|
![]() |
|
ABDULLAH Ahmad Badawi berbincang dengan Mahmoud Abbas di New York, semalam. – Bernama. |
NEW YORK 29 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, masalah perpecahan di Palestin antara kumpulan Hamas yang menguasai Gaza dan Fatah di kawasan Tebing Barat tidak perlu dijadikan isu antarabangsa yang memerlukan campur tangan pihak luar untuk menyelesaikannya.
Menurut Perdana Menteri, Gaza dan Tebing Barat penting kepada kedudukan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat dan isu perpecahan perlu diselesaikan sesama pemimpin kumpulan berkenaan.
Sehubungan itu, katanya, sebarang rundingan termasuk sidang kemuncak keamanan pada November ini yang akan turut dihadiri oleh Malaysia mesti mengambil kira Palestin sebagai sebuah negara yang tidak terbahagi dua.
“Saya percaya Presiden Palestin, Mahmoud Abbas akan berjaya mengatasi masalah dalamannya itu dan menjadi Presiden yang dapat menguasai bumi Palestin,” katanya kepada wartawan Malaysia di akhir kunjungannya ke New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di sini.
Terdahulu, Abdullah mengadakan pertemuan dua hala dengan Mahmoud. Turut hadir ialah Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Hamidon Ali.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kumpulan Hamas mesti sanggup kembali ke meja rundingan untuk memastikan sebarang perbincangan yang dilakukan oleh Palestin nanti akan mencapai kejayaan.
Mengenai pertemuannya dengan Perdana Menteri Iraq, Nouri Al- Maliki, beliau berkata, kerajaan baru Iraq itu perlu memainkan peranan untuk mewujudkan perdamaian antara pihak yang berbalah.
Abdullah percaya jika peranan itu dilaksanakan secara bersungguh- sungguh dan ikhlas, perdamaian akhirnya akan dapat dicapai di Iraq.
“Dan apabila nanti wujud perpaduan di kalangan rakyat Iraq, mereka akan dapat menentukan masa depan sendiri. Ini seterusnya akan menjadi kekuatan untuk memulihkan Iraq,” katanya lagi.
Mengulas kehadirannya pada UNGA kali ini, Abdullah berkata, pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin penting mencapai matlamat dan Malaysia telah mengemukakan pandangan-pandangannya berhubung isu- isu yang menjadi keutamaan PBB.
“Daripada perbincangan di peringkat saya dan menteri luar, jelas ada kehendak supaya Malaysia turut terlibat memainkan peranan dalam PBB termasuk melalui WEF (Forum Ekonomi Dunia) dan Alliance of Civilization (Perikatan Ketamadunan),” tambahnya.
– Mingguan
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|