Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 27/11/2007
DBP alami kemandulan minda

DBP alami kemandulan minda

KUALA LUMPUR 26 Nov. – Seorang ahli Parlimen menyifatkan Jawatankuasa Istilah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengalami kemandulan minda apabila gagal mewujudkan istilah-istilah baru bagi memperkasa bahasa Melayu.

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kawasan Gerik, Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh (gambar) berkata, berbanding para sarjana terdahulu, jawatankuasa berkenaan tidak mahu membuat penyelidikan bagi mencari istilah-istilah baru untuk mengatasi penggunaan bahasa rojak akibat terlampau meminjam istilah bahasa Inggeris.

Sedangkan, kata beliau yang juga Pengerusi Institut Terjemahan Negara, para sarjana terdahulu begitu bersungguh-sungguh memperkasa bahasa Melayu dan sanggup menjelajah sehingga ke Sabah, Sarawak dan Indonesia semata-mata untuk mencari istilah-istilah baru.

Katanya, ketiadaan istilah baru menyaksikan istilah bahasa Inggeris seperti bajet, snek dan konsultansi dimelayukan tanpa batasan, sedangkan kamus Dewan terbitan DBP sendiri ada menyediakan perkataan yang sesuai dan ia perlu dijadikan rujukan rasmi.

‘‘Saya rasa jawatankuasa istilah ini telah mengalami kemandulan minda, tidak mahu membuat penyelidikan seperti sarjana-sarjana terdahulu mencari istilah. Sekarang ini istilah dalam bahasa Melayu tangkap muat sahaja. Saya berharap ia dihentikan,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan mengenai penggunaan istilah bahasa Inggeris kepada Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran, P. Komala Devi di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Komala berkata, bahasa merupakan sesuatu yang dinamik dan tidak statik di mana ia akan berubah dan masyarakat pula akan meminjam istilah tertentu dari bahasa lain.

Dalam konteks ini katanya, kementerian mendapati peminjaman istilah bahasa Inggeris adalah berkaitan bidang teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN