Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 17/08/2007
Umat Islam perlu bersatu kuasai ilmu – Seri Paduka

Umat Islam perlu bersatu kuasai ilmu – Seri Paduka


Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Tuanku Nur Zahirah diiringi Dr. Abdullah Md. Zin (kiri) menemui qari dan qariah semasa merasmikan majlis Tilawah Al-Quran peringkat Antarabangsa Ke-49 di PWTC, malam tadi.


KUALA LUMPUR 16 Ogos – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menggesa umat Islam mempertingkatkan penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang termasuk keupayaan untuk meneroka penemuan baru bagi membolehkan mereka membina pengaruh di peringkat dunia.

Seri Paduka bertitah, umat Islam yang berjumlah lebih 1.4 bilion orang juga perlu menghayati ajaran Islam sebenar yang melarang perpecahan akibat perbezaan fahaman dalam agama kerana ia akan memberi ruang kepada musuh Islam untuk terus menindas mereka.

‘‘Beta percaya, umat Islam amat kecewa dan marah dengan tindakan masyarakat Yahudi terhadap saudara seagama khususnya di Palestin. Namun, perkara utama yang perlu difikirkan ialah bagaimana mereka yang hanya berjumlah 14 juta orang mampu memberi tekanan hebat bukan sahaja terhadap umat Islam bahkan dunia.

‘‘Jawapannya, kerana masyarakat Yahudi berjaya menguasai ilmu dan mengutamakan kesepakatan. Dua faktor yang kurang dihayati dan diamalkan sepenuhnya oleh umat Islam sehingga menyebabkan mereka berpecah-belah dan lemah,” titah Seri Paduka.

Tuanku Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-49 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Hadir sama ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin.

Dalam pada itu, Seri Paduka bertitah, umat Islam perlu mengikis sikap mudah berpuas hati dengan kemajuan yang dinikmati sekarang kerana ia tidak kekal lama disebabkan dunia semakin berubah dan cabaran hidup juga bertambah.

‘‘Harapan beta semoga umat Islam di Malaysia tidak mudah leka dengan segala kemewahan yang ada, sebaliknya teruskan usaha bagi membina kemajuan, pembangunan dan peradaban yang memberi manfaat kepada seluruh umat manusia,” titahnya.

Menyentuh mengenai tema tilawah kali ini iaitu Insan Cemerlang Ummah Terbilang, titah Seri Paduka, ia memang relevan dengan cabaran hidup umat Islam sekarang yang memerlukan kepada insan berkualiti serta masyarakat yang dinamik, progresif serta berdaya maju.

‘‘Kejayaan menganjurkan tilawah ini secara berterusan menggambarkan kesungguhan kerajaan untuk meninggikan syiar agama dengan matlamat menghubungkan jasmani dan rohani umat Islam dengan al-Quran yang mengandungi pelbagai mutiara, khazanah dan rahmat,” titah Seri Paduka.

Seramai 67 peserta dari 44 negara mengambil bahagian tilawah kali ini yang akan berlangsung sehingga Rabu ini.

Malaysia akan diwakili oleh qari dari Johor, Aziz Mustakim dan qariah Sarawak, Amnah Ayup yang muncul johan kategori masing-masing pada Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-50 di Melaka pada 23 Julai lalu.

Pada malam ini tiga peserta telah memperdengarkan bacaan mereka.

Peserta pertama ialah Mohamed Nawsar Mohamed Zavahir dari Sri Lanka yang membacakan surah al-Isra’ ayat 70 juzuk 15.

Peserta kedua ialah Shoyunusova Shahnova dari Uzbekistan yang membacakan surah Taha ayat 17 juzuk 16.

Manakala peserta ketiga, Abdul Latip Daud dari Filipina, membaca surah al-Jasiyah ayat 16 juzuk 25.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN