VERSI : Mobile | Akhbar Digital
28 Ogos 2014 / 2 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 12/11/2007

Bersiap sedia guna tenaga nuklear


Dr. Daud Mohamad.


MUKADIMAH
APABILA Petronas menemui deposit minyak di perairan negara pada sekitar tahun 1970-an, fungsi Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) yang pada awalnya bagi membangunkan tenaga nuklear sebagai sumber alternatif kepada minyak telah disusun semula dengan menumpukan usaha mempromosi penggunaan sains dan teknologi nuklear dalam pembangunan negara.

Sejak akhir-akhir ini, apabila harga minyak mentah dunia mula melambung secara berterusan, teknologi nuklear untuk tujuan tenaga bagi menjana elektrik negara, diberi tumpuan semula.

Sebenarnya agensi ini mengalami beberapa kali pertukaran nama. Pada awal 1970-an, namanya ialah Pusat Penyelidikan dan Aplikasi Tenaga Nuklear. Kemudian ditukar nama kepada Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail (Puspati). Pada Jun 1983, Puspati dikenali sebagai Unit Tenaga Nuklear sebelum pada 1990-an ditukar nama kepada Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia.

Pada 28 September lalu, agensi itu kini dikenali sebagai Agensi Nuklear Malaysia dengan pusat penyelidikan dan pentadbirannya terletak di Bangi, Selangor.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, MUSTAFA KAMAL BASRI, DALIZA ARIFFIN DAN KAMARULZAIDI KAMIS dan jurugambar HAYAT SUET, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, Datuk Dr. Daud Mohamad berkata: “Dalam konteks keadaan sekarang dengan kenaikan harga minyak dunia, kerajaan wajar menimbang untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai alternatif kepada minyak bagi menjana elektrik.”

Untuk tujuan itu, Dr. Daud menjelaskan bagaimana agensi itu mempersiapkan diri bagi menyediakan segala keperluan kepakaran dan teknologi, sekiranya negara mengambil keputusan untuk beralih kepada penggunaan tenaga nuklear bagi menjana tenaga elektrik dalam masa terdekat.

UTUSan: Bagaimana perkembangan tenaga nuklear di Malaysia?

DR. DAUD: Nuklear Malaysia memiliki pusat kajian tenaga nuklear yang kecil sahaja di Bangi, Selangor dengan keupayaan mengeluarkan 1 MW tenaga. Sebenarnya, secara perbandingan penjanaan elektrik menggunakan tenaga nuklear adalah sama prinsipnya dengan penjanaan tenaga elektrik yang menggunakan bahan mentah lain seperti arang batu, gas dan hidro elektrik.

Benarkah penggunaan tenaga nuklear lebih kos efektif?

Ia bergantung kepada banyak faktor, terutamanya dari segi faktor ekonomi seperti skim pinjaman, tempoh pembayaran balik pinjaman dan tempoh pembinaan loji tenaga nuklear itu sendiri.

Secara umumnya, modal permulaan untuk membangunkan loji tenaga hidro dengan loji tenaga nuklear adalah sama, tetapi dalam jangka masa panjang kos operasi loji tenaga nuklear adalah lebih murah kerana ia boleh menjimatkan kos operasi sebanyak 25 peratus, selain kos penyenggaraannya yang juga rendah.

Sebelum ini, jangka hayat penggunaan bagi sesebuah loji tenaga nuklear hanya boleh bertahan selama 40 tahun, tetapi melalui kajian, sekarang tempoh jangka hayat penggunaan loji tenaga nuklear boleh dipanjangkan antara 70 hingga 80 tahun.

Begitu juga dengan tempoh pembinaan loji nuklear, kalau dahulu tempoh pembinaannya mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun, tetapi kini ia boleh disiapkan dalam tempoh lima tahun sahaja. Oleh itu, tempoh pembayaran pinjamannya juga dapat dipendekkan.

Bagi rantau Asia Tenggara, negara manakah yang telah memiliki perancangan untuk membina loji tenaga nuklear?

Ada tiga negara di rantau ini (Asia Tenggara) yang telah memiliki polisi (cadangan) untuk membina loji tenaga nuklear iaitu Indonesia yang merancang membina loji tenaga nuklear dan pusat penyulingan air laut menjelang 2016, Vietnam pada tahun 2018 dan Thailand pula baru mengumumkan rancangannya untuk membina loji tersebut menjelang 2021.

Adakah Malaysia juga sudah bercadang untuk melaksanakan polisi bagi program membina loji tenaga nuklear?

Buat masa ini tidak ada lagi, ini (cadangan membina loji tenaga nuklear) perlu mendapat kelulusan daripada Kabinet terlebih dahulu. Setakat ini, belum ada memorandum berhubung perkara itu dihantar kepada Kabinet kecuali nota-nota berhubung perkara tersebut.

Sekiranya Malaysia bercadang membangunkan loji tenaga nuklear, apakah ada negara atau pihak luar yang akan membantah?

Tidak ada, tiada masalah dari segi undang- undang antarabangsa, malah mereka mengalu-alukannya. Tetapi kita perlu membuat laporan kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang beribu pejabat di Vienna, Austria. Ini penting daripada aspek keselamatan kerana bahan mentahnya seperti uranium, tritium, plutonium dan sebagainya boleh diguna membuat senjata, jadi elemen sekuriti perlu ada di sini.

Pada masa ini, apakah Malaysia ada keperluan untuk beralih kepada penggunaan tenaga nuklear sebagai alternatif untuk menjana tenaga elektrik?

Ia bergantung kepada dua faktor utama iaitu harga minyak yang tidak menentu dan pelepasan gas rumah hijau untuk memulihara alam sekitar yang baik.

Dalam situasi sekarang dengan harga minyak melambung secara berterusan apakah Malaysia perlu memikir untuk membina loji tenaga nuklear?

Dalam konteks keadaan sekarang dengan kenaikan harga minyak, kerajaan wajar menimbang untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai alternatif kepada minyak bagi menjana elektrik.

Pada masa ini harga minyak mentah melepasi AS$90 setong dan trend menunjukkan harga komoditi itu akan terus naik melepasi AS$100 setong tidak lama lagi.

Tidak ada tanda-tanda harga minyak akan turun kembali di bawah paras AS$70 setong.

Teknologi nuklear dilihat sebagai salah satu sumber tenaga alternatif yang boleh diteroka bagi mengelakkan negara terlalu bergantungan kepada minyak dan gas.

Adalah tidak bijak membakar semua hasil minyak dan gas yang kita miliki untuk tujuan menjana tenaga elektrik, sedangkan komoditi itu boleh digunakan bagi menghasilkan produk-produk nilai ditambah yang boleh memberi keuntungan yang lebih besar kepada negara.

Malah, penggunaan sumber minyak secara intensif akan menyebabkan sumber itu akan cepat habis dan tidak dapat diwarisi oleh generasi akan datang.

Bilakah masa itu dan apakah ia dalam masa yang terdekat?

Saya menjangkakan menjelang 2020.

Berapa lama masa diperlukan untuk membina sebuah loji tenaga nuklear?

Jika kita mahu mempunyai loji tenaga nuklear menjelang 2020, kita perlu mulakan dari sekarang kerana sumber minyak dan gas kita pun tidak lama lagi akan habis.

Jadi kita perlu cari sumber tenaga alternatif baru. Walaupun terdapat beberapa sumber tenaga alternatif seperti biodiesel, biogas, tenaga solar, tenaga angin, bioalkohol, arang batu dan hidro, tetapi tenaga nuklear dilihat sebagai alternatif terbaik bagi negara kerana ia lebih murah dan mesra alam.

Ketika ini lebih 80 peratus tenaga elektrik negara dijana menggunakan gas dan selebihnya menggunakan arang batu, minyak dan hidro.

Mengapa Malaysia perlu beralih kepada tenaga nuklear?

Berdasarkan kepada kedua-dua faktor itu, negara memerlukan sumber tenaga alternatif kerana simpanan minyak dan gas kita hampir habis mungkin kurang dari tempoh 15 tahun sahaja dan kita juga banyak menggunakan gas dan minyak untuk sektor pengangkutan.

Sekiranya kita menggunakan tenaga nuklear pada masa depan, kita boleh juga menghasilkan tenaga hidrogen untuk kegunaan sektor pengangkutan dan tenaga ini dijangka menguasai pasaran menjelang tahun 2040.

Apakah syarat bagi negara membina loji tenaga nuklear?

Ia bergantung kepada tiga faktor penting, yang pertamanya ialah teknologi, pembiayaan yang mana kita boleh mendapatnya daripada pembiayaan dalaman dan pinjaman mudah, manakala faktor ketiganya ialah penerimaan masyarakat terhadap tenaga nuklear. Komponen ketiga ini sangat penting kerana kita memerlukan penerimaan 100 peratus daripada masyarakat berhubung perkara ini.

Jika pembinaan loji tenaga nuklear didapati perlu, apakah langkah-langkah yang perlu disegerakan?

Cadangan ini perlu dikemukakan kepada kerajaan dahulu. Tetapi terdapat banyak faktor untuk membina loji tenaga nuklear dan salah satunya ialah tempat untuk membina loji itu perlu stabil dan kukuh. Pada awal tahun 1980-an kita pernah buat cadangan dengan beberapa agensi termasuk Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dahulunya dikenali sebagai Lembaga Letrik Negara (LLN) untuk tapak loji nuklear ini.

Selain itu, tapak itu juga perlu berdekatan dengan sumber air khasnya air laut bagi proses sistem penyejukan. Dalam hal ini, kita ada beberapa lokasi yang telah dikenal pasti di Semenanjung.

Di mana lokasi yang telah dikenal pasti?

Dulu ada, tetapi saya tidak boleh nyatakan atas dasar keselamatan.

Apakah kita mempunyai keupayaan dan pakar untuk membina loji tenaga nuklear?

Kita ada keupayaan tetapi kita juga masih perlu import dari luar. Begitu juga dengan komponen-komponen termasuk juga bahan mentahnya yang mana kita tidak ada kapasiti untuk menghasilkannya sendiri dan kita perlu membelinya dari luar.

Adakah loji ini boleh memberi kesan kepada alam sekitar dan penduduk setempat?

Tidak, kerana ia mesra alam sekitar dan ini adalah satu kelebihan tenaga nuklear kerana ia tidak membabitkan isu pelepasan gas dari rumah hijau.

Kenapa banyak pihak berasa terlalu sensitif apabila ada cadangan untuk membangunkan loji tenaga nuklear?

Ini mungkin ada kaitan dengan black dot (detik hitam) sejarah Hiroshima di Jepun yang musnah akibat bom atom. Sejarah hitam itu tidak akan hilang daripada pemikiran orang ramai sehingga hari ini.

Tetapi sekiranya ia bermula dengan isu yang baik, berkaitan dengan usaha untuk membantu dalam bidang perubatan, jadi saya yakin ia pasti akan dapat diterima dengan baik oleh orang ramai.

Sebagai contoh, walaupun sejarah hitam itu berlaku di Jepun dan rakyatnya mengalami kesannya sampai sekarang, tetapi negara itu juga kini merupakan negara yang terbesar menggunakan tenaga nuklear sebagai alternatif untuk menjana tenaga elektrik.

Berdasarkan tekanan harga minyak yang semakin melambung tinggi, bilakah kerajaan akan mula membangunkan loji tenaga nuklear di negara ini?

Saya tidak tahu, itu akan diumumkan sendiri oleh kerajaan. Pada masa ini, isu ini sudah boleh dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet berbanding pada zaman dahulu kerana mereka (Jemaah Menteri) kini lebih bersikap terbuka.

Secara peribadi, apakah Datuk merasakan projek loji tenaga nuklear perlu dilaksanakan di negara ini?

Bagi saya, projek ini perlu diteruskan dan ia wajar dilaksanakan, saya juga berharap satu hari nanti loji nuklear akan dibangunkan di negara ini juga.

Secara peribadi, Datuk jangkakan bilakah projek ini akan tercapai?

Mungkin tahun 2020 atau mungkin kurang daripadanya.

Apa persiapan Nuklear Malaysia ke arah itu?

Kini sudah ada Jawatankuasa Perundingan Antara Agensi yang dianggotai oleh beberapa agensi berkaitan, termasuk Nuklear Malaysia, Tenaga Nasional Bhd., Unit Perancang Ekonomi dan beberapa penganalisis lain.

Kami berbincang secara tidak formal dalam pelbagai bidang dari segi ekonomi dan faktor lain untuk dijadikan input bagi dikemukakan kepada kerajaan.

Jawatankuasa ini juga berperanan untuk mendapatkan pandangan dan mengumpulkan maklumat mengenai bidang ini.

Adakah input ini telah dikumpulkan?

Ya, kita sudah lakukannya sejak tiga tahun lalu, tetapi hanya baru-baru ini sahaja kami agak aktif mengemukakan pelbagai input kepada kerajaan mengenainya.

Jika kerajaan bersetuju membina loji tenaga nuklear, buat permulaan berapakah agaknya kapasiti loji tenaga nuklear yang kita perlukan?

Kita perlukan loji yang sederhana antara 700 hingga 800 MW iaitu lima peratus daripada keseluruhan penggunaan kita. Daripada situ kita boleh pertingkatkan lagi kapasiti itu dari semasa ke semasa.

Berapakah kos pembinaan sebuah loji nuklear?

Ia bergantung kepada banyak faktor tetapi kosnya lebih kurang sama dengan loji tenaga kuasa yang lain tetapi ia mungkin lebih tinggi pada awal fasa kira-kira RM1 bilion dan untuk jangka panjang pula kosnya berkurangan.

Kita boleh jimat kos operasi sebanyak 25 peratus dengan menggunakan tenaga nuklear berbanding gas dan minyak. Selain itu, kos penyenggaraannya juga agak minimum.

Adakah terdapat potensi terhadap gangguan bekalan mentah nanti?

Tidak, jika ada pun mungkin kerana Malaysia merupakan negara Islam dan kemungkinan wujudnya gangguan berhubung sekatan terhadap bekalan bahan mentah. Tetapi dalam hal ini kita adalah negara yang telus dan bersikap terbuka dan boleh berbincang dan saya fikir kita tidak menghadapi masalah mengenainya.

Sumber bahan mentah itu dari mana?

Dari AS, Rusia, Perancis.

Banyakkah jumlah bahan mentah yang diperlukan dan adakah ia mahal?

Jumlahnya sedikit sahaja. Menurut kajian sesebuah loji jana kuasa nuklear yang berkeupayaan menghasilkan 1,000 Megawatt elektrik untuk beroperasi dalam masa setahun hanya memerlukan 30 tan metrik uranium.

Bagi kapasiti yang sama untuk loji arang batu pula sebanyak dua juta tan metrik arang batu diperlukan, manakala bagi loji yang menggunakan minyak pula terpaksa memerlukan 1.96 bilion gelen minyak.

Bagi kapasiti yang sama juga dalam tempoh setahun untuk loji tenaga suria, sebanyak 100 kilometer persegi panel photovoltaic diperlukan, untuk loji tenaga angin pula memerlukan 3,000 turbin angin.

Loji tenaga biomass berasaskan kayu pula memerlukan 30,000 kilometer kawasan tanaman pokok bagi menghasilkan biomass, loji tenaga bioalkohol berasaskan jagung pula memerlukan 16,100 kilometer persegi kawasan tanaman jagung bagi menghasilkan bioalkohol, manakala loji tenaga biogas berasaskan najis ayam pula memerlukan 800 juta ekor ayam bagi menghasilkan biogass.

Jika kerajaan mahu membina loji tenaga nuklear, apakah rakyat sudah bersedia menerimanya?

Penerimaan masyarakat adalah masalah besar. Jika rakyat Malaysia dapat diberi maklumat yang jelas mengenai kebaikan tenaga nuklear dan sentimen negatif rakyat Malaysia terhadap penggunaan nuklear dapat dikikis, kerajaan tidak ada masalah untuk melaksanakan penggunaan tenaga itu.

Jika diukur dari segi kesedaran berapa peratuskah kesedaran masyarakat mengenai teknologi nuklear di negara ini?

Jika dikira peratusannya agak sukar sedikit, tetapi kami telah menjalankan kajian dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara kira-kira 10 tahun yang lalu dan melalui kajian itu kami dapati kira-kira 30 hingga 40 peratus responden yang ditemu bual tahu mengenai tenaga nuklear. Tetapi dalam tempoh kajian itu juga maklumat mengenai nuklear hampir tidak ada langsung.

Pendedahan mengenai teknologi nuklear lebih jelas pada masa sekarang sahaja. Kalau dahulu surat khabar jarang melaporkan mengenai isu teknologi nuklear tetapi kini banyak laporan mengenai teknologi nuklear telah mula disiarkan. Usaha ini penting, dan ia harus dilakukan oleh pihak lain kerana sekiranya ia datang daripada Nuklear Malaysia sendiri ia akan dilihat terlalu bias (berat sebelah).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis juga sentiasa menerapkan mengenai penggunaan teknologi nuklear sebagai alternatif untuk menjana tenaga elektrik di negara ini dalam banyak majlis yang dihadirinya.

Kesedaran masyarakat mengenai teknologi nuklear sangat penting, jadi apakah usaha agensi untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai bidang ini?

Kami sudah banyak lakukan program ini sejak dahulu lagi termasuk program-program di sekolah rendah, menengah hingga ke kolej. MOSTI sendiri telah terbabit dalam pameran sains dan ekonomi yang mana turut selitkan bidang nuklear dalam input pameran kami.

Kami juga aktif membuat promosi menerusi media elektronik dan media cetak. Kami juga melatih pihak industri mengenai keselamatan dan penggunaan nuklear, selain mengadakan program anak angkat. Ia merupakan proses berterusan untuk memberi maklumat kepada orang ramai mengenai teknologi nuklear.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:17
Asar 4:28
Maghrib 7:22
Isyak 8:32


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.