|
![]() |
|
Salah seorang peniaga di Pasar Sungai Besi, Kuala Lumpur menjual ayam dengan harga RM7 sekilogram, melebihi harga siling RM5.60 sekilogram, semalam. – Gambar HAFIZ JOHARI. |
KUALA LUMPUR 11 Sept. – Kemelut kenaikan harga ayam semakin meruncing apabila para peniaga beberapa pasar besar di seluruh negara tidak mengendahkan amaran kerajaan dengan menaikkan harga ayam melebihi had siling RM5.60 yang ditetapkan, sejak awal minggu ini.
Walaupun Persatuan Peniaga Ayam Itik Perak ‘menggertak’ untuk menaikkan harga ayam daripada RM5.60 kepada RM6.50 mulai Khamis ini, tetapi hakikatnya peniaga-peniaga ayam sudah pun berbuat demikian sejak beberapa hari lalu.
Malah ada aduan sesetengah pasar raya kini mendapat bekalan ayam yang terhad dipercayai sebagai tindakan pembekal untuk ‘memanipulasi’ harga.
Para peniaga nampaknya tidak ambil peduli dengan penentuan harga barang kawalan yang hanya akan diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga Khamis ini, iaitu tarikh bermula Skim Kawalan Harga Sempena Hari Raya Puasa.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar di seluruh negara mendapati harga ayam dijual sehingga melebihi RM1 daripada had siling yang ditetapkan.
Sehubungan itu, KPDNHEP mengulangi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap para peniaga yang masih berdegil menaikkan harga sewenang-wenangnya.
Setiausaha Parlimennya, Hoo Seong Chang menegaskan harga siling yang diguna pakai sekarang pun ditetapkan hasil perbincangan dengan persatuan dan penternak ayam.
Menjawab soalan tambahan Datuk Hashim Jahaya (BN-Kuala Kedah) di Dewan Rakyat hari ini, beliau bagaimanapun berkata, kementerian sedia berbincang dengan peniaga bagi membantu mereka membendung kos makanan ternakan.
Semalam, Pengerusi Persatuan Peniaga Ayam Itik Perak, Jimmy Chong Tong Sing berkata, mereka sanggup disaman oleh KPDNHEP daripada terus menanggung kerugian kerana perkara itu telah dipersetujui oleh lebih 1,000 ahli persatuan.
Dalam pada itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyifatkan tindakan peniaga-peniaga menaikkan harga sebagai angkuh dan membelakangkan kerajaan.
Presidennya, S.M Mohamed Idris berkata, kenaikan sebanyak 90 sen di negeri itu amat besar dan menekan pengguna yang terpaksa berbelanja lebih menjelang musim perayaan.
‘‘Kedegilan persatuan tersebut menyebabkan pengguna tersepit dengan kemelut harga barang keperluan setiap kali musim perayaan tiba,’’ katanya.
Sementara itu, tinjauan di Pasar Pudu di sini mendapati rata-rata peniaga mendakwa kekurangan bekalan serta harga borong yang semakin tinggi mencecah RM5.60 sekilogram menjadi punca mereka menaikkan harga.
Seorang peniaga ayam, Sanudin Isnin, 57, berkata, pemborong sudah menaikkan harga ayam sedikit demi sedikit beberapa hari lalu.
Seorang lagi peniaga ayam, Azmin Abdullah, 38, berkata, pihaknya tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.
Menurutnya, pemborong mungkin menyorokkan bekalan sebagai helah untuk mengaut keuntungan berganda sempena Ramadan dan Aidilfitri.
Di Kuala Terengganu, tinjauan di Pasar Besar Kedai Payang mendapati, ayam proses dijual di antara RM6.50 dan RM6.70 sekilogram sejak awal minggu ini berbanding RM6 sekilogram minggu lalu.
Di Butterworth, harga ayam mencecah RM6.60 sekilogram di Pasar Awam Seberang Jaya, Pasar Awam Bukit Mertajam dan Pasar Orang Kaya.
Seorang peniaga, Abdul Talib Mansor, 45, berkata, mereka terpaksa menaikkan harga ayam kerana pembekal menaikkan harga.
“Pemborong jual (kepada peniaga) RM5.50 dan kerajaan minta kami jual pada harga RM5.60, ini sudah tidak betul kerana takkanlah kami hanya untung 10 sen,” katanya yang berniaga di Pasar Awam Seberang Jaya.
Di Perak, peniaga-peniaga ayam di Pasar Besar Ipoh mengambil tindakan menutup gerai dan segelintir lagi hanya berniaga separuh hari.
Di Johor Bahru, seorang peniaga ayam di Pasar Borong Pandan, Musa Ahmad, 36, berkata, dia terpaksa menjual kepada pembeli pada harga RM6 sekilogram mulai hari ini iaitu untung hanya 40 sen.
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|