|
PUTRAJAYA 27 Okt. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membeli 2,000 lagi baju kali peluru sebagai persediaan untuk menjalankan lebih banyak operasi membanteras jenayah, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Dengan itu, katanya, Jabatan Logistik PDRM diarah untuk mengkaji jenis baju kalis peluru yang diperlukan.
“Kita memang dapat perolehan juga, tahun ini kita membeli 2,000 helai, tahun depan beli lagi 2,000 baju kalis peluru. Keperluan keseluruhan banyak sebab banyak operasi jenayah yang kita nak buat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) di sini, hari ini.
Sambutan perayaan itu diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Abdullah pada sidang akhbar sebelum ini menyatakan kesediaan kerajaan untuk memberi peruntukan tambahan kepada PDRM bagi membeli baju kalis peluru untuk digunakan dalam operasi membanteras jenayah.
Ditanya sama ada baju kalis peluru itu akan dibeli mengikut peringkat yang berbeza, Musa berkata, pembelian baju tersebut sememangnya berbeza kerana ia adalah berdasarkan kepada kelajuan peluru sama ada rendah atau tinggi.
Namun tambahnya, kesediaan kerajaan untuk memberikan peruntukan tambahan bagi tujuan berkenaan amat dihargai.
Mengenai mesin pengimbas yang digunakan oleh PDRM di Bukit Kayu Hitam yang dilaporkan mengalami kerosakan sejak dua tahun lalu, beliau berkata: “Kastam pun ada (mesin pengimbas), polis pun ada, polis punya dah lama rosak, bila kita nak baiki, memang tak ada orang nak baiki. Sebab itu saya nyatakan kita patut berkongsi dengan Kastam.
Mana-mana yang ada agensi yang sama (mesin pengimbas) maka kita patut berkongsi.”
Mengenai serbuan antidadah di sebuah rumah di Sungai Buloh malam kelmarin yang menyebabkan dua anggota polis mati ditembak penjenayah, Musa berkata, kes itu masih dalam siasatan.-Utusan
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|