VERSI : Mobile | Akhbar Digital
23 April 2014 / 23 Jamadil Akhir 1435  
  Carian Arkib
RENCANA

ARKIB : 04/09/2007

Jana proses demokrasi

50 tahun yang lalu, tanggal 4 September 1957, empat hari selepas negara mencapai kemerdekaan (31 Ogos 1957), secara rasminya Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) ditubuhkan.

SPR ditubuh mengikut Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan dengan fungsi- fungsi dan tanggungjawabnya diperuntukkan di bawah Perkara 113 - 120 dan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan. Dengan penubuhan ini, maka bermulalah sejarah pelaksanaan sistem demokrasi melalui pilihan raya negara bagi negara ini diuruskan oleh sebuah suruhanjaya khusus untuk tujuan tersebut.

Bersempena menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-50, SPR hari ini turut menyambut jubli emas ulang tahun penubuhannya. Sebagai mercu tanda ulang tahun yang ke-50, SPR telah menerbitkan buku sejarahnya dalam bentuk buku bergambar, bertajuk 50 Tahun Demokrasi dan Pilihan Raya di Malaysia.

Peranan utama SPR adalah untuk mengurus, memelihara dan mengekalkan proses demokrasi di negara ini melalui sistem pilihan raya yang bebas dan adil.

Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan menetapkan tiga fungsi utama SPR; Pertama - Mewujudkan bahagian-bahagian pilihan raya dan menjalankan urusan ulang kaji persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya mengikut tempoh yang ditetapkan di bawah Perlembagaan; Kedua - Menyediakan Daftar Pemilih dan menjalankan urusan pendaftaran dan penyemakan daftar pemilih sepanjang tahun; Ketiga - Menjalankan pilihan raya sama ada pilihan raya umum ataupun pilihan raya kecil apabila berlaku kekosongan kerusi di luar jangka.

Untuk pelaksanaan fungsi-fungsi tersebut, objektif utama SPR ialah untuk memastikan rakyat yang layak di sisi undang-undang mendapat haknya di sisi Perlembagaan sebagai pengundi dan mengundi dalam pilihan raya bagi memilih perwakilan dan kerajaan.

Kepercayaan

Keanggotaan SPR adalah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja serta mengambil kira peri mustahaknya suruhanjaya yang ditubuhkan itu mendapat kepercayaan awam. Tempoh memegang jawatan bagi ahli-ahli SPR ialah sehingga mencapai umur 65 tahun.

Walau bagaimanapun, seseorang ahli itu akan terbatal keahliannya jika beliau didapati hilang kelayakan atas sebab-sebab seperti yang termaktub di bawah Perkara 114 (4) Perlembagaan, seperti menjadi seorang bankrap; disabit kesalahan oleh mahkamah; memegang apa-apa jawatan lain yang berpendapatan; atau menjadi ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri.

Ketika ditubuhkan pada 4 September 1957, SPR mempunyai tiga orang ahli iaitu seorang pengerusi dan dua ahli lain. Pengerusi SPR yang pertama ialah Datuk Mustafa Albakri Hassan, yang memegang jawatannya selama 10 tahun dari tarikh penubuhannya sehingga 1967.

Dua ahli lain ketika itu ialah Jitt Singh dan Datuk Lee Ewe Boon. Pada tahun 1963, berikutan dengan penubuhan Malaysia (16 September 1963) pindaan telah dibuat kepada Perkara 114 Perlembagaan untuk menambahkan keanggotaan SPR kepada empat orang iaitu seorang pengerusi dan tiga orang ahli. Ahli yang ketiga itu ialah sama ada dari Sabah atau Sarawak yang dilantik secara bergilir. Datuk Abang Marzuki Nor dari Sarawak menjadi ahli pertama mewakili dua negeri berkenaan.

Sejak penubuhannya pada 4 September 1957 sehingga sekarang, SPR telah diterajui oleh enam orang pengerusi bermula dengan Datuk Mustafa Albakri Hasan (1957-1967); Pengerusi kedua, Tan Sri Datuk Ahmad Perang (1967- 1977); Pengerusi ketiga , Tan Sri Datuk Abdul Kadir Talib (1977-1990), Pengerusi keempat, Datuk Harun Din (1990- 1999); Pengerusi kelima Datuk Omar Mohd. Hashim (1999-2000) dan Pengerusinya sekarang Tan Sri Datuk Seri Ab. Rashid Ab. Rahman.

Pada tahun 1981, Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan telah dipinda untuk kali kedua bagi mewujudkan jawatan seorang timbalan pengerusi. Timbalan Pengerusi SPR yang pertama ialah Abdul Rahman Abu Hassan (1982- 1992), diikuti dengan Datuk Omar Mohd Hashim (1992-1999), Datuk Abdullah Zawawi Mohamed (2000-2004), dan Timbalan Pengerusinya sekarang Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Pada 2002, peruntukan berkenaan dipinda sekali lagi untuk menambahkan keanggotaan SPR menjadi tujuh orang (seperti yang ada sekarang) iaitu masing- masing seorang pengerusi dan timbalan pengerusi dan lima ahli lain termasuk seorang ahli dari Sabah dan seorang ahli dari Sarawak.

Lima ahli SPR yang sekarang dalam perkhidmatan ialah Datuk Zainal Abidin Mat Said, Datuk Jamdin Buyong (Sabah), Mohamed Ramji Alli (Sarawak), Dr. Chu Ling Heng dan Datuk Dr. P. Manogran.

Bagi menjalankan fungsinya, SPR menubuhkan sebuah urus setia yang diketuai oleh seorang setiausaha selaku ketua pentadbir. Urus setia SPR bertanggungjawab untuk melaksanakan keputusan-keputusan dan arahan SPR berhubung dengan semua perkara berkaitan pilihan raya. Sejak penubuhannya, SPR beroperasi dari ibu pejabat di Kuala Lumpur dan pada tahun 2001 berpindah ke Putrajaya.

SPR juga mempunyai pejabat di setiap negeri yang diketuai oleh pengarah pilihan raya negeri dan timbalan pengarah masing- masing. Pejabat-pejabat di peringkat negeri merupakan elemen terpenting dalam melaksanakan semua fungsi dan keputusan SPR. Semua pegawai dan kakitangan SPR adalah terdiri daripada anggota-anggota Perkhidmatan Awam.

Seksyen 3, Akta Pilihan Raya 1958 menetapkan bahawa pegawai-pegawai yang ditempatkan di urus setia SPR perlu dibuat pelantikan rasmi oleh SPR sebelum layak dan boleh menjalankan tugasan di bawah fungsi SPR seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.

Dari tahun 1957 hingga sekarang, SPR telah mengendalikan sebanyak 11 pilihan raya umum bermula dengan pilihan raya umum pertama pada tahun 1959 sehingga pilihan raya umum ke-11 pada tahun 2004. Pilihan raya umum 1959 melibatkan sebanyak 104 Bahagian Parlimen dan 282 bahagian Dewan Undangan Negeri. Bahagian-bahagian pilihan raya tersebut diwujudkan hasil daripada urusan persempadanan pertama yang dijalankan pada tahun 1958.

Dalam pilihan raya umum tersebut, Parti Perikatan telah memenangi 74 kerusi Parlimen dan turut memenangi 207 kerusi DUN dan berjaya menubuh kerajaan di semua negeri kecuali Kelantan dan Terengganu. Peratusan keluar mengundi ialah sebanyak 73.3 peratus daripada jumlah 2,133,272 pemilih berdaftar pada tahun itu.

Ini diikuti dengan pilihan raya-pilihan raya umum tahun 1964, 1969, 1974, 1978, 1982, 1986, 1990, 1995, 1999 dan yang terbaru iaitu pilihan raya umum ke-11 pada 21 Mac 2004. Pilihan raya umum tahun 2004 melibatkan 219 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri tidak termasuk Dewan Undangan Negeri Sarawak di mana pilihan raya DUN diadakan berasingan.

Dalam pilihan raya ini, seramai 9,756,097 pemilih berdaftar untuk pengundian kerusi Parlimen manakala 8,488,996 untuk Dewan-Dewan Undangan Negeri (kecuali Sarawak). Sidang Parlimen yang pertama selepas pilihan raya tersebut ialah pada 17 Mei 2004. Oleh yang demikian, dikira lima tahun dari tarikh tersebut, tempoh hayat Parlimen sekarang akan berakhir pada 16 Mei 2009.

Kemerdekaan

Pilihan raya umum ke-12 yang akan datang ialah pilihan raya sempena 50 tahun negara mencapai kemerdekaan. Tentunya ia merupakan satu detik yang bersejarah kepada SPR dan negara.

Urusan persempadanan bahagian- bahagian pilihan raya melibatkan urusan kajian dan persempadanan semula mengikut tempoh yang ditetapkan di bawah Perkara 113 dan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan. Dari tahun 1957 hingga sekarang, SPR telah menjalankan sebanyak lima kali urusan persempadanan semula bermula urusan yang pertama tahun 1958, diikuti dengan urusan-urusan tahun 1966, 1974, 1982 dan yang terbaru pada tahun 2003.

Hasil daripada tindakan persempadanan-persempadanan semula tersebut, jumlah Bahagian Parlimen telah bertambah dari 52 kerusi, yang asal diwujudkan oleh pemerintah British sebelum Merdeka untuk kegunaan dalam Pilihan Raya Majlis Perundangan Persekutuan pada 27 Julai 1955, kepada sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 576 kerusi DUN yang diwujudkan selepas persempadanan semula tahun 2003.

Selepas 50 tahun beroperasi sebagai badan pengurusan pilihan raya di bawah Perlembagaan, SPR sekarang boleh dianggap telah matang dan mempunyai pengalaman yang luas dalam menjalankan tanggungjawab dan peranannya.

Tiga fungsi utama seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan telah dilaksanakan dengan lancar dan mencapai objektifnya. Rakyat yang layak dijamin hak di sisi Perlembagaan dan bebas untuk memilih perwakilan dan kerajaan. Rakyat bebas mendaftar pada bila-bila masa sebagai pemilih.

Berbagai tindakan penambahbaikan dibuat terhadap sistem pendaftaran pemilih selaras dengan kemajuan teknologi dan (ICT) serta mengikut kesesuaian persekitaran semasa. Objektif utama penambahbaikan adalah untuk kepentingan rakyat dan memastikan semua warganegara yang layak dapat mendaftar sebagai pemilih dan mengundi dalam pilihan raya.

Tempoh 50 tahun juga telah menampilkan pelbagai perubahan dan kemajuan dalam proses dan perjalanan pilihan raya, sama ada melibatkan pindaan undang-undang dan peraturan-peraturan ataupun penambahbaikan prosedur kerja di setiap peringkat urusan pilihan raya (urusan penamaan calon, berkempen, pengundian, pengiraan dan penjumlahan undi, prosedur pengisytiharan dan lain-lain).

Selain itu, berbagai aktiviti dan tugasan baru turut dilaksanakan termasuk pendidikan pengundi, program latihan yang terancang dan penubuhan Akademi Pilihan Raya untuk melatih pegawai-pegawai dan petugas-petugas pilihan raya secara berterusan.

Untuk mencapai objektif penubuhannya bagi memelihara dan mengekal sistem demokrasi berparlimen di negara ini melalui proses pilihan raya yang bebas dan adil, SPR sentiasa peka kepada hasrat dan kehendak negara serta pelanggan-pelanggannya, terutama rakyat selaku pengundi dan parti-parti politik yang merupakan elemen penting dalam sistem demokrasi berperwakilan.

Dalam konteks ini, SPR mengharapkan penglibatan dan komitmen dari semua pihak yang terlibat dalam urusan pilihan raya.

Demokrasi tidak boleh berfungsi secara berkesan jikalau rakyat tidak menghargai dan tidak menggunakan haknya sebagai pengundi. SPR akan terus berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik, adil dan saksama demi untuk kepentingan rakyat dan negara.

* DATUK WAN AHMAD WAN OMAR ialah Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya.

Utusan Online on Facebook
Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:48
Zohor 1:14
Asar 4:29
Maghrib 7:20
Isyak 8:31
 
 



IKLAN@UTUSAN



BANCIAN ONLINE
IKLAN@UTUSAN

MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.