VERSI : Mobile | Akhbar Digital
3 September 2014 / 8 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 14/11/2007

Cara melayan imigran

Mutakhir ini, masyarakat Malaysia begitu hangat membicarakan persoalan kehadiran imigran terutamanya pekerja asing yang didakwa menjadi punca peningkatan kadar jenayah, lambakan masalah sosial malahan ‘merampas’ peluang pekerjaan daripada warga tempatan.

Hakikatnya perbahasan isu kehadiran imigran sama ada secara sah mahupun haram di sisi undang-undang bukanlah hanya berlaku di Malaysia malahan turut mengundang polemik di banyak negara maju dan makmur termasuk Amerika Syarikat dan negara di Eropah.

Malahan satu aspek yang tidak kurang pentingnya harus kita teliti ialah betapa warga Malaysia sendiri semakin ramai yang berhijrah ke negara lain demi memburu peluang membina kehidupan yang lebih baik - lantas menuntut kita menginsafi bahawa imigrasi adalah satu fenomena yang rancak berlaku seiring dengan gelombang globalisasi.

Strategi untuk menangani isu imigran asing memerlukan pendekatan bijaksana yang merangkumi pelan jangka pendek, sederhana mahupun jangka panjang, kerana ia sebenarnya agak kompleks dan memiliki kesan rantaian yang besar.

United Kingdom adalah salah satu analisis kes yang cukup relevan untuk dibandingkan dengan negara kita, memandangkan ia mempunyai pengalaman yang panjang dari sudut penerimaan imigran asing. Apabila tiba di Lapangan Terbang London Heathrow, kita sudah mampu melihat para pegawai imigresen daripada pelbagai darah keturunan sama ada Inggeris, Cina, India, Pakistan, Arab, Turki mahupun Eropah Timur dengan loghat British pekat memproses ketibaan para penumpang.

Hal ini jelas membayangkan tahap pluralisme yang kini menyulami fabrik masyarakat British. Di kelab-kelab bola sepak khususnya Liga Perdana Inggeris, para pengurus mahupun pemain profesional asing dari seluruh pelosok dunia mewarnai setiap pasukan hinggakan seringkali warga British tampak terpinggir berbanding warga asing dalam merebut tempat untuk membarisi kesebelasan utama.

Sudah menjadi bukan sesuatu yang pelik di United Kingdom untuk beberapa bandar raya termasuk Birmingham, Leicester dan Bradford menyaksikan kehadiran masyarakat Muslim Indo-Pakistan begitu dominan khususnya di sektor perniagaan berbanding masyarakat kulit putih Inggeris jati.

Sayugia diingatkan sebagaimana juga di Malaysia, ramai hartawan bilionaire di United Kingdom juga keturunan imigran seperti Lord Mittal (asal India – raja industri besi waja), Roman Abramovich (asal Rusia - taikun minyak) dan Hans Rausing (asal Sweden – pengeluar kotak kertas TetraPak). Kemasukan imigran menjadi pendorong utama peningkatan populasi di United Kingdom yang kini menjangkau 60 juta orang padahal kadar kelahiran bayi kulit putih kian menurun.

Demikian senario di sebuah negara yang begitu lama menerima imigran dari negara-negara bekas jajahannya, para pemohon suaka politik, mahupun rakyat negara jiran yang bebas melintasi sempadan tanpa visa di bawah peraturan Kesatuan Eropah.

Populasi

Namun tahun-tahun kebelakangan ini kerajaan United Kingdom didesak mengetatkan dasar terhadap kemasukan imigran asing atas alasan-alasan yang hampir sama seperti di Malaysia, ditambah dengan tuduhan bahawa pertambahan populasi yang mendadak akibat kehadiran imigran menjejaskan pengagihan sumber, serta melonjakkan harga hartanah hingga terlampau mahal bagi warga tempatan.

Seiring dengan dunia era globalisasi di mana infrastruktur pengangkutan semakin canggih lantas memendekkan tempoh perjalanan, saluran media dan perhubungan terhampar melalui Internet, serta kemudahan telefon tangan pada harga kompetitif - kesemua ini menyebabkan para imigran tiada insentif untuk mencedok dan mengamalkan budaya ‘negara angkat’ mereka.

50 tahun dahulu tiada penerbangan tambang murah untuk membolehkan imigran sering pulang ke kampung, perbankan elektronik yang membolehkan imigran menghantar wang dengan pantas, apatah lagi saluran televisyen satelit yang memaparkan berita di negara asal 24 jam sehari - maka waktu itu para imigran terpaksa mempelajari budaya dan bahasa negara angkat, akur sepenuhnya dengan ketuanan masyarakat asal, dan tekun mengubah identiti kebangsaan sendiri.

Justeru tidak hairanlah perbezaan di antara masyarakat asal dan masyarakat pendatang kini begitu nyata lantas mencetus ketegangan dan prasangka dari semasa ke semasa.

Fenomena migrasi era globalisasi mampu mencabar konsep kebangsaan dan patriotisme di mana-mana negara, kerana warga imigran hanya didorong oleh faktor ekonomi dan bukan sosiobudaya apatah lagi sejarah geopolitik. Inilah dilema yang dihadapi oleh United Kingdom yang meskipun terus makmur dari segi ekonomi hasil peranan dan sumbangan talent pool yang begitu hebat dari seluruh dunia, namun hakikatnya terdedah kepada ‘ketegangan kaum’ termasuk aktiviti keganasan yang makin sukar dikawal.

Willem Buiter, seorang profesor politik ekonomi di London School of Economics and Political Science baru-baru ini menghujahkan di dalam akhbar Financial Times bahawa imigrasi adalah satu hak asasi manusia kerana secara logiknya tiada sesiapa boleh menafikan hak mana-mana manusia untuk memilih tempat bermastautin di bumi Tuhan yang maha luas ini.

Sama ada suka atau tidak, kemajmukan yang ditunjangi proses imigrasi telah menjadikan negara-negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan Singapura menikmati kemajuan yang hebat dan pantas.

Di sesetengah negara seperti rantau Teluk termasuk Qatar, Kuwait dan Emiriyah Arab Bersatu, status ekonomi negara boleh lumpuh jika tiada kebanjiran pekerja imigran yang jumlahnya berganda jika dibandingkan penduduk tempatan.

Harus juga difikirkan dengan mendalam bahawa kegagalan melaksanakan dasar yang telus, cekap dan berhemah dalam isu imigran mungkin merugikan kita sendiri dari sudut akses kepada talent pool yang berdaya saing tinggi, murah malahan mampu memperkaya masyarakat majmuk Malaysia menjadi kian pelbagai serta unik.

Cara kita melayan imigran asing boleh memberi impak timbal-balik kepada cara bagaimana negara asing pula melayan warga kita yang bekerja mahupun berhijrah ke luar negara. Dalam tempoh yang panjang, kesan terhadap generasi keturunan imigran akan berterusan menentukan sama ada mereka akan mengalih patriotisme mereka kepada Malaysia atau kekal dengan kesetiaan terhadap negara asal.

Kesimpulannya, isu imigran dan pekerja asing perlu diperhalusi dalam konteks cabaran yang berkait rapat dengan strategi daya saing negara di peringkat global, dan tidak sepatutnya bersifat knee-jerk reaction semata-mata untuk memuaskan hati orang ramai tatkala pilihan raya menjelang tiba.

Dasar yang teliti dengan sokongan statistik yang meyakinkan, pengurusan hubungan diplomatik yang baik dengan negara sahabat yang membekalkan tenaga kerja, selain penguatkuasaan undang-undang imigresen yang telus, cekap dan berhemah, sepatutnya menjadi premis utama dalam menangani isu ini.

* MADZLAN MOHAMAD HUSSAIN adalah Felo Pelawat di Pusat Pengajian Islam Oxford, United Kingdom.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:16
Asar 4:22
Maghrib 7:20
Isyak 8:29


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.