|
Di sekolah, Ryan Patrick Halligan - dilahirkan di Poughkeepsie, New York, Amerika Syarikat (AS) - meminati seorang pelajar perempuan yang popular dan mereka berkenalan menerusi Internet.
Gadis berkenaan berpura-pura menyukainya telah menyebarkan e-mel yang diberikan oleh Halligan bagi tujuan menghinanya.
Dalam masa yang sama, salah seorang rakannya pula berpura-pura rapat dengannya dan kemudian menyebarkan Halligan seorang gay.
Tidak tahan dengan fitnah dan cemuhan yang disebarkan melalui Internet seperti e-mail, Instant Message (IM) serta telefon bimbit oleh rakan sekolah bukan saja ke seluruh sekolah malah ke seluruh AS menyebabkan prestasi Halligan di sekolah merudum.
Kanak-kanak berusia 13 tahun itu berubah murung, cepat marah dan akhirnya tidak dapat menanggung tekanan, dia membunuh diri.
Selepas kematiannya, barulah rahsia pembuli siber terbongkar apabila ibu bapanya mendapati e-mail, IM dan khidmat pesanan ringkas (SMS) telefon bimbit kanak-kanak terbabit dipenuhi dengan tulisan-tulisan negatif berbentuk cemuhan, penghinaan dan fitnah selama tiga bulan.
Halligan juga pernah melawat laman web mengenai cara-cara bunuh diri dan terdapat mereka yang menggalakkan beliau melakukannya.
Kejadian tersebut menunjukkan bahawa bukan hanya aktiviti buli yang berlaku secara fizikal boleh membawa padah tetapi juga pembuli siber.
Itu secebis kisah tragis bagaimana kesan pembuli siber ke atas mangsa, khususnya kanak-kanak.
Biasanya kejadian buli sering dikaitkan dengan ancaman fizikal seperti pukul, ugutan dan ejekan seperti yang pernah dilaporkan berlaku di beberapa buah sekolah di negara ini.
Tetapi kini dalam dunia tanpa sempadan, kanak-kanak terutama yang sering melayari Internet terdedah kepada kejadian buli di alam siber atau pembuli siber.
Walaupun pembuli siber tidak pernah dilaporkan di negara ini, tidak mustahil perkara berkenaan berlaku tetapi dalam keadaan terpencil.
Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh sebuah kumpulan pendidikan dan keselamatan yang tidak membuat keuntungan WiredSafety.org mendapati separuh daripada kanak-kanak yang melayari Internet pernah dibuli atau membuli dalam alam siber.
Pengurus Pemasaran Serantau, Perniagaan Pelanggan, Rantau Asia Selatan, Symantec Corporation, Effendy Ibrahim berkata, jika di alam nyata, pembuli biasanya mengejek atau mengancam dengan kata-kata yang mengganggu dan kesat, perkara yang sama juga berlaku di alam siber.
Misalnya terdapat pembuli siber yang mencipta laman web khas bagi membuli rakan-rakan dengan menggunakan tema seperti mengundi pelajar paling hodoh di sekolah.
“Tetapi dalam kes pembuli siber, mereka boleh menyembunyikan identiti masing-masing dan menghantar e-mel atau mesej palsu dan ancaman kepada rakan mereka,” katanya semasa sesi perbincangan mengenai pembuli siber di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bapa kepada empat orang anak lelaki yang berusia bawah lapan tahun ini berkata, terdapat dua perbezaan ketara antara pembuli siber dan pembuli.
Pembuli siber menggunakan kecanggihan teknologi siber untuk menyebarkan mesej berbentuk fitnah mengenai mangsa kepada lebih ramai orang lebih cepat.
“Misalnya gambar-gambar memalukan yang diambil menggunakan telefon mudah alih boleh dihantar ke semua rakan dalam kelas dengan sekelip mata,” katanya.
Telefon bimbit, komputer dan Internet berupaya melindungi identiti pembuli siber menyebabkan kelakuan mereka semakin ganas.
Sebagai ibu bapa, Effendy berkata, biasanya mereka mendidik anak-anak mengenai perbezaan antara benar dan salah, membezakan kelakuan beretika dan tidak beretika.
Masalahnya ibu bapa tidak mempunyai masa atau kurang pengetahuan mengenai peraturan yang sama digunakan online serta telefon bimbit.
“Biasanya ibu bapa tahu anak-anak menggunakan telefon bimbit atau Internet tetapi mereka tidak tahu dengan siapa anak mereka berbual, menghantar mesej atau e-mail.
“Sebagai ibu bapa mereka perlu memastikan anak mereka sama ada bukan mangsa buli atau pembuli di alam siber,” tegas beliau.
Ibu bapa perlu menasihatkan anak-anak dan menerangkan garis panduan menggunakan telefon bimbit dan Internet dengan selamat.
Jika mereka merupakan ahli kepada laman web awam, pastikan ibu bapa juga meninjau laman web berkenaan dari masa ke semasa bagi memastikan anak mereka bukan mangsa atau pemangsa.
Jika anak anda mangsa buli siber, Effendy berkata, mereka tentu saja tidak akan memberi tahu ibu bapa atau keluarga mungkin kerana malu atau bimbang reaksi anda atau bimbang tidak dapat menggunakan lagi telefon bimbit atau Internet.
Walaupun mereka tidak memberitahu sesiapa, biasanya kanak-kanak mangsa buli siber menunjukkan tanda-tanda seperti:
* sedih atau marah selepas menggunakan telefon bimbit atau Internet
* anak anda dipulaukan oleh rakan-rakan dalam aktiviti harian
* pelajarannya mula merosot atau melepaskan kemarahan di dalam kelas
* keadaan tekanan atau kemurungan yang tinggi
Effendy berkata, jika anak anda menunjukkan tanda-tanda berkenaan, cuba berbincang dengan cara lembut supaya mereka memberitahu apa yang berlaku.
“Lahirkan rasa mengambil berat mengenai dirinya dan katakan anda tidak mengehadkan aktiviti mereka tetapi mahu membantu,” katanya.
Jika menjurus kepada pembuli siber, suruh mereka menunjukkan bukti-bukti apa yang berlaku dan ambil langkah-langkah berikut:
* simpan dan cetak bukti pembuli siber
* kenal pasti pembuli siber, biasanya lebih seorang terlibat dalam buli siber
* failkan aduan rasmi kepada pembekal Internet dan operator telefon bimbit
* beritahu pembuli agar menghentikan tindakannya
* hubungi ibu bapa pembuli siber sama ada menerusi telefon atau bertulis mengenai apa yang berlaku bersama-sama bukti dan berikan kata dua akan mengambil tindakan undang-undang jika ia berterusan
* jika buli siber mempunyai ancaman keganasan atau seksual, buat laporan polis
Bagaimanapun cara terbaik untuk memastikan anak anda bukan pembuli siber adalah dengan memastikan mereka faham mengenai peraturan amalan baik kepada penggunaan telefon bimbit dan Internet seperti:
* suruh anak anda tunjukkan laman web yang biasa dilawati dan lakukan pencarian nama anak anda di Internet
* semak log panggilan telefon bimbit, gambar serta mesej yang disimpan di dalamnya
* remaja mungkin merasa langkah berkenaan seperti menceroboh hak tetapi terangkan tanggungjawab ibu bapa
* jika masalah timbul, jangan berikan anak anda menghampiri atau menggunakan Internet atau telefon bimbit
Effendy berkata, telefon bimbit, komputer, e-mail dan Internet memberikan pelbagai kemudahan dalam bentuk komunikasi dan informasi kepada keluarga.
Kebanyakan masa mereka menggunakannya dengan bijak seperti memberitahu di mana mereka berada, bersiar dengan rakan dan membuat kerja sekolah.
Ibu bapa yang prihatin akan memastikan anak-anak akan mendapat kelebihan daripada teknologi hari ini.
Effendy menyarankan, ibu-bapa yang mempunyai anak-anak yang menjadi mangsa pembuli siber boleh membaca buku tulisan Nancy e. Willard Cyberbullying dan Cyberthreats: Responding to the challenge of online social cruelty, threats and distress.
IKLAN@UTUSAN
|