VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 April 2014 / 23 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 21/10/2007

Mahu tambah ketinggian

Doktor,
SAYA berumur 20 tahun. Saya ada beberapa soalan untuk ditanyakan. Pertama, adakah pada umur saya sekarang, saya masih berpeluang untuk menambahkan ketinggian badan. Saya ada terbaca satu program yoga untuk menambahkan ketinggian dan menggunakan suplemen kalsium.

Adakah program tersebut benar-benar berkesan. Mungkin doktor mempunyai cara-cara lain untuk menambahkan ketinggian, yang boleh dikongsikan bersama.

FITZ

Fitz,

Saudara mungkin masih boleh menambahkan ketinggian seperti yang diingini, namun peluangnya mungkin minimum. Lazimnya, pertumbuhan seseorang akan berhenti selepas mencapai usia 18 tahun.

Saya tidak dapat memberikan komen tentang yoga yang didakwa mampu memberikan apa yang saudara hajati itu. Suplemen dalam bentuk suplemen tidak meningkatkan ketinggian seseorang.

Sepanjang pengetahuan saya, kaedah bukan pembedahan seumpama itu hanya boleh meningkatkan ketinggian, paling banyak pun sekitar 1 hingga 2 sentimeter sahaja.

Saudara mungkin perlu berjumpa doktor untuk menguji kadar hormon pertumbuhan sekiranya saudara ketara lebih rendah berbanding ahli keluarga yang lain.

Sekiranya hormon tersebut kekurangan, doktor akan mempreskripsi suntikan hormon pertumbuhan untuk memperbetulkan masalah ini.

Jika doktor mendapati tulang-tulang saudara terlalu pendek (tidak normal), beliau mungkin menasihatkan agar saudara menjalani prosedur pembedahan di mana tulang akan dipisahkan dan disambungkan semula menggunakan batang besi.

Tulang baru akan terbentuk melalui cara ini, sekali gus menambahkan ketinggian. Kadar kejayaannya adalah tinggi tetapi ia bukan sahaja mahal tetapi juga menyakitkan.

- Jawapan disediakan oleh Pakar Perubatan, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Petaling Jaya, Selangor, Dr. Abdul Malik Jamil Buhari.

10 tahun menghidap selesema

Doktor,
SAYA seorang pelajar berumur 18 tahun. Di sini saya ingin bertanya doktor tentang penyakit yang saya alami ini. Sudah 10 tahun saya menghidap selesema. Setiap hari saya asyik selesema, saya tak pernah tak selesema.

Pada tahun-tahun yang lepas, saya pergi ke klinik kerajaan untuk mendapatkan rawatan tetapi mereka bagi ubat yang sama iaitu ubat selesema. Saya makan ubat tersebut namun tidak ada perubahan langsung.

Saya memang ada resdung tapi adakah penyakit saya ini berkaitan dengan resdung. Boleh tak doktor beri saya jalan bagaimana untuk menghilangkan selesema ini?

FATIN

Fatin,

Masalah selesema yang berterusan selalunya berpunca dari alahan debu ataupun disebabkan oleh pertukaran cuaca, selalunya dari sejuk ke panas. Ia selalunya diubati dengan ubat selesema jangka panjang.

Selesema yang saudari alami ini besar kemungkinan boleh dikaitkan dengan penyakit resdung. Saudari patut mengelakkan tempat-tempat berhabuk dan berasap.

Pastikan langsir, alas tilam dan bantal dicuci kerap dan kawasan dalam dan persekitaran rumah tidak berhabuk. Selain ubat selesema, ubat semburan hidung boleh membantu mengawal masalah selesema ini.

Kadangkala penyakit ini dapat dikawal dengan lebih baik melalui sejenis pembedahan kecil yang dinamakan Diatermi, iaitu penghasilan haba pada suatu bahagian tubuh melalui arus elektrik berfrekuensi tinggi yang dipasangkan pada kulit pesakit, terletak antara dua elektrod.

Saya nasihatkan agar saudari menjalani pemeriksaan dengan pakar untuk memastikan yang penyakit ini sememangnya resdung, sebelum berubat.

- Jawapan disediakan oleh Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Petaling Jaya, Selangor, Dr. Loganathan Athanari.

Selalu berpeluh malam

Doktor,
SAYA mempunyai satu masalah yang saya rasakan telah banyak mengganggu tidur saya tetapi juga menjejaskan kualiti hidup. Saya sering terjaga pada waktu malam, badan rasa sejuk dan berlengas. Keadaan ini sungguh membuatkan saya rasa tidak selesa. Baju yang saya pakai terasa basah seperti direndamkan ke dalam air.

Cadar yang lembap melekap pada badan. Lebih buruk lagi, sebaik sahaja saya bangun menukar pakaian dan kalau rajin, menukar cadarnya sekali dan bersiap sedia untuk mengerekot di dalam selimut, tiba-tiba saya terjaga lagi. Pada kebanyakan masa, sukar untuk saya melelapkan mata semula. Apakah yang menyebabkan keadaan saya ini?

SHAH

Shah,

Berpeluh malam lazimnya ditakrifkan sebagai episod berpeluh yang melampau pada waktu malam sehingga membasahi baju dan tempat tidur. Ia boleh dikatakan satu masalah yang biasa dihadapi oleh kebanyakan orang dari semasa ke semasa.

Sungguhpun ia mendatangkan kesan tidak selesa, berpeluh malam selalunya tidak menandakan masalah perubatan lain yang lebih serius.

Bahkan, ia mungkin dicetuskan oleh sesuatu perkara yang nampak mudah seperti bilik yang terlalu hangat (panas) atau selimut yang terlalu tebal.

Antara masalah perubatan yang berpotensi menyebabkan perpeluhan pada waktu malam termasuklah:

* Menopaus

* Keresahan

* Ubat-ubatan tertentu contohnya sesetengah ubat darah tinggi, pelega demam yang dibeli di kaunter dan antipsikotik

* Penyalahgunaan dadah dan alkohol

* Penyakit refluks gastrousus (GERD)

* Diabetes

Berjumpalah dengan doktor jika anda kerap mengalami keadaan ini sehingga boleh mengganggu tidur anda. Rawatan akan diberikan bergantung kepada punca masalah yang dikenal pasti.

Ada ketikanya berpeluh malam juga boleh menjadi gejala kepada penyakit-penyakit yang lebih berbahaya seperti kanser ataupun jangkitan.

Namun, dalam kes-kes seumpama itu, berpeluh malam diiringi dengan lain-lain tanda dan gejala seperti demam serta berat badan menurun yang sukar dijelaskan.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.