|
IPOH 19 Ogos – Pekerja kilang dari Vietnam, Quang Ngor Hung, 27, yang terlibat dalam kemalangan bas di Kilometer 229.1, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Bukit Gantang dekat Taiping Isnin lalu meninggal dunia semalam menjadikan angka korban nahas itu meningkat kepada 22 orang setakat ini.
Ngor Hung yang cedera parah di bahagian kepala dan dirawat di Hospital Ipoh di sini meninggal dunia pada pukul 5.20 petang.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Raja Musa Raja Razak ketika dihubungi petang ini berkata, urusan penghantaran pulang mayat Ngor Hung ke Vietnam diuruskan oleh majikannya.
Ngor Hung ialah pekerja kilang Eastern Asia Industries (M) Sdn. Bhd. di Sungai Petani, Kedah.
Sebelum ini dua lagi mangsa termasuk kanak-kanak Indonesia berusia tiga tahun, Abdul Karim H. Abu Bakar meninggal dunia di Hospital Taiping.
Dalam nahas jalan raya terburuk pada Isnin lepas, sebanyak 19 penumpang mati di tempat kejadian manakala tujuh cedera parah apabila bas ekspres berusia 20 tahun yang mereka naiki terhumban ke dalam parit sedalam lima meter di Kilometer 229.1, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Bukit Gantang di Taiping.
IKLAN@UTUSAN
|