VERSI : Mobile | Akhbar Digital
16 September 2014 / 21 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 16/10/2007

Pergolakan terancang di Palestin

IMBAUAN krisis demi krisis yang melanda dunia Islam sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua memaparkan satu bencana sejagat kepada seluruh umat Islam. Krisis di Asia Barat melibatkan status dan maruah Baitulmuqaddis serta kedudukan mulia Masjid Al-Aqsa dilihat menjadi semakin tidak menentu. Maruah dan kedaulatan masjid tersebut seolah-olah dipermainkan oleh Yahudi-Zionis dengan pencabulan demi pencabulan hak umat Islam untuk beribadat di masjid suci ketiga bagi umat Islam.

Usaha demi usaha telah dilakukan oleh masyarakat antarabangsa, terutamanya oleh anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Liga Arab bagi memerdekakan Palestin. Namun, hakikatnya, untuk melahirkan sebuah negara yang terpisah dari Israel menjadi semakin buntu.

Tindakan memperluaskan konsep pilihan raya dengan memperkenalkan pemisahan kuasa di antara Presiden dan Perdana Menteri ternyata melahirkan bukan Palestin yang lebih demokratik.

Secara strategiknya, dengan pengenalan kepada sistem dua lapisan kuasa tersebut, ia menimbulkan konflik yang lebih serius dan berpanjangan di arena politik tempatan umat Arab Palestin.

Kini, di sebalik konflik di antara Fatah (Harakat al-Tahrir al-Filistiniya) yang ditubuhkan pada 1950-an dan Hamas (Harakat al-Muqawama al-Islamiya) ditubuh pada 1987, pastinya seluruh masyarakat Palestin serta juga dunia Islam khususnya akan memperingati semula era pemerintahan dan perjuangan ikon politik pembebasan Palestin yang terkenal dengan semangat kental tidak menghiraukan ancaman demi ancaman Israel dan sekutu rapatnya Amerika Syarikat (AS).

Jasa Yasser Arafat sebagai pejuang yang menyatukan umat Arab Palestin bagi membina sebuah negara yang bebas dari kezaliman Israel tidak mampu dikesampingkan begitu sahaja.

Peranan Yasser dilihat begitu penting di dalam penyatuan Palestin. Tidak seperti yang berlaku mutakhir ini, di mana politik dalaman Palestin dilihat sedang berada ada kedudukan yang runcing dengan pergolakan dalaman yang semakin memuncak.

Perjuangan Fatah dan Hamas tidak lagi ke arah mempertahankan Palestin dari ancaman Israel, tetapi ia lebih menjurus kepada usaha memenangi ‘perang saudara’ untuk menguasai politik dalam Palestin.

Krisis politik dalaman Palestin sebenarnya telah lama terpendam, ia dapat dikesan sejak akhir pentadbiran Yasser yang dilihat tidak sehaluan dengan Mahmood Abbas (Presiden Palestin kini) yang pada ketika itu dilantik ke jawatan Perdana Menteri selepas desakan Israel dan AS.

Akibatnya, menerusi kewujudan jawatan tersebut, maka bidang kuasa pentadbiran dilihat mula dibahagikan di antara Yasser dan Mahmood, yang kemudiannya mengakibatkan permusuhan dan persaingan merebut jawatan dalam Kabinet Palestin di bawah Fatah dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) ketika itu menjadi tegang. Inilah permulaan kepada situasi masa kini, di mana cubaan AS dan Israel bagi ‘mematikan’ pengaruh Arafat dilihat telah berjaya.

Ini dilakukan berdasarkan perkiraan strategik Israel dan AS yang melihat selagi mana umat Arab Palestin bersatu di bawah satu pemimpin yang menjadi ikon perjuangan politik Palestin, maka ia akan melambatkan proses ‘mengisraelkan’ Palestin.

Akhirnya dengan taktik pembahagian kuasa, serta disusuli pula oleh kematian Yasser pada 11 November 2004, umat Arab Palestin tidak lagi mempunyai ikon yang menjadi platform perpaduan mereka.

Dengan konflik berterusan di dalam Fatah yang menjadi tonggak kuasa utama di dalam pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin, serta kemaraan Hamas yang dilihat pro-rakyat, pilihan raya Palestin pada 2006 telah secara mengejutnya memihak kepada Hamas yang baru sahaja menyertai proses demokrasi buat pertama kalinya.

Keputusan pilihan raya pada 25 Januari 2006 dengan 74 kerusi daripada 132 (dengan Fatah hanya memperoleh 45 kerusi), telah memihak kepada Hamas yang secara jelas dilabelkan sebagai kumpulan pengganas oleh AS, dilihat tidak mendapat restu antarabangsa. Sebaliknya, puak Fatah terus diberikan pengiktirafan serta dianggap sebagai kumpulan sahabat kepada ‘dunia’.

Penyisihan kerajaan Hamas menyebabkan segala bantuan dan sumbangan untuk rakyat Palestin terhenti. Ini menambahkan derita serta menyebabkan pergolakan secara berterusan bagi membunuh perpaduan umat Arab Palestin berjaya dilakukan secara terancang oleh Israel.

Dengan ketidakupayaan memperkemaskan pentadbiran, kurangnya pendapatan negara, serta juga pembahagian kelompok pasukan keselamatan telah menyebabkan Palestin tidak lagi berwajah sebagai sebuah wilayah yang terurus, melainkan ia menjadi semakin anarki tidak berperaturan.

Gagalnya Mahmood untuk membina ketokohan sebagai pemimpin perpaduan umat Arab Palestin juga menghakis nilai-nilai perjuangan Palestin bagi membendung kerakusan Israel.

Akhirnya, pergolakan Fatah dan Hamas tersebut menyebabkan bumi Palestin menjadi kawasan perang proksi di antara Israel-AS (yang membantu Fatah) dan Iran-Syria yang dilihat memberikan sokongan ke atas Hamas bagi menyekat kemaraan Israel.

Berdasarkan laporan akhbar Ha‘aretz yang merupakan akhbar perdana Israel, Mahmood Abbas dan Fatah dinyatakan telah menerima AS$86.4 juta dari AS sebagai sumbangan untuk memperkemaskan pasukan keselamatan Presiden yang dikuasai Fatah tersebut.

Jika ini benar, maka secara tidak langsung, ia memberikan isyarat bahawa AS dan Israel sememangnya merancang untuk mengucar-ngacirkan situasi dan kestabilan politik Palestin untuk mudah mereka menguasainya.

Pertembungan Fatah dan Hamas bukan sahaja dilihat sebagai pertentangan politik yang berlaku secara aman, namun lebih daripada itu, dilaporkan bahawa pertentangan tersebut telah menyebabkan lebih 600 masyarakat awam Palestin telah terbunuh diakibatkan oleh sengketa Fatah dan Hamas tersebut.

Untuk rekod, Palestin hanya diberikan taraf autonomi oleh Israel sejak 1994 menerusi perjanjian damai di antara PLO dan Israel di perjanjian Oslo pada 13 September 1993.

Sementara itu, menurut statistik sejak 2000-2007, kematian akibat konflik di antara Israel dan Palestin pula melaporkan bahawa seramai 4,267 masyarakat awam Palestin telah dibunuh oleh tentera Israel, sementara 41 lagi terkorban akibat dibunuh oleh penduduk awam Israel.

Secara jelas, sekiranya pembunuh berterusan yang bersifat sistematik ini terus berlaku, ditambah pula oleh korban sengketa sesama bangsa sendiri, maka Palestin hanya tinggal nama dalam lipatan sejarah negara bangsa yang pupus di dunia.

Untuk itu, sehingga kini, hayat Palestin hanyalah baru berusia 14 tahun, namun, survival perjuangan bagi mendapatkan hak mutlak sebagai sebuah negara berdaulat dilihat sudah mulai pudar. Palestin dengan 3.8 juta populasi berserta kadar KDNK yang hanya bernilai AS$5.5 bilion telah menjadikan Palestin yang sedang bergolak antara wilayah paling miskin di dunia.

Fatah dan Hamas tidak mempunyai pilihan selain dari menyisihkan persoalan kepentingan politik masing-masing dan kembali bersatu membina sebuah pentadbiran bersama seperti yang dipraktikkan Israel menerusi pengamalan cara pentadbiran ‘Kabinet keselamatan‘nya.

Untuk rekod, sejak jawatan Perdana Menteri diperkenalkan, Palestin dalam masa tidak sampai lima tahun telah mempunyai seramai lima tokoh yang silih berganti menjawat jawatan tersebut. Pada 2007, di bawah mandat rakyat kepada Hamas, dua Perdana Menteri dilantik dan buat masa ini, Salam Fayyad yang mengetuai Kabinet Palestin sejak 15 Jun yang lalu dilihat sebagai orang tengah bagi meredakan pertentangan Fatah di bawah pimpinan Mahmood (yang juga Presiden Palestin) dan Hamas.

Jika situasi yang melanda politik dalaman Palestin lebih berfokus kepada perjuangan puak dan pertubuhan untuk meraih sokongan bagi memerintah bumi yang semakin mengecil, dikhuatiri masyarakat dunia terutamanya masyarakat Islam dan Arab tidak akan mampu lagi melihat dan mempertahankan Masjid Al-Aqsa di tangan umat Islam.

Akhirnya, apa yang akan berlaku, berkemungkinan ia akan menjadi penyebab kepada kepupusan Arab Palestin yang kini dianggap sebagai penumpang di negara sendiri.

* MD. Shukri Shuib, Pensyarah di Fakulti Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:11
Asar 4:12
Maghrib 7:14
Isyak 8:23



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.