VERSI : Mobile | Akhbar Digital
24 Julai 2014 / 26 Ramadan 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 14/11/2007

Tuntutan Malaysia ada bukti kukuh


Ketua delegasi Malaysia yang juga Penasihat Khas Hal Ehwal Luar Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad berhujah pada hari pertama bagi pihak Malaysia pada perbicaraan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, semalam.


MUKADIMAH
SEDUTAN pembukaan hujah agen Malaysia, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), The Hague, berhubung tuntutan bertindih ke atas Batu Putih, Terumbu Karang Tengah (Middle Rocks) dan Terumbu Karang Selatin (South Ledge), semalam.

BENARKAN saya mengambil peluang ini untuk menjelaskan mengapa Pulau Batu Putih, Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatin adalah milik Malaysia.

Pada kesempatan ini, benarkan juga saya mengucapkan terima kasih kepada wakil dari Singapura di atas hujah mereka sebelum ini. Penghargaan turut dirakam kerana kesediaan mereka menerima baik saya secara peribadi dan rakan sejawatan dari Malaysia pada hari pertama penghujahan ini. Malaysia dan Singapura saling mengenali di antara satu sama lain dalam tempoh yang panjang iaitu sebagai rakan diplomatik di negara masing-masing.

Kedua-dua negara merupakan negara berjiran di Asia Tenggara, yang membuat persetujuan bersama untuk membawa kes tuntutan ini ke hadapan mahkamah yang mulia, bagi menyelesaikan pertikaian ke atas ketiga-tiga pulau berkenaan, yang terletak di timur pintu masuk Selat Singapura, luar Semenanjung Malaysia sebagaimana dapat dilihat di atas peta.

Pulau Batu Putih dan dua lagi pulau terbentuk dalam sebahagian negeri Johor, yang juga menjadi sebahagian Malaysia. Asal usul negeri Johor itu ialah di bawah naungan Kesultanan Johor. Sultan Johor sekarang, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail merupakan waris langsung kepada salah seorang yang menandatangani Perjanjian Setiakawan (Treaty of Friendship) dan Pakatan di antara Johor dan Great Britain pada 2 Ogos 1824.

Pakatan ini juga lebih dikenali sebagai Perjanjian Crawfurd, di mana sebahagian daripada wilayah kesultanan diserahkan bagi mewujudkan Singapura. Kepulauan Singapura terletak di bawah Semenanjung Malaysia. Kedudukannya yang paling dekat ialah hanya 600 meter dari tanah besar Johor.

Berkongsi

Singapura dan Malaysia, bersama-sama Indonesia, pada hari ini berkongsi perairan dan pengurusan Selat Melaka serta Singapura, yang bersambung dengan Lautan Hindi sehingga ke Laut China Selatan. Atas sifat geografi, salasilah serta sejarah penjajahan British, Singapura dan Malaysia banyak berkongsi perkara yang sama.

Dalam pada itu, maklumat terperinci bagaimana pertikaian ini bermula serta usaha-usaha yang dilakukan kedua-dua pihak untuk menanganinya akan dijelaskan oleh Peguam Negara Malaysia (Tan Sri Abdul Gani Patail) kemudiannya. Tetapi sebelum memperlihatkan bagaimana (tuntutan ini berlaku), mahkamah tentunya mempunyai persoalan kenapa dua buah negara boleh berbalah sehingga ke peringkat ini untuk menuntut kedaulatan sebuah pulau kecil di perairan selat.

Minggu lepas, mahkamah telah mendengar hujah-hujah daripada Singapura yang menyokong tuntutan ke atas kedaulatan Batu Putih, Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatin. Tetapi di sebalik semua ini, hakikat yang tidak boleh disembunyikan ialah Singapura cuba mengubah persetujuan yang dicapai di antara Johor dan Great Britain sejak 150 tahun lalu dan kekal sepanjang masa ketika pemerintahan British.

Dalam hujah bertulis, Malaysia telah mengemukakan bukti yang Johor memberikan kebenaran bahawa Great Britain boleh membina dan mengendalikan sebuah rumah api di salah satu kepulauan Johor. Pulau Batu Putih telah dipilih sebagai tapaknya. Sejak itu, Great Britain dan Singapura pada masa itu telah mengendalikan rumah api berkenaan.

Justeru, adalah menjadi satu perkara yang besar kepada Malaysia apabila Singapura mendakwa kedaulatan Pulau Batu Putih adalah milik mereka hanya kerana ia mengendalikan operasi di rumah api berdasarkan persetujuan kami.

Dakwaan Singapura juga mengetepikan persetujuan sempadan di kawasan itu yang dicapai pada tahun 1824, iaitu Perjanjian Inggeris-Belanda di antara Britain dan Belanda pada 17 Mac 1824 serta perjanjian yang mewujudkan koloni Singapura, Perjanjian Crawfurd pada 2 Ogos 1824.

Walaupun saiznya sangat kecil, isu kedaulatan Pulau Batu Putih dan dua lagi pulau ini sangat penting. Bukan sekadar ia memberi implikasi kepada persempadanan dan kestabilan maritim di kawasan selat, tetapi tidak kurang penting ialah buat pentadbiran kerjasama yang berterusan berhubung bantuan pelayaran, perlindungan persekitaran marin serta hal-hal keselamatan di selat.

Bagi Malaysia, ia sangat jelas dan hujah disokong dengan kuat oleh bukti-bukti kukuh. Sebagaimana yang Malaysia bentangkan dalam penghujahan bertulis, Pulau Batu Putih tidak berpenghuni (terra nullius) pada tahun 1847. Ia tidak berpenghuni pada 1851, semasa Syarikat Hindia Timur Inggeris selesai menyiapkan pembinaan Rumah Api Horsburg di kepulauan itu.

Pulau Batu Putih merupakan sebahagian daripada Kesultanan Johor dan apabila Kesultanan terpecah menjadi dua susulan Perjanjian Inggeris-Belanda pada 1824, ia tetap kekal menjadi sebahagian daripadanya, bukan Riau-Lingga. Perjanjian Inggeris Belanda menunjukkan bahawa pembahagian di antara lingkungan pengaruh British dan Belanda merangkumi sehingga ke selatan Selat Singapura. Kedudukan Batu Putih ialah dalam pengaruh British dan sebahagian daripada Johor, di mana ia terus dikenali sebagai Kesultanan Johor.

Minggu lalu, Singapura cuba membentangkan interpretasi baru mengenai garis persempadanan. Esok, Profesor Nicholas Jan Schrijver akan menjelaskan mengapa interpretasi ini silap. Schrijver ialah barisan peguam yang mempertahankan pendirian Malaysia.

Dalam Perjanjian Crawfurd 1824, Johor menyerahkan kedaulatan Pulau Singapura kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris bersama-sama pulau kecil serta berbatu dalam lingkungan geografi 10 batu Singapura. Pulau Batu Putih terletak 25.5 batu nautika dari Singapura. Pada 1851, dengan kebenaran Johor, Rumah Api Horsburgh dibina di Pulau Batu Putih oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris. Kebenaran itu diberikan dengan perkenan Temenggong dan Sultan Johor pada 25 November 1844, untuk membina dan menguruskan sebuah rumah api ‘berdekatan Titik Romania’ atau ‘mana-mana kedudukan yang sesuai’.

Pulau Batu Putih terletak berhampiran Titik Romania. Pulau Batu Putih sudah tentu merupakan ‘tempat sesuai’ kerana kesukaran panduan pelayaran di timur pintu masuk ke selat. Malahan, Pulau Batu Putih merupakan lokasi pilihan buat pedagang tetap apabila mereka mula mengutip dana bagi sebuah rumah api pada 1836.

Adalah menjadi perkara pokok persetujuan daripada Temenggung dan Sultan Johor bahawa Great Britain dibenar membina, kemudiannya mengendalikan Rumah Api Horsburgh di atas Pulau Batu Putih. Esok, Profesor Marcelo G.Cohen akan memperhalusi surat kebenaran yang ditulis oleh Temenggong dan Sultan Johor pada 25 November 1844. (Cohen juga tersenarai dalam barisan peguam yang mempertahankan pendirian Malaysia.)

Malaysia tidak berupaya untuk menjejaki surat permohonan daripada Gabenor Butterworth, yang dirujuk di dalam surat kebenaran terbabit. Pada 1994, Malaysia memohon kepada Singapura untuk memberikan satu salinan surat Gabenor jika Singapura memilikinya. Singapura tidak memberi reaksi kepada permintaan Malaysia.

Jika surat tersebut ada hari ini, bermakna ia ada dalam arkib Singapura dengan fail boleh dirujuk sebagai Letters to Native Rulers. Malangnya, Malaysia tidak memiliki akses kepada arkib tersebut. Di antara 1850 dan 1946, sistem Lampu-Lampu Selat dibangunkan oleh Britain untuk membantu pandu arah laut atau navigasi yang melalui Selat Melaka dan Singapura.

Sistem Lampu-Lampu Selat termasuk Rumah Api Horsburgh ditadbir oleh Penempatan Selat-Selat. Setiap rumah api beroperasi daripada satu daripada tiga stesen di Singapura, Pulau Pinang dan Melaka. Bermula 1912, Persekutuan Negeri-Negeri Melayu menyumbang kepada kos pengendalian Lampu-Lampu Selat apabila mereka tidak lagi dibiayai oleh kutipan untuk lampu-lampu, yang sepatutnya dibayar.

Tetapi Penempatan Selat-Selat terus mengekalkan lampu-lampu memandangkan mereka memiliki kepakaran yang diperlukan. Pada 1946, apabila Penempatan Selat-Selat dibubarkan dan Koloni Singapura dan Malayan Union wujud, sistem Lampu-Lampu Selat tidak lagi beroperasi sebagai sistem tunggal. Bagaimanapun, rumah api terus kekal beroperasi dari stesen asal di bekas Penempatan Selat-Selat.

Rumah Api Pulau Pisang dan Horsburgh terus dikendalikan daripada Singapura manakala yang lain-lain seperti Pulau Undan, Cape Rachado, Muka Head dan Pulau Rimau, dikendalikan dari stesen mereka di Melaka dan Pulau Pinang. Kedua-duanya pada 1946 membentuk Malayan Union, yang kini sebahagian daripada Malaysia.

Pada hari ini, Rumah Api Horsburgh dan Pulau Pisang terus dikendalikan dari Singapura, selebihnya dari Malaysia. Tidak ada sebarang perubahan. Pihak berkuasa di Singapura hanya meneruskan apa yang ditinggalkan oleh British, sebagaimana pihak berkuasa di Pulau Pinang dan Melaka. Keadaan itu berterusan untuk tempoh lebih 150 tahun.

Kerjasama di antara negeri-negeri, yang kemudiannya menjadi Malaysia dan Singapura tidak terbatas pada kerjasama dalam pembinaan rumah api dan bantuan pelayaran semata-mata.

Benarkan saya memberi contoh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang sebelum ini dirujuk sebagai Tentera Laut Malaya. Ia bertanggungjawab kepada Singapura sehingga tahun 1975, apabila republik itu membangunkan tentera lautnya sendiri. TLDM pada awalnya terus beroperasi dari pangkalan Woodlands di Singapura sehingga awal tahun 1980-an. Pangkalan Woodlands hanya diserahkan kepada Singapura pada 1997.

Sebelum dan selepas pembentukan Tentera Laut Singapura, British dan pada ketika itu tentera laut Malaysia meronda di perairan selat itu, termasuk kawasan Batu Putih. Keadaan kerjasama seperti itu dan banyak lagi - sebagai contoh, komunikasi dan bekalan air, mencerminkan bukan sahaja hubungan sejarah yang akrab, tetapi hak berterusan kami serta tanggungjawab sebagai negeri di Selat Melaka dan Singapura.

Malaysia dan Singapura, bersama-sama Indonesia menjalin kerjasama sejak lebih 30 tahun dalam menguruskan Selat ini. Pada 16 November 1971, ketiga-tiga pasukan negara ini bersetuju menerima pendirian bersama berhubung isu-isu berkaitan Selat Melaka dan Singapura. Selain itu, ketiga-tiga bersetuju untuk mewujudkan Kumpulan Pakar-Pakar Teknikal Tiga Pihak (Tripartite Technical Experts Group) berhubung keselamatan pelayaran di Selat Melaka dan Singapura.

Forum ini mengadakan pertemuan setiap tahun bagi membincangkan isu-isu yang mempunyai hubung kait dengan keselamatan pelayaran di selat. Rumah Api Horsburgh dan kemudahannya dibentuk sebahagian daripada rejim multilateral untuk keselamatan di selat itu, sebagaimana ia adalah lampu utama dalam sistem Lampu-Lampu Selat pada tahun 1850-an hingga 1946.

Dengan aliran laluan trafik di selat dijangkakan meningkat daripada 94,000 kapal pada 2004 kepada 141,000 menjelang 2020, keselamatan pelayaran, maritim dan perlindungan kepada alam sekitar menjadi sesuatu yang sangat dititikberatkan.

Kerjasama berterusan di selat di antara tiga negara pesisir ini menjadi sangat penting. Singapura kini cuba mengganggu penyusunan dan persetujuan yang telah lama terjalin serta diguna pakai di selat.

Singapura mahu perubahan mendadak atas alasan ia selaku pengendali rumah api di Pulau Batu Putih serta ciri-ciri kehadirannya di kepulauan itu. Singapura berikhtiar untuk dirinya sendiri mewujudkan penguasaan maritim di mana ia jauh melencong daripada asas kehadirannya di Pulau Batu Putih sebagai pentadbir atau pengendali rumah api. Kehadiran Singapura sebagai pengendali rumah api di Pulau Batu Putih tidak pernah melangkaui kepada isu-isu melibatkan sempadan perairan atau pelantar benua sekitar Pulau Batu Putih.

Menggubal

Pada tahun 1969, Malaysia menggubal undang-undang di mana perluasan sempadan laut dilakukan. Ia diperluas daripada tiga kepada 12 batu nautika. Singapura tidak membantah. Kemudiannya, pada tahun sama, satu perjanjian dimeterai di antara Malaysia dan Indonesia berhubung pelantar benua. Garisan penyempadanan menghampiri kawasan sekitar Pulau Batu Putih dan hanya 6.4 batu nautika dari Pulau Batu Putih.

Singapura pada bila-bila masa tidak menunjukkan sebarang minat, membangkitkan bantahan atau memberikan pendiriannya. Singapura juga tidak pernah membuat batas sempadan kawasan sekitar Batu Putih atau memelihara kedudukannya di kawasan Selat di dalam perjanjian Territorial Sea Boundary yang dimuktamadkan dengan Indonesia pada tahun 1973.

Dakwaan Singapura bukan sahaja mengecewakan persetujuan yang telah ada, tetapi turut mengundang persoalan tentang kehendaknya ke atas kepulauan itu. Dalam hujahnya, Singapura membentangkan mengenai cadangan penambakan sekitar Pulau Batu Putih. Satu dokumen dalaman, Laporan Penilaian Tender 1978, menunjukkan prospektif buatan kepulauan seluas 5,000 kilometer persegi ke atas Terumbu Karang Tengah.

Singapura mengamalkan dasar-dasar penambakan yang aktif, di mana ia menjadi subjek Kes Penambakan, dimulakan oleh Malaysia ke atas Singapura di ITLOS pada September 2003. Arahan The Provisional Measures Order yang diberikan oleh Tribunal pada Oktober akan dimaklumkan kepada mahkamah, begitu juga persetujuan secara damai dan bersama mengenai kes berkenaan.

Tetapi Singapura tidak memerlukan sebuah pulau yang lebih besar untuk rumah api lebih baik. Apa ia perlukan ialah sebuah pulau lebih besar? Selain kemungkinan kesan ke atas persekitaran dan pelayaran di selat, ini membawa kepada kebarangkalian satu perubahan yang serius kepada struktur pengurusan keselamatan di timur pintu masuk selat.

Malahan, pendekatan agresif Singapura yang digunakan untuk membuat tuntutan ke atas Pulau Batu Putih memberi perubahan - mendukacitakan, walaupun boleh ditarik balik - untuk kestabilan di kawasan itu. Pada tahun 1986, agak lama sesudah tarikh kritikal, Singapura menghantar kapal-kapal lautnya ke Pulau Batu Putih dan sejak itu terus kekal di situ, berkawal 24 jam di sekitar Pulau Batu Putih. Ini mencetuskan ketegangan selain mendatangkan bahaya.

Nelayan-nelayan di Johor, telah diusir oleh pasukan Singapura daripada menangkap ikan di perairan tradisi mereka serta tempat berlindung di sekitar Pulau Batu Putih. Manakala, pegawai-pegawai Malaysia dan kapal laut tidak boleh ke mana-mana berhampiran Pulau Batu Putih kalau tidak dicabar secara fizikal oleh kapal-kapal laut Singapura.

Menangani tindakan Singapura ini, Malaysia memilih untuk mengamalkan dasar tidak berkonfrontasi sebaliknya bertindak secara diplomasi semasa pertikaian ini dalam proses penyelesaian. Kami difahamkan menerusi penghujahan bahawa Singapura meletakkan peralatan komunikasi ketenteraan di Pulau Batu Putih pada Mei 1977. Kami tidak maklum mengenainya dan sudah tentu ia mencetuskan rasa bimbang yang amat.

Tindakan ini tidak merangkumi persetujuan yang diberikan untuk pembinaan dan pengendalian rumah api. Pengendalian dan pengurusan Great Britain serta berhubung Pulau Batu Putih sebelum tarikh kritikal, sekurang-kurangnya yang diketahui Malaysia, jelas konsisten dengan operator rumah api di Pulau Batu Putih dan Pulau Pisang dengan persetujuan pemilik, Johor.

Malaysia, sebaliknya, sentiasa menghormati persetujuan yang telah lama dipakai berhubung pengendalian Singapura di rumah api Pulau Batu Putih dan Pulau Pisang. Kami tidak mencampuri operasi Singapura berhubung rumah api.

Tetapi Malaysia tidak mengharapkan kestabilan hubungan dengan Indonesia diubah. Sebaliknya, tidak dapat tidak, ini akan berlaku jika Singapura diberi hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih dengan penyertaan implikasi pembangunan penyempadanan maritim di kawasan itu. Malaysia memohon supaya mahkamah menimbang perkara penting ini dan dengan itu mengesahkan bahawa Pulau Batu Putih, Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatin kepada Malaysia.

Sebelum menyimpulkan penghujahan ini, saya mahu menjelaskan satu perkara. Masalah kami dengan Singapura ialah kehadiran sebilangan tentera di salah satu kepulauan Johor di timur pintu masuk Selat Singapura. Kami tidak mempunyai masalah dengan Singapura selaku pengendali Rumah Api Horsburgh. Malaysia berharap untuk mengekalkan keamanan dan keadaan stabil di pintu masuk ke Laut China Selatan. Hanya Singapura yang mahu keadaan berubah.

Sultan dan Temenggong Johor pada 1844 dengan rela hati bersetuju terhadap pembangunan rumah api di Pulau Batu Putih dan Malaysia tidak pernah beranggapan bahawa operasi secara berterusan oleh Singapura itu mengundang masalah.

Saya ulangi, Malaysia sentiasa menghormati kedudukan Singapura sebagai pengendali Rumah Api Horsburgh dan meminta direkodkan secara rasmi bahawa pendirian Malaysia akan terus begitu. Kebimbangan Malaysia adalah sedikit berbeza, sebagaimana yang telah saya utarakan.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:50
Zohor 1:23
Asar 4:45
Maghrib 7:30
Isyak 8:44

 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.