|
JERANTUT 2 Nov. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta membantu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) supaya menyediakan tapak pasar tani yang lebih strategik bagi membantu para petani memasarkan hasil pengeluaran pertanian.
Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, PBT seharusnya memahami dasar-dasar kerajaan untuk membantu membasmikan kemiskinan dan bukan hanya memberikan keutamaan kepada projek komersial semata-mata.
Katanya, walaupun pada dasarnya PBT akur dengan setiap arahan kerajaan tetapi mereka melaksanakannya seolah-olah melepaskan batuk di tangga sahaja dengan memberikan kawasan tapak pasar tani yang tidak strategik, kotor dan tersorok daripada pandangan orang ramai.
Kita harap PBT tidak memikirkan keuntungan semata-mata. Mereka juga harus serius dan memahami dasar kerajaan untuk membasmi kemiskinan di kalangan petani dengan memberikan keutamaan menyediakan tapak pasar tani yang strategik, kata Abdul Rahim.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Kompleks Pasar Tani Kekal Jerantut yang bernilai RM2.27 juta dan menghadiri majlis Aidilfitri anjuran FAMA Jerantut di sini, hari ini.
Tambah beliau, banyak pasar tani di seluruh negara berada dalam keadaan lesu kerana terpaksa berpindah-randah atas arahan PBT apabila tapak yang disediakan sebelum itu akan dibangunkan dengan projek komersial.
Menurut beliau, masalah untuk mendapat tapak dan ruang niaga yang strategi daripada PBT adalah antara hambatan dan halangan yang terpaksa ditempuhi FAMA dalam usahanya untuk membasmikan kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup para petani.
Sebaliknya kata beliau, PBT harus mencontohi Majlis Daerah Jerantut (MDJ) yang memberikan komitmen bersungguh-sungguh untuk membantu menyediakan tapak bagi petani.
IKLAN@UTUSAN
|