Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
HIBURAN

ARKIB : 06/11/2007
Orang Minyak versi baru muncul

Orang Minyak versi baru muncul

TANPA sebarang publisiti, tiba-tiba muncul filem Orang Minyak arahan C.K. Karan dan Jamal Maarif yang akan menemui penonton pada 15 November ini.

Tapi jangan salah sangka, filem itu bukanlah kesinambungan filem Sumpahan Orang Minyak arahan Tan Sri P. Ramlee yang diterbitkan pada tahun 1958. Filem ini merupakan sebuah filem baru yang juga merupakan filem sulung terbitan syarikat Infohibur Productions Sdn. Bhd.

Selain menampilkan watak orang minyak, filem ini juga turut menampilkan watak ‘syaitan’. Mungkin ramai akan beranggapan watak syaitan tidak wajar diketengahkan. Memadailah sekadar percakapan atau monolog sahaja. Tidak cukup dengan itu, terdapat juga unsur-unsur tahyul seperti manusia yang mempunyai kuasa sakti dapat mengalahkan lawan dengan menggunakan kuasa sakti adalah tidak relevan.

Menurut pengarahnya, Jamal Maarif: “Watak syaitan itu bagi saya bukanlah satu masalah utama. Memang syaitan wujud dalam kehidupan kita. Sesiapa yang lemah akan tewas di tangannya. Lantas kelainan dalam filem ini ialah kita wujudkan watak syaitan yang dapat dilihat. Cuma sama ada khalayak yang menonton dapat menerima atau tidak, itu sahaja.

“Mengenai kuasa sakti itu juga, bagi saya bukan satu isu. Sebab jalan ceritanya memang kena dengan kemunculan kuasa tersebut. Malah Lembaga Penapisan Malaysia juga tidak memotong sebarang adegan dalam filem ini.”

Orang Minyak kata Jamal, mengingatkan kita tentang kelemahan manusia apabila digoda oleh syaitan.

Kelemahan

“Manusia ini lemah dan amat mudah dikuasai. Bila dikuasai, manusia lupa diri sehingga melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Bila terjadi begitu, kadangkala manusia sendiri tak sempat untuk berpatah balik,” katanya.

Dibintangi oleh Fizz Fairuz, Sharifah Sofea, Fauzi Nawawi, Joebot Maheran dan Sidek Hussin, pengambaran filem tersebut diadakan sekitar bulan Jun tahun lepas.

“Paling penting jangan membuat perbandingan antar Orang Minyak dengan Sumpahan Orang Minyak kerana kedua-dua filem ini berada di dua era yang berbeza,” katanya.

Menjalani penggambaran selama 28 hari pada Jun tahun lalu, antara lokasi penggambarannya ialah di sekitar Melaka. Manakala segala proses pascaproduksinya dilakukan di India.

Dalam pada itu, memandangkan Orang Minyak merupakan filem pertama terbitan syarikat tersebut, C.K. Karan mengakui akan kelemahan yang wujud pada filem itu. Antaranya jalan cerita yang tidak kuat dan teknik kamera yang kurang jelas.

“Kami nampak akan kelemahan itu, tetapi memandangkan ini merupakan filem pertama kami, rasanya inilah yang terbaik telah kami lakukan. Mungkin untuk projek seterusnya kami dapat memperbaiki segala kelemahan yang ada,” katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN