Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
TERKINI

ARKIB : 26/10/2007
Dua maut: PM kecewa polis gagal guna strategi betul

Dua maut: PM kecewa polis gagal guna strategi betul

KEPALA BATAS 26 Okt. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kecewa dengan kematian dua anggota polis yang ditembak oleh penjenayah dalam operasi membanteras dadah di Sungai Buloh malam tadi kerana kejadian itu sepatutnya dapat dielak jika pasukan polis menggunakan strategi yang betul.

Perdana Menteri berkata, daripada maklumat yang diterimanya daripada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan, pasukan polis yang hendak membuat operasi itu sepatutnya memaklumkan kepada pasukan polis yang lain terlebih dahulu sebelum mereka bertindak.

“Apa yang dimaklumkan kepada saya oleh Musa ialah sepatutnya, sebelum mereka membuat serangan, mereka maklumkan kepada pihak-pihak polis sendiri supaya diadakan satu strategi mengepung dan cara-cara yang lain untuk mengelak apa yang berlaku.

“Tapi dia punya pendekatan tu tak kena. Kalau dibuat dengan betul dan dapatkan bantuan skuad-skuad tertentu, maka dapat kepung dan gunakan pembesar suara bagi tahu yang polis mengepung dan minta mereka keluar, maka tentulah pihak polis bersedia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hospital Kepala Batas di sini hari ini.

Dalam kejadian di Jalan TS2 Taman Suria, Kampung Desa Aman, Sungai Buloh pada 7.30 malam tadi, dua anggota polis dari cawangan narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor ditembak mati, manakala dua lagi cedera parah.

Ketika operasi itu dijalankan, empat anggota polis itu yang berpakaian biasa bersedia menyerbu sebuah rumah di taman terbabit yang dipercayai didiami anggota-anggota sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Ketika anggota polis itu cuba memasuki rumah itu, penjenayah yang datang dengan dua kereta melepaskan beberapa tembakan ke arah mereka sebelum melarikan diri.

Abdullah berkata, penjenayah itu pasti akan melakukan apa sahaja untuk memboloskan diri daripada ditangkap kerana disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum mati.

“Kalau pergi serbu begitu sahaja memanglah orang yang terlibat itu akan menembak polis untuk membolehkan dia melepaskan diri,” katanya.

Perdana Menteri berkata, lokasi serbuan itu merupakan makmal bagi kumpulan penjenayah itu memproses dadah. - Bernama

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN