Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 28/11/2007
Untuk kereta tetamu – MB

Untuk kereta tetamu – MB

KUANTAN 27 Nov. – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, nombor pendaftaran kenderaan CCC 9 bernilai RM48,000 yang dibida pihaknya bukan untuk kegunaan peribadi beliau tetapi kenderaan tetamu kenamaan kerajaan negeri.

Beliau berkata, pihaknya akan tetap membeli nombor CCC 9 itu walaupun melibatkan kos yang tinggi kerana ia telah dibincang dan diluluskan dalam mesyuarat Exco serta tidak dianggap sebagai satu pembaziran.

“Soal membazir tidak timbul, pasal duit itu kerajaan bayar kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). JPJ pula akan gunakan duit itu untuk membayar gaji.

“Apa membazir pula? Duit itu pusing daripada kerajaan ke kerajaan. Bukan untuk Adnan Yaakob (tetapi) untuk kerajaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bayaran Penebusan Bon Tranche Pertama 2007 sempena perasmian Kompleks Dagangan Mahkota di sini hari ini.

Adnan berkata, beliau sendiri mahukan nombor pendaftaran kenderaan itu menggunakan nombor satu angka iaitu sembilan.

“Kenapa sembilan? Sebab sembilan paling besar. Saya sendiri suruh ambil sembilan. Itu ceritanya,” kata beliau.

Menurut Adnan, penggunaan nombor pendaftaran satu angka juga bertujuan memudahkan pengenalan kereta kerajaan negeri yang membawa tetamu.

Namun, beliau juga tidak menafikan nombor satu angka itu boleh menjadi sasaran mudah pihak yang berniat jahat.

Beliau secara peribadi tidak menggunakan nombor pendaftaran satu angka dan tidak gemar jika ada Exco yang menggunakannya.

“Dulu, Exco semua guna nombor tunggal. Bila saya jadi Menteri Besar, tidak ada single digit, itu yang bercelaru sikit,” katanya.

Menurut Adnan lagi, nombor pendaftaran satu angka juga mampu memberi pulangan lumayan jika dijual.

Ini kerana jelasnya, anggota Exco, Datuk Shahiruddin Abdul Moin pernah ditawarkan RM40,000 untuk nombor pendaftaran CAP 8 yang digunakannya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Pejabat Menteri Besar memenangi tender bagi mendapatkan nombor pendaftaran CCC 9 selepas membida pada harga RM48,000 walaupun Adnan, pada Jumaat lalu, memberi ingatan kepada Exco kerajaan negeri supaya tidak membida melebihi RM10,000.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN