Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 21/08/2007
Iklan kerja: Peraturan digubal hapus prasyarat bahasa Mandarin

Iklan kerja: Peraturan digubal hapus prasyarat bahasa Mandarin

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Kementerian Sumber Manusia akan menggubal peraturan baru yang menghapuskan penggunaan syarat bahasa Mandarin dalam pengambilan pekerja bagi memberi peluang kepada lebih ramai orang Melayu dan India mendapat pekerjaan dalam sektor swasta.

Timbalan Menterinya, Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, kementeriannya memandang serius tindakan sesetengah majikan sektor swasta yang mengenakan syarat pengambilan pekerja mesti di kalangan pemohon yang menguasai bahasa Mandarin.

Menurut beliau, peraturan baru itu perlu digubal dan dilaksanakan secepat mungkin bagi mengelakkan wujud persepsi sesetengah pihak bahawa terdapat diskriminasi antara kaum dalam sektor pekerjaan di negara ini.

‘‘Kita akan mengemukakan perkara ini ke mesyuarat Kabinet bagi membolehkan peraturan baru itu dilaksanakan secepat mungkin.

‘‘Kita akan wajibkan semua syarikat swasta di seluruh negara mematuhi peraturan baru tersebut yang akan digubal dalam masa terdekat,’’ kata Abdul Rahman kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam yang mahu syarikat-syarikat swasta di negara ini tidak menjadikan penguasaan bahasa Mandarin sebagai syarat pengambilan pekerja.

Abdul Rahman menyelar sesetengah majikan sektor swasta yang menjadikan bahasa Mandarin sebagai syarat sebelum mengambil pekerja.

Beliau menyifatkan tindakan mereka itu boleh menyekat peluang bumiputera untuk mendapatkan pekerjaan.

Katanya, kebanyakan graduan dari institusi pengajian tinggi (IPT) terdiri daripada golongan bumiputera.

“Jika syarat itu dikenakan, banyak graduan bumiputera tidak berpeluang bekerja dalam sektor swasta.

‘‘Keadaan ini akan menyebabkan ramai graduan bumiputera menganggur,” katanya.

Menurut Abdul Rahman, tindakan tegas akan diambil jika Kementerian Sumber Manusia mendapati ada majikan yang masih berdegil dengan terus mengenakan syarat penguasaan bahasa Mandarin dalam iklan-iklan kerja syarikat mereka.

Majikan sektor swasta, katanya, perlu memahami dasar kerajaan yang mengutamakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN