VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 April 2014 / 23 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KELUARGA

ARKIB : 09/11/2007

OKU nikmati kehidupan di Rumah Insaniah


Siti Ruhani Mohd. Yunos (belakang berkaca mata) bersama-sama sebahagian penghuni Rumah Insaniah Dr. Siti Hasmah.


Kewujudan Rumah Insaniah Dr. Siti Hasmah yang dibuka sejak 19 tahun dianggap salah satu kemudahan kepada orang kurang upaya (OKU) mendapatkan latihan dan kemahiran.

Bagi kumpulan sasaran yang terdiri daripada golongan OKU, ia disifatkan sebagai dahan berteduh lebih-lebih lagi dalam mengharungi kehidupan yang penuh mencabar.

Gelak dan ketawa yang sering didengari dari sebuah banglo di kawasan elit itu membuatkan masyarakat sekeliling yang tidak tahu kewujudan rumah tersebut, mungkin beranggapan ia kediaman sebuah keluarga besar yang dilimpahi kebahagiaan. Hakikatnya, golongan yang istimewa dan berhati waja telah menghidupkan suasana rumah tersebut.

Rumah yang terletak di Taman Kanagapuram, Jalan 18/22, Petaling Jaya, Selangor, itu mampu memuatkan seramai 60 orang penghuni. Bagaimanapun, buat masa ini ia hanya mempunyai 26 orang penghuni berdaftar dan mengalu-alukan kemasukan golongan OKU yang berminat mendapatkan kemahiran dalam bidang-bidang yang disediakan.

Walaupun hanya ‘ditumpangkan’ untuk seketika, kehadiran insan-insan istimewa ini tidak pernah dianggap sebagai beban bagi kakitangan pusat perlindungan Rumah Insaniah Tun Dr. Siti Hasmah. Sebaliknya, menjadi tanggungjawab mereka untuk terus membimbing dan menyokong golongan tidak bernasib baik itu agar dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan insan normal lain.

Bahkan, kewujudan rumah tersebut bagai memberi sinar baru kepada golongan tersebut untuk merasai nikmat kehidupan sebenar. Walaupun tidak dapat bergerak seperti orang biasa disebabkan kecacatan yang dialami, mereka juga mempunyai hati dan perasaan untuk merasa bahagia dan gembira.

Naib Presiden Rumah Isnaniah Tun Dr. Siti Hasmah, Datin Siti Ruhani Mohd. Yunus berkata, dengan latihan dan program yang terdapat di rumah tersebut golongan OKU tanpa mengira jenis kecacatan yang dialami dapat meningkatkan kemampuan ke tahap maksimum.

Latihan yang dijalani membantu mereka melengkapkan diri mereka dengan kemahiran sekali gus membolehkan mereka bekerja sama ada di bengkel di pusat itu sendiri atau di luar.

“Di sini kami menyediakan kemudahan dan pemulihan vokasional, pemulihan dalam komuniti, latihan jahitan, pencantuman alatan, pembungkusan dan latihan nyaman,’’ katanya ketika ditemui di Rumah Insaniah Dr. Siti Hasmah baru-baru ini.

Bercerita lanjut, kata Siti Ruhani, bengkel kerja tangan di rumah yang diasaskan sejak tahun 1988 itu, mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyediakan pemulihan dalam komuniti untuk penghuni pusat seawal usia 3 tahun hingga 60 tahun.

Menurut beliau lagi, selain memberi latihan rumah tersebut juga bertanggungjawab memasarkan kerja tangan yang dihasilkan penghuni dan menyediakan penginapan murah kepada golongan OKU untuk mempelajari sesuatu kemahiran.

Sebagai usaha untuk mengingkatkan kualiti hidup penghuni, Siti Ruhani memberitahu, rumah tersebut menggalakkan aktiviti kesukanan sehingga ada antara mereka berjaya muncul sebagai atlet negara dalam kejohanan sukan OKU terutama bagi acara memanah sehingga layak mewakili negara.

Selain itu, Rumah Isnaniah Dr. Siti Hasmah ini juga memberi khidmat nasihat yang sekurang-kurangnya dapat menyuburkan emosi golongan OKU ini supaya tidak merasa rendah diri dan tersisih.

“Kami juga menganjurkan program keilmuan seperti kelas fardu ain, kelas masakan dan kursus jahitan,” katanya.

Kata Siti Ruhani, berbanding kaum lain, bangsa Melayu mencatatkan jumlah tertinggi yang mendaftar ke rumah ini, malah ada di kalangannya datang dari luar Kuala Lumpur.

“Kebanyakan yang datang ke sini mengetahuinya daripada rakan-rakan lain yang sebelum ini pernah mengikuti latihan di sini, malah ada di kalangan mereka datang setelah dihantar oleh jiran kerana ketiadaan ahli keluarga untuk menjaganya,’’ jelasnya.

Menurut beliau, setiap bulan sebanyak RM30,000 diperuntukkan untuk perbelanjaan bulanan di pusat ini.

Apa yang membezakan Rumah Insaniah Dr. Siti Hasmah ini dengan pusat-pusat perlindungan lain, penghuni di rumah ini seolah-olah seperti bekerja dan diberikan bayaran di atas setiap kerja yang mereka lakukan di samping mendapat elaun daripada JKM sebanyak RM300 setiap bulan.

Bagi mengikuti latihan di rumah tersebut, pemohon boleh mengisi borang dan sesi temuduga akan dijalankan setelah mendapat pengesahan daripada JKM.

“Setelah diterima masuk, pihak kami akan memberi peluang selama tiga bulan untuk mengenalpasti kebolehan dan kemampuan peserta,” katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu memberi sumbangan dan berminat untuk mengetahui secara lanjut mengenai Rumah Insaniah Dr. Siti Hasmah boleh menghubungi talian 03-77817681 atau 03-77810839.

Info mengenai Rumah Insaniah Dr. Siti Hasmah

* merupakan sebuah pertubuhan sukarela yang diasaskan pada tahun 1988.

* Objektifnya ialah membantu orang istimewa tanpa mengira kecacatan mereka ke tahap maksimum. * menyediakan keperluan sara diri.

* Boleh memuatkan seramai 60 orang penghuni dalam satu masa.

* kemudahan yang disediakan ialah pemulihan vokasional, Pemulihan Dalam Komuniti, jahitan, pencantuman alatan, pembungkusan dan penganyaman.

* Memberi khidmat sosial seperti rujukan, bimbingan kerjaya dan mencari peluang pekerjaan.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.