraf) terutama sekali bagi kaum India yang diheret oleh kumpulan ini, diperdaya oleh kumpulan ini,” katanya.

Beliau berkata, sejak sekian lama, kerajaan sentiasa memberikan perhatian kepada pelbagai permintaan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu untuk memperbaiki sosial dan ekonomi masyarakat India.

“Sama ada permintaan untuk menjadi senator, wakil rakyat, semua kita beri perhatian. kita beri sokongan. Orang India tahu ada kumpulan seperti Hindraf nak cucuk mereka dan nak buat bermacam kenyataan supaya mereka tidak seronok dengan kita,” katanya.

Beliau tidak mahu Malaysia yang sedang membangun dengan baik digugat oleh kumpulan berkenaan.

Ditanya adakah kerajaan bercadang untuk melucutkan kewarganegaraan anggota Hindraf, beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan undang-undang.

Perdana Menteri berkata, melakukan demontrasi jalanan kononnya untuk membuat perubahan dan tuntutan adalah cara yang tidak betul termasuk perhimpunan haram oleh kumpulan yang bergelar “Bersih” mengenai pilihan raya pada bulan lepas.

Pada pilihan raya akan datang, beliau berkata, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan untuk menggunakan dakwat khas dan peti undi lutsinar bagi memastikan ketelusan.

“Tong peti undi yang lutsinar, semua orang tahu bila bawa ada kertas undi di dalamnya. Begitu juga untuk undi pos, orang lain pun boleh datang tengok, apa yang dilakukan semasa undi pos, semua nak periksa seolah tak percaya pada siapa pun, mereka sahaja perlu dipercayai,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kalau kerajaan Malaysia penipu, sudah lama ia diketepikan kerana rakyat bukan bodoh dan tidak boleh diperbodoh.

“Kita terus memerintah, 50 tahun (merdeka) menjadikan negara kita ini berjaya, ekonomi kita meningkat, mengikut maklumat statistik yang muktahir sekali ekonomi naik 67 peratus, semua penunjuk kepada arah kita maju dan ekonomi kita bertambah baik,” katanya.

Abdullah yang mengakui masih ada kelemahan dan ada kerja yang belum dilaksanakan oleh kerajaan berkata: “Mana ada pemimpin dalam dunia kata aku telah buat segala-galanya, semuanya sudah sempurna, tidak ada yang miskin, tidak ada yang melarat, tidak ada memerlukan bantuan.”

Beliau berkata, pembangunan adalah proses yang mengambil masa yang lama dengan memberikan contoh dasar pembasmian kemiskinan yang dimulakan sejak wujudnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan masih dilaksanakan sehingga hari ini.

“Ramai yang masih miskin, kita tidak boleh kata selepas 20 tahun DEB dilaksanakan maka berhenti segalanya-galanya, tak payah buat apa-apa lagi,” katanya.

- Bernama

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN