Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 14/09/2007
Perhimpunan Raksasa Ekonomi Melayu, Oktober ini

Perhimpunan Raksasa Ekonomi Melayu, Oktober ini

IPOH 13 Sept. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan melancarkan Perhimpunan Raksasa Ekonomi Melayu di Alor Star pada 28 Oktober ini.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, sebanyak 20,000 pengusaha dan peniaga Melayu dari Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis dijangka hadir pada majlis tersebut.

Katanya, ia juga diadakan sempena penubuhan Gabem di utara Semenanjung yang turut mempamerkan produk dan perkhidmatan oleh pengusaha-pengusaha terkemuka bumiputera dari negeri-negeri berkenaan.

‘‘Penubuhan Gabem di utara adalah untuk memastikan orang Melayu juga mengambil bahagian dalam pembangunan Koridor Utara yang dilancarkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

‘‘Penubuhannya juga untuk memastikan tidak timbul masalah ketirisan ekonomi di kalangan orang Melayu supaya gejala ini dapat ditangani dengan serius,” katanya pada sidang akhbar selepas mengunjungi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali di pejabatnya di sini hari ini.

Melalui penubuhan Gabem di negeri-negeri, menurut beliau, akan melahirkan masyarakat peniaga bumiputera yang lebih berketerampilan.

‘‘ Kita berharap Gabem akan menjadi kumpulan pendesak dalam memastikan orang Melayu mendapat bahagian lebih besar dalam pembangunan ekonomi,’’ katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali berkata, Perak telah menyenaraikan 20 ahli korporat terkemuka untuk menganggotai jawatankuasa pengurusan Gabem negeri.

Katanya, bekas ahli politik dan tokoh korporat, Tan Sri Ahmad Azizuddin dijangka dilantik mengetuai Gabem Perak.

‘‘Saya telah menyenaraikan 10 tokoh terkemuka untuk mengetuai badan ini dan 10 lagi yang akan dilantik oleh Tan Sri Abdul Rahim,” katanya.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN