Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
HIBURAN

ARKIB : 13/08/2007
Lisa Suriani heroin baru filem Melayu

Lisa Suriani heroin baru filem Melayu


Lisa Suriani.


Industri filem tempatan sentiasa dihujani pelakon pelapis baru. Terbaru, seorang lagi gadis jelita berjinak-jinak mencuba nasib dalam bidang lakonan.

Jika disebut nama Lisa Suriani Mohamed, 21, mungkin ramai yang tidak dapat meneka siapakah dia. Namun jika khalayak menatap wajahnya pasti ramai yang sudah mengenalinya.

Anak jati Kuala Lumpur ini, sememangnya sudah mencipta nama menerusi bidang pengiklanan.

Antaranya menjadi model produk Maggie, Maxis dan Rexona. Tidak cukup dengan itu, dia juga sudah membintangi beberapa buah drama antaranya Gergasi dan Fobia. Malah gadis comel ini juga pernah memperluaskan cabang seninya menerusi bidang pengacaraan, antaranya X-Fresh TV dan Whoa.

Terbaru Lisa Suriani telah disunting untuk menjadi heroin bagi filem terbaru, I’m Not Single. Filem tersebut merupakan filem kedua arahan Pierre Andre dan terbitan ke-25 MIG Production.

“Saya tahu saya masih baru. Dan saya sendiri tak sangka ditawarkan watak utama. Saya hanya pergi uji bakat untuk filem ini sekali sahaja. Saya bersyukur kerana rezeki menyebelahi saya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem tersebut, di Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Menafikan faktor wajah sandaran utamanya untuk berjaya dalam bidang seni, Lisa berkata: “Memang wajah salah satu faktor, tapi kalau kita tak berbakat pun tak ada maknanyakan? Mungkin ramai pertikaikan kenapa saya terpilih. Maklumlah saya orang baru dalam dunia lakonan. Tapi saya juga sudah berlakon beberapa buah drama. Kiranya, saya adalah juga pengalaman biarpun sedikit. Berilah peluang kepada saya untuk menghiasi industri seni ini.”

Biarpun minatnya dalam bidang lakonan begitu mendalam, namun keutamaan bagi pelajar jurusan undang-undang di Kolej Universiti Help ini, tetap pada pelajarannya.

“Sebenarnya saya tak akan menerima tawaran semudahnya. Saya perlu berbincang dengan mak dan abah serta meminta restu mereka dahulu. Kemudian saya perlu memastikan jadual penggambaran tidak menganggu kelas saya. Pelajaran pun penting juga,” kata anak keempat dari lima beradik ini.

I’m not single - ujian kedua Pierre

Sementara itu, bagi pengarah muda Pierre Andre, pemilihan Lisa Suriani sebagai heroin barunya merupakan pilihan yang tepat.

“Sebenarnya kita perlu tonjolkan bakat-bakat baru dalam filem kita. Jika tidak, kita sendiri akan ketandusan pelakon. Saya yakin dengan bakat dan komitmen yang akan dia berikan.” kata Pierre.

I’m Not Single masih lagi menampilkan filem genre romantik komedi. Bakal menjalani pengambaran pada 11 Ogos ini, filem tersebut merupakan ujian kedua Pierre selaku peng arah.

Jika 9 September lalu, Pierre sanggup memegang dua tanggungjawab iaitu sebagai pengarah dan pelakon, namun untuk filem ini dia lebih senang bertanggungjawab sebagai pengarah saja.

“Pengalaman 9 September banyak mengajar saya tentang kepayahan dan kesusahan untuk memegang dua kerja dalam satu masa. Saya tak mahu terkejar-kejar dan hasilnya menghampakan. Tapi selepas ini insya-Allah, sekiranya sudah bersedia, saya akan memegang dua tugas itu,” katanya.

I’m Not Single turut menampilkan pelakon utamanya Farid Kamil, Intan Ladyana dan Awal Ashaari.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN