Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
KORPORAT

ARKIB : 18/08/2007
Pelabur GHope, Sime Darby setuju bergabung

Pelabur GHope, Sime Darby setuju bergabung

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Golden Hope Plantations Bhd. (GHope) dan Sime Darby Bhd. (Sime Darby) hari ini menerima kelulusan daripada para pemegang sahamnya untuk bergabung dalam Synergy Drive Bhd. (Synergy Drive) bagi membentuk syarikat perladangan gergasi kelapa sawit di dunia.

Keputusan itu dicapai pada mesyuarat agung luar biasa yang diadakan oleh kedua-dua syarikat tersebut selepas Kumpulan Guthrie Bhd. mencapai mandat yang sama semalam.

Melalui mesyuarat tersebut, kedua-dua pemegang saham syarikat berkenaan meluluskan cadangan melupuskan perniagaan syarikat kepada Synergy Drive dan pembayaran semula modal untuk menerima pertimbangan memindahkan saham mereka kepada saham Synergy Drive atau menukarkan kepada tunai.

Pengerusi Synergy Drive, Tan Sri Md. Nor Yusof dalam kenyataannya di sini berkata, kelulusan yang diperoleh oleh pemegang saham itu membuktikan keyakinan mereka terhadap entiti baru itu dan ia adalah penting dalam penubuhan Synergy Drive.

‘‘Rundingan telah pun selesai dan ia telah membuka jalan bagi penggabungan itu,’’ katanya.

Ketua Eksekutif Kumpulan GHope, Datuk Sabri Ahmad berkata, sokongan daripada pemegang saham syarikat itu menggambarkan keyakinan terhadap penggabungan itu dan masa depan entiti baru tersebut.

Mengulas mengenai kemungkinan langkah pengurangan pekerja dilaksanakan setelah penggabungan dibuat, Sabri berkata, perkara tersebut akan ditentukan dalam entiti baru kelak.

‘‘Kami telah memeterai perjanjian khidmat perniagaan (BSA) yang menyatakan kesemua kakitangan akan diambil bekerja di dalam Synergy Drive untuk sekurangkurangnya setahun sebelum sebarang penstrukturan semula kakitangan dibuat,” katanya.

Synergy Drive dijangka mempunyai 107,000 kakitangan apabila aktiviti penggabungan yang dijadualkan selesai pada suku keempat tahun ini.

Dalam sidang akhbar berasingan, Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Ahmad Zubir Murshid berkata, sokongan kuat daripada para pemegang saham itu menunjukkan mereka yakin dengan langkah penggabungan itu.

Beliau yang juga Ketua Eksekutif Synergy Drive berkata, tujuh syarikat di bawah gabungan syarikat-syarikat terbabit akan dinyah senarai menjelang akhir Oktober ini dan Synergy Drive akan disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia.

Synergy Drive adalah syarikat khas (SPV) yang ditubuhkan pada November 2006 dalam usaha menggabungkan syarikat-syarikat khususnya dalam sektor perladangan di bawah Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).

Entiti baru itu juga bakal memiliki modal pasaran sebanyak RM46.9 bilion menjadikannya sebagai syarikat senaraian terbesar di Bursa Malaysia berdasarkan harga saham syarikat-syarikat terbabit pada 6 Ogos lalu.

Saham Sime Darby kini mengalami peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding RM31 bilion ketika penggabungan itu diumumkan November tahun lalu.

Mengenai strategi perniagaan Sime Darby, Ahmad Zubir berkata, syarikat itu akan memberi fokus dalam segmen perladangan dan hartanah sementara tiga perniagaan lain akan dipastikan selari dengan potensi pertumbuhan perniagaan di rantau ini.

‘‘Kesemua lima perniagaan Sime Darby menunjukkan prestasi yang baik tetapi kita akan mengkaji semula tumpuan dan fokus syarikat selepas tiga tahun,’’ ujarnya.

Tambahnya, Sime Darby juga berminat membuat pelaburan untuk meningkatkan jumlah ladang khususnya di Indonesia.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN