VERSI : Mobile | Akhbar Digital
21 September 2014 / 26 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 22/11/2007

Pentingnya peranan pengasuh kanak-kanak


Dr. Lihanna Borhan.


PERTAMBAHAN jumlah ibu yang bekerja terutamanya di pusat bandar seperti Kuala Lumpur telah menyebabkan permintaan untuk mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak atau taman asuhan kanak-kanak (taska) semakin meningkat.

Pun begitu, pilihannya tetap ada. Ibu bapa juga boleh memilih untuk menghantar anak-anak atau bayi mereka ke rumah pengasuh.

Apa pun alasannya, yang pasti setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak mereka. Bagi yang mempunyai ahli keluarga atau saudara mara yang sudi mengasuh anak anda, ia mungkin mendapat ketenangan hati dan fikiran apabila meninggalkan anak di bawah jagaan individu yang dikenali.

Namun, bagi ibu bapa yang terpaksa menghantar anak-anak ke taska atau rumah pengasuh yang baru dikenali, pastinya persoalan sama ada anak mereka diasuh dengan baik akan berlegar-legar di fikiran.

Ibu bapa pasti berasa senang hati sekiranya semua pengasuh mempunyai ilmu untuk mengasuh secukupnya.

Bagi pengasuh, tidak mengira sama ada di taska ataupun di rumah, ada beberapa perkara yang perlu diambil kira dalam menjalankan tanggungjawab anda sebagai pengasuh yang amanah.

Seseorang pengasuh perlu sedar bahawa peranan mereka sama penting kerana mereka antara individu terdekat dengan kanak-kanak sepanjang `ketiadaan’ ibu bapa mereka.

Malah, masa kualiti mereka bersama kanak-kanak yang dijaga kadang kala lebih panjang berbanding kanak-kanak itu bersama ibu bapa.

Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Dr. Lihanna Borhan berkata, kanak-kanak mempunyai pelbagai kerenah, kehendak dan perangai yang perlu diberi perhatian.

Justeru, paling penting bagi seorang pengasuh itu adalah tidak hilang fokus sepanjang melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Mereka perlu tahu bahawa mereka telah diamanahkan oleh ibu bapa untuk mengasuh dan menjaga seorang anak kecil. Seorang pengasuh mesti mendidik anak dari semua aspek termasuk fizikal, jiwa dan sebagainya,” ujarnya ketika menyampaikan ceramah di Menara Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara, baru-baru ini.

Menurut Dr. Lihanna, pengasuh seharusnya memahami dengan baik beberapa ciri yang ada pada mereka.

“Kanak-kanak adalah amatur, kita tidak boleh anggap mereka tidak boleh buat salah. Walaupun mereka sering melakukan kesalahan, adalah penting untuk pengasuh dan ibu bapa memberi peluang kepada mereka kerana kita perlu ingat, kemahiran tidak akan lahir tanpa pengalaman,” jelas beliau.

Dr. Lihanna berkata, ibu bapa dan pengasuh perlu tahu bahawa setiap kanak-kanak berfikiran egosentrik, maknanya mereka suka lihat dari perspektif orang lain.

“Usia yang muda membuatkan pengalaman mereka terhad, mereka akan belajar menerusi pemerhatian. Lagi muda seseorang anak itu lagi sukar dia memahami perspektif orang lain.

“Sebagai contoh, kanak-kanak kidal masih boleh menulis menggunakan tangan kanannya jika dilatih dan diajar sejak awal lagi.

“Kesimpulannya asuhan itu penting bagi menjadikan mereka lebih bertanggungjawab, matang, berdisiplin dan bersifat memahami,” ujar beliau lagi.

Kata Dr. Lihanna, ibu bapa atau pengasuh juga perlu memberikan teladan yang baik. Jika mahukan anak yang menurut suruhan agama, maka ibu bapa sendiri yang terlebih dahulu mempamerkan contoh tersebut.

“Persekitaran juga amat penting, jika anak melihat ibu bapa atau pengasuh beribadat maka secara automatik anak akan ikut,” tambah beliau.

Jelas Dr. Lihanna, secara psikologinya, kanak-kanak suka jika mereka dianggap ‘besar’ dan penting.

Justeru kata beliau, ibu bapa atau pengasuh harus tidak lokek memberi penghargaan atas apa jua pencapaian yang mereka buat di samping memberikan sokongan dan membantu usaha mereka.

“Ibu bapa juga mesti ingat, jangan suka membandingkan anak dengan orang lain dan mesti peka dengan apa jua yang berlaku pada anak-anak agar mereka tahu mereka dihargai dan dianggap sebahagian daripada keluarga.

“Pengasuh dan ibu bapa perlu banyak bersabar, memang lumrah kanak-kanak sukar duduk diam. Peranan kita ialah beri peluang kepada mereka meneroka, bergerak dan jangan halang. Tugas kita sediakan persekitaran yang baik dan selamat untuk mereka,” ujar beliau.

INFO

Maksud taska adalah premis di mana empat atau lebih kanak-kanak di bawah umur empat tahun dari satu isi rumah diterima masuk untuk dijaga dengan upah.

Kategori taska

Taska di institusi

-Mempunyai lebih daripada 10 kanak-kanak dalam jagaan.

Taska di rumah

- Mempunyai kurang daripada 10 kanak-kanak dalam jagaan.

Taska di tempat kerja

- Taman asuhan kanak-kanak yang menerima masuk 10 orang atau lebih kanak-kanak.

Taska Komuniti

- Taman asuhan 10 orang atau lebih kanak-kanak di suatu kawasan tertentu dan menerima bantuan daripada kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri.

Cara mengenal pasti taska yang boleh dipercayai

- Had bilangan kanak-kanak mengikut nisbah ruang yang ada. Keluasan lantai untuk setiap orang kanak-kanak ialah 3.5 meter persegi ruang dapur, stor tandas, pejabat dan tempat laluan tidak diambil kira.

- Nisbah pengasuh kanak-kanak umur di bawah tiga tahun ialah lima kanak-kanak bersamaan seorang pengasuh. Kanak-kanak berumur 3 hingga 4 tahun, 10 kanak-kanak dengan seorang pengasuh.

- Kesesuaian pengasuh dari segi kelayakan, pengalaman dan latihan. Mengikut peraturan Taska (Diinstitusi) 1985 (Pindaan 1993) pengasuh hendaklah berusia sekurang-kurangnya 18 tahun dan telah mengikuti Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak yang diiktiraf.

- Mempunyai menu dan aktiviti harian yang sesuai bagi setiap peringkat umur kanak-kanak. Jadual ini perlu dipamerkan di tempat yang mudah dilihat.

- Kemudahan berpatutan perlu disediakan untuk kanak-kanak. Satu tandas mesti disediakan bagi setiap 10 kanak-kanak dan dikhaskan untuk kegunaan mereka sahaja.

- Mempunyai peralatan dan perabot yang bersesuaian dan diselenggara dengan baik.

- Menyelenggara rekod-rekod setiap kanak-kanak.

- Premis taska perlu mematuhi syarat-syarat Majlis Tempatan, panduan kesihatan Jabatan Kesihatan dan peraturan keselamatan kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat.

- Setiap taska mesti mempunyai alat pemadam api, kotak pertolongan cemas, sekiranya berlaku kebakaran.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:09
Asar 4:14
Maghrib 7:12
Isyak 8:20



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.