|
KUALA LUMPUR 25 Ogos – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, golongan wanita mempunyai peranan penting dalam pembangunan modal insan yang diperjuangkan pentadbirannya.
Menurut Perdana Menteri, pembentukan modal insan itu adalah dalam bentuk pendidikan dan bimbingan kepada anak-anak mereka agar memiliki budi pekerti, kekuatan, kerajinan dan disiplin untuk berjaya dalam apa jua bidang kelak.
Beliau berkata, dengan cara itu negara dapat mempertahankan kedudukan dalam menghadapi persaingan, cabaran dan permasalahan masa depan.
Berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita 2007 di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini Abdullah turut terkenang jasa arwah ibunya, Datuk Kailan Hassan yang katanya, telah menjaga dan menasihatinya dari kecil sehinggalah beliau berjaya menjadi Perdana Menteri.
‘‘Jasa ibu amatlah besar. Kalau ibu tidak menjaga saya semasa bapa, Ahmad Badawi sibuk dengan parti politik, entah apa akan jadi kepada saya.
“Besar peranan ibu dalam kehidupan seseorang. Tanpa wanita, pembangunan modal insan tidak akan berjaya walaupun (anak-anak) diberi ilmu pengetahuan,’’ katanya.
Abdullah menjelaskan, setakat ini semua wanita yang telah diberikan jawatan penting dalam sektor utama negara tidak pernah mengecewakannya.
Beliau menamakan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, yang diiktiraf sebagai terbaik bukan sahaja di rantau ASEAN tetapi juga dunia.
Menurutnya, Zeti layak mentadbir Bank Negara bukan kerana jantina tetapi kebolehannya yang menyerlah.
Begitu juga dengan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Zarinah Anwar yang telah pun menunjukkan tanda-tanda akan melakukan tanggungjawabnya dengan baik, katanya.
“Jika mahu yang terbaik bagi mewujudkan negara yang ada kemampuan dan kebolehan, perlu pilih yang terbaik walaupun wanita,’’ katanya.
Dalam arena politik pula, Perdana Menteri percaya lebih ramai wanita akan terlibat dalam masa terdekat ini.
Katanya, Shahrizat tidak perlu membuat tuntutan bagi hak-hak wanita kerana jika bersabar, ia akan berlaku jua.
‘‘Tak perlu ada peratusan (penglibatan wanita), itu (peningkatan penglibatan mereka) tetap akan berlaku,’’ tegasnya.
Abdullah menambah, selagi beliau menjadi Perdana Menteri, wanita tidak akan didiskriminasi.
‘‘Saya sebagai pemimpin ingin mengatakan, wanita yang berkemampuan dan berkebolehan akan diberi tempat untuk menyumbang kepada pembangunan negara,’’ jelasnya.
Hadir sama pada majlis itu ialah isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil serta kira-kira 20,000 wanita dari sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
|
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
|
IKLAN@UTUSAN
|