VERSI : Mobile | Akhbar Digital
2 September 2014 / 7 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
HIBURAN

ARKIB : 14/10/2007

Belahan jiwa Ras Adiba

SEMENJAK beberapa tahun lalu, 1 Syawalnya jarang benar berseri. Meskipun dia kelihatan tabah dan bersemangat menjalani kehidupan, jauh di sudut hati dia sebenarnya banyak mengusung duka.

Hari-hari yang dilalui hanya dari atas kerusi roda menjadikan 1 Syawal seorang Ras Adiba Radzi tidak lagi bererti sama sekali.

Pun begitu, yang namanya duka itu tidak akan selamanya kekal dalam diri. Akan datang sinar bahagia membawa bersama ceria. Sinar itu akan menghapuskan segala duka, segala lara.

Kehadiran lelaki bernama Umar Ras Engel Abdullah membawa pergi segala calar dan duka yang selama ini berbekam di hatinya.

Anak kecil itu meskipun tidak mengerti apa-apa, tetapi memberikan banyak jasa kepada ‘mamanya’ personaliti yang pernah mendapat tempat di hati kita semua dengan kemunculannya di depan kaca televisyen sebagai pembaca berita.

Tiada lagi cerita duka

Kata Ras Adiba, Umar membina semula jiwanya yang semakin roboh dan tertekan semenjak kehilangan besar setahun lalu.

“Kehadiran Umar adalah keajaiban yang tidak pernah Dib fikirkan. Alhamdulillah setelah sekian lama menanti, akhirnya Umar datang dalam hidup Dib. Membawa sinar dan cahaya baru kepada kami,” katanya dengan bahasa berbunga-bunga.

Bunga bahasa itu memperlihatkan keindahan hatinya pada ketika ini yang sedang dilamun kebahagiaan. Anak kecil itu merobah banyak perkara dalam kehidupannya pada hari ini.

Umar yang merupakan anak kepada seorang saudara jauh Ras Adiba dijadikan anak angkat personaliti wanita ini semenjak setahun lalu.

Kehadirannya bagaikan bintang yang menerangi malam setelah keluarga Ras Adiba kehilangan orang tersayang hujung tahun 2006.

Adik lelaki Ras, Iqbal Ismail, 27 tahun meninggal dunia kerana menghidap penyakit hati. Selepas kehilangan adik lelaki berkenaan, kedukaan Ras semakin bertambah. Hari-harinya lebih banyak dihabiskan di bilik sahaja dan dia mengambil masa hampir tiga bulan untuk menerima kenyataan kehilangan yang cukup memeritkan itu.

“Selepas adik meninggal dunia, dia membawa bersama seluruh semangat kami. Saya yang paling terkesan kerana setiap malam, setiap hari dia yang banyak membantu saya menjalani kehidupan selepas saya menjadi OKU,” demikian lakar Ras Adiba mengenai adik kesayangannya.

Menurut Ras Adiba, adik itulah yang menyediakan ubat-ubatan untuk dia, menemani ke mana saja setiap kali ada kelapangan.

Sebab itu selepas pemergiannya pergi, seluruh keluarga Ras Adiba berasa kehilangan yang sangat besar. Justeru dia memberitahu ibu dan ayahnya yang dia kena lakukan sesuatu. “Alhamdulillah kehadiran Umar itulah yang menjadi sinar dalam kehilangan itu,” katanya.

Harapan kepada Umar

Mengambil anak angkat dan menjaganya sendiri bukan satu tugas yang mudah. Besar amanat dan tanggungjawab yang terpikul di bahunya. Apatah lagi untuk seorang ibu yang kurang upaya seperti Ras Adiba.

Pun begitu, dia tidak mahu menjadikan kekurangan dirinya sebagai halangan untuk memberikan ‘hak’ dan peluang yang sama adil kepada Umar.

Seperti kanak-kanak lain yang mendapat kasih sayang dan belaian manja si ibu, Umar juga tidak kurang sedikitpun.

Setiap pagi tugas Ras Adiba ialah memandikan si kecil yang semakin keletah ini. Kemudian menyediakan makanan si kecil dengan air tangannya sendiri. Umar juga manja di sebelah ibunya setiap kali malam menjelma.

Bahkan Ras Adiba juga mengambil sejenis pil bagi merangsang pengeluaran ‘susu badan’ agar dia dapat memberikan penyusuan eksklusif kepada anak berkenaan.

Segala kebahagiaan yang dirasai oleh seorang ibu turut sama dirasai oleh Ras Adiba dalam membela dan menjaga Umar.

“Perasaan saya menjadi lain apabila dapat memberi penyusuan eksklusif kepada Umar. Tak boleh dibayangkan dengan kata-kata keindahan saat-saat itu,” ujar Ras Adiba.

Terasa kasih sayang itu mengalir pantas dan deras dalam diri mereka pada setiap kali Umar menyusu badan. Inilah yang dinamakan keajaiban Tuhan.

“Saya benar-benar merasai perasaan sebagai seorang ibu, meskipun saya bukan ibu kandung Umar,’’ katanya dengan sayang yang berkaca di matanya.

Menjadi harapan Ras Adiba agar besarnya anak kecil itu nanti dengan penuh kasih sayang yang tebal kepada insan yang kurang upaya sepertinya.

Ras Adiba percaya, anak seperti Umar akan lebih menghargai erti kasih sayang sesama insan apabila dia memahami makna kehidupan suatu masa nanti.

“Doktor kata, kalau kita ada anak-anak, anak itu akan dapat sesuaikan kehidupan mereka dengan cara OKU seperti kami. Di rumah bila tengok emak dia mengengsot untuk memasak, bergerak dengan susah payah, tentunya rasa kemanusiaan mereka semakin tinggi melihat kesusahan orang lain. Doa saya agar Umar menjadi anak yang mampu membantu insan lain yang memerlukan suatu masa nanti,’’ katanya lagi.

Mahu ayah untuk Umar

Setelah memiliki Umar, perasaan Ras Adiba untuk memiliki zuriat sendiri semakin menggebu. Keletah Umar dan kebahagiaan yang dibawa bersama anak kecil itu membuatkan Ras Adiba semakin bersemangat untuk memiliki zuriat sendiri suatu hari nanti.

“Memang impian untuk punya anak sendiri tidak pernah berakhir. Cuma masalahnya, sampai ke hari ini belum bertemu jodoh,” katanya dengan senyum nipis.

Ras Adiba memberitahu, pihak doktor sudah membuat pengesahan yang dia mampu menjalankan tanggungjawab seperti wanita lain termasuk mengandung dan melahirkan anak. Meskipun dalam keadaan dirinya yang cacat separuh badan.

“Tapi kita OKU. Saya selalu fikir, adakah orang yang boleh menerima saya sebagai isteri? Entahlah, soal jodoh dan pertemuan saya serahkan kepada Allah. Kalau ada, baik untuk Umar juga sebab dia akan punyai bapa. Tetapi kalau tak ada, saya akan jadi ibu dan bapa yang terbaik kepada Umar,’’ katanya lagi dengan mata yang bersinar-sinar dengan harapan.

Kata Ras Adiba, dia sedar bukan sesuatu yang mudah untuk lelaki normal berkahwin dan menjalani kehidupan dengan orang kurang upaya seperti dirinya.

Banyak yang kena berubah, untuk disesuaikan dengan keadaan pasangan. Sudah ada lelaki yang sudi, keluarganya pula sukar menerima. Dia sedar itu semua perlu dilalui tanpa perlu menyalahkan kepada takdir diri.

Justeru buat masa sekarang, dia tidak mahu terlalu memikirkan soal perkahwinan atau lelaki idaman kerana tidak mahu hatinya diganggu dengan hal-hal yang mengecewakan.

Cukuplah bagaimana dia menanggung sendiri derita apabila majlis perkahwinan yang dirancang bersama seorang lelaki Perancis berkecai di tengah jalan.

Hanya seminggu sebelum naik pelamin, majlis terpaksa dibatalkan. Sedang kad jemputan, tempahan dewan dan persalinan sudah dibuat, keluarga lelaki muda itu mengambil jalan memutuskan perhubungan mereka kerana tidak mahu masa depan anaknya berhadapan dengan risiko kerana berkahwin dengan wanita OKU.

“Kalau dikenangnya, memang Dib serik. Tetapi itu adalah cabaran yang mematangkan. Sampai ke hari ini saya tidak pernah berdendam dan kami kekal sebagai kawan baik.

“Dalam hidup saya memang banyak cabaran. Tetapi nasib baik kita seorang yang boleh bergelak ketawa lagi. Tak adalah kita rasa diri kita dibalut kekecewaan setiap masa,“ katanya.

Bercakap soal 1 Syawal lagi, malam hari raya pertama yang lalu disambut di kediamannya sendiri di Pantai Hill Park.

Pagi semalam, mereka sekeluarga mengunjungi pusara keluarga terdekat sebelum bertolak balik ke Kuala Pilah untuk bertemu saudara-mara di sebelah sana.

“Saya seronok tengok Umar diterima dengan penuh kasih sayang dalam keluarga. Kegembiraan itu telah kembali semula ke dalam keluarga kami dan saya benar-benar bersyukur kepada Ilahi,” kata Dib lagi mengakhiri perbualan kami dalam pertemuan itu.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:52
Zohor 1:16
Asar 4:23
Maghrib 7:20
Isyak 8:30


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.