Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
RENCANA

ARKIB : 02/09/2007
Cerita di sebalik berita penting tidak dilaporkan

Cerita di sebalik berita penting tidak dilaporkan

SEKALI peristiwa seorang penulis Barat mencatatkan terjemahan beberapa ayat suci al-Quran dalam bukunya mengenai Orang-Orang Asli tidak beragama di sebuah wilayah Amerika Selatan.

Beberapa tahun sebelumnya, beliau menjelajah beberapa negara majoriti penduduk Islam di Asia Tengah. Beliau berusaha melawat sebuah masjid yang menyimpan satu khazanah penting, iaitu kitab al-Quran tulisan semasa kepimpinan Sayidina Othman.

Sebahagian dari ayat-ayat yang dicatatnya itu ialah dari surah al-Baqarah. Terjemahan darinya dalam bahasa Inggeris seperti dalam The Holy Quran, terbitan di Al-Madinah Al-Munawarah, berbunyi demikian:

Our Lord! Lay not on us

a burden greater than we

have strength to bear.

Blot out our sins

and grant us forgiveness.

Have mercy on us

Thou art our Protector.

Grant us victory

over the unbelievers

Terjemahannya dalam bahasa Melayu dari Kitab Tafsir Quran Karim oleh Profesor Dr. H. Mahmud Yunus (Pustaka Al-Azhar Kuala Lumpur) seperti berikut:

Ya Tuhan kami, janganlah pikulkan ke atas pundak kami

Apa-apa yang tidak ada kesanggupan kami;

maafkanlah kami dan

Ampunilah dosa kami.

Engkau wali (pemimpin) kami,

Maka tolonglah kami melawan

Kaum yang kafir.

Ayat-ayat tersebut dipilih oleh penulis Barat itu setelah melihat keadaan semula jadi Orang-Orang Asli tersebut. Lain hal berlaku kini seperti dinyatakan oleh Profesor Dr. Chandra Muzaffar, Presiden Gerakan International Just World (JUST), iaitu bersabit peristiwa yang berlaku di Afghanistan setelah sebilangan wanita Korea Selatan diculik oleh laskar Taliban pada 19 Julai lalu.

Kenyataan Muzaffar bermula: “Tidaklah mengejutkan bahawa sebilangan kerajaan-kerajaan Islam dan organisasi awam mengecam penculikan itu. Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sendiri mengambil sikap tegas dan mendesak supaya mereka yang ditahan itu dibebaskan tanpa syarat.

Penculikan itu bertentangan dengan etika Islam. Lebih dikutuk ialah pembunuhan dua dari 23 orang yang menjadi tebusan.”

Dalam pada itu, Muzaffar menarik perhatian kepada pelbagai pertanyaan dari sebilangan orang Korea sendiri kenapa peranan beberapa kumpulan orang Korea di luar negeri tidak dijelaskan oleh pihak media.

Pertanyaan timbul apakah orang-orang Korea itu harus mencampur aduk kerja-kerja kebajikan dengan kegiatan-kegiatan dakwah Kristian di negara-negara asing seperti Afghanistan yang Islam?

Kerana kesemua yang diculik adalah ahli-ahli Saemmul Community Church di Bundang, pinggir kota Seoul, ibu negara Korea: Pada tahun lalu kira-kira 1,200 pendakwah Kristian tiba di Kabul atas alasan menghadiri “pesta kedamaian.” Atas bantahan rakyat Afghanistan yang semua Islam maka mereka diperintah balik ke Korea.

Muzaffar mengingatkan betapa selama ini masyarakat Katolik dan Protestan telah menjalin hubungan baik dengan masyarakat Islam, Hindu dan Buddis di sebahagian besar benua Asia.

Sementara itu, akhbar Times, London menyiarkan berita pihak Taliban membebaskan dua wanita Korea yang menjadi tebusan. Masih ditahan ialah 19 orang lagi wanita pendakwah Kristian (menurut berita selanjutnya mereka dibebaskan dengan syarat tidak meneruskan “missionary activity” mereka).

Menjadi pertanyaan ialah kenapa peranan wanita itu sebagai pendakwah tidak disebut dalam warta berita yang disebarkan ke seluruh dunia. Bagi para wartawan (dan para pembaca akhbar serta penonton televisyen) moral cerita ialah: Berita yang tidak disiarkan ada kalanya sama penting dengan berita yang disiarkan.

Demikian halnya mengenai kem-kem tahanan laskar Serbia pada awal 1990-an Sebilangan wanita Islam berkali-kali dirogol setiap hari, ada kalanya dengan botol dan bersama anak-anak gadis mereka. Yang lelaki pula dipukul hingga mati sambil pengawal-pengawal Serbia menyanyi lagu kebangsaan. Beribu-ribu orang Islam diseksa dan dibunuh.

Kisah ini yang tidak dilaporkan oleh pihak media disebut dalam buku berjudul World on Fire oleh Amy Chua, Sarjana Yale Law School di Amarika.

Maka diulangi: Ada kala berita yang tidak disiarkan sama penting dengan berita yang disiarkan. Malah mungkin lebih.

Tidak semua seperti Amy Chua atau penulis Barat yang berusaha melihat al-Quran dari zaman lampau di Masjid Bukhara dan tercuit hati nuraninya dengan ayat al-Baqarah.

- Penulis ialah konsultan kanan ISIS Malaysia. Pandangan penulis adalah pendapat peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan ISIS.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN