Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 06/10/2007
Rais Yatim sedia debat isu lagu Rasa Sayang

Rais Yatim sedia debat isu lagu Rasa Sayang

KUALA LUMPUR 5 Okt. – Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim sedia berhujah dari segi undang-undang dan budaya Nusantara bagi membuktikan lagu Rasa Sayang tidak boleh dituntut oleh mana-mana negara termasuk Indonesia.

Beliau juga mahu melihat apakah tindakan dan undang-undang antarabangsa yang bakal digunakan oleh Indonesia bagi membuktikan lagu tersebut sebagai hak warisan negara itu.

‘‘Kita mempunyai bukti yang kukuh daripada kajian terperinci untuk menangkis tuntutan Indonesia tersebut,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan ahli-ahli Parlimen Indonesia yang mahu pemerintah Indonesia menyaman kerajaan Malaysia kerana menggunakan lagu tradisonal mereka iaitu Rasa Sayange dalam kempen ‘Malaysia: Truly Asia’ bagi menarik kemasukan pelancong asing.

Warisan

Lagu tersebut dikatakan sudah menjadi warisan sejati republik itu dan penggunaannya perlu mendapat keizinan daripada negara berkenaan terlebih dahulu.

Menurut Rais, pemimpin-pemimpin di Indonesia patut melihat lagu-lagu rakyat Nusantara sebagai medium untuk memupuk keharmonian dan hubungan dua hala di antara negara dan bukan untuk berbalah dengan Malaysia.

Gesaan itu, ujarnya, menunjukkan ahli Parlimen Indonesia yang terlibat tidak memahami makna budaya Nusantara serta mempunyai pemikiran yang mundur.

‘‘Lagu-lagu rakyat Nusantara tidak boleh dituntut oleh mana-mana negara kerana ia telah lama wujud melalui masyarakat pedagang dan tersebar di seluruh Nusantara sejak zaman Sri Wijaya lagi iaitu pada abad keenam hingga 13,’’ jelasnya.

Beliau berkata, rakyat Nusantara bermakna semua penduduk alam Melayu iaitu Malaysia, Indonesia, Selatan Thailand, Singapura, Brunei dan sebahagian daripada masyarakat Melayu minoriti Afrika Selatan serta Sri Lanka.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN