|
UCAPAN terima kasih saya kepada bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar kerana pandangan beliau yang berani mengenai kepincangan dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dewasa ini terutama mengenai perpecahan dalam pasukan dan 40 peratus pegawai polis yang menurut Tun, terlibat dengan rasuah.
Saya yakin kenyataan tersebut dibuat kerana kecintaan beliau kepada PDRM dan bukan kerana ada agenda-agenda tersembunyi.
Tun Haniff bagaimanapun terlupa bahawa budaya sesebuah organisasi bukan sesuatu yang boleh dibentuk dalam sekelip mata.
Ia terbentuk melalui peredaran masa apabila tindakan-tindakan individu dalam organisasi sama ada yang berbentuk positif atau negatif diterima sebagai satu norma dan akhirnya membeku sebagai sebahagian daripada budaya organisasi.
Tun telah mengetuai PDRM selama 20 tahun daripada 200 tahun umur pasukan. Ini telah menjadikan Tun Haniff, tokoh paling lama menjadi orang nombor satu sebuah pasukan polis di dunia.
Ketika beliau berada di puncak PDRM, apa agaknya yang telah beliau lakukan untuk membentuk pasukan polis Malaysia sehingga menjadi sebuah pasukan sebagaimana yang beliau kehendaki pada hari ini.
Kini beliau bersara dengan aman dan menjadi ahli lembaga pengarah beberapa buah syarikat tersenarai.
Baik atau buruk budi bahasa dan budi pekerti anak-anak adalah cermin kepada didikan dan asuhan yang telah mereka (anak-anak) peroleh semasa membesar.
Ia adalah cermin kepada budi bahasa dan budi pekerti ibu bapa yang telah membesarkan mereka.
Tun Haniff adalah bapa kepada PDRM selama tempoh 20 tahun. Apakah yang telah beliau lakukan sebagai seorang bapa untuk setidak-tidaknya mengurangkan jika tidak menghapuskan langsung budaya rasuah, salah laku dan salah guna kuasa dalam pasukan?
Apakah langkah-langkah yang telah beliau ambil untuk menjamin bahawa kepimpinan dan pengurusan PDRM hari ini terletak dalam tangan pegawai-pegawai kanan polis yang berdedikasi, bersih, cekap dan amanah, bukan mereka yang menggunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.
Saya teringin sangat untuk tahu apakah jasa-jasa terbilang yang telah Tun curahkan kepada warga PDRM semasa menjadi Ketua Polis Negara dahulu.
Jangan lupa Tun, bahawa pegawai tinggi polis yang Tun dakwa terlibat dengan rasuah hari ini, satu masa dahulu adalah pegawai rendah polis yang berada di bawah jagaan dan tunjuk ajar Tun sendiri.
Jika kami hari ini, adalah sebuah pasukan yang berpecah-belah, rasuah dan tidak cekap, itu adalah legasi yang telah Tun wariskan kepada kami.
Tun telah meninggalkan kami dengan kelemahan logistik, pengurusan dan keperluan tenaga manusia yang masih belum dapat diselesaikan sehingga hari ini.
Mengapa Tun tidak menghalang dan membasmi reput dalam pasukan daripada merebak semasa Tun berkuasa dahulu?
Pernahkah Tun membela dan melindungi integriti dan maruah kami? Pernahkah Tun melihat kepada hak, keperluan penugasan dan kebajikan kami semasa berkuasa dahulu?
Tun telah meninggalkan kami dengan sebuah rumah yang cantik dari luar tetapi telah teruk dimakan anai-anai dari dalam. Dan sekarang apabila Tun telah bersara dengan selesa, tuan mahu menikam kami dari belakang.
– BAHARUDDIN IDRIS,
Kelana Jaya,
Selangor.
IKLAN@UTUSAN
|