VERSI : Mobile | Akhbar Digital
3 September 2014 / 8 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
SASTERA

ARKIB : 12/08/2007

Nasionalisme dalam puisi

PUISI menjadi medium untuk menyatakan perasaan insan. Gejolak rasa yang memahami erti kehidupan, kasih sayang, erti kehidupan, cinta dan pengorbanan menjadi bait-bait yang puitis bercantum dalam puisi.

Melalui kuntum-kuntum puisi yang tinggi nilai estetikanya, Lim Swee Tin mengangkat idea kemerdekaan negara dalam ruang lingkup yang luas dan menyeluruh. Daripada minda pengarang inilah munculnya kuntum-kuntum puisi yang indah untuk dihayati dalam kumpulan Cakerawala Kemerdekaan, sebuah antologi puisi yang diterbitkan khusus untuk menghargai kemerdekaan negara.

Menghimpunkan sejumlah 50 buah puisi yang bertemakan semangat dan perjuangan kebangsaan, sejarah kebangkitan bangsa untuk menuntut dan kemudiannya mengisi kemerdekaan tanah air. Puisi-puisi yang terhimpun dalam kumpulan ini merupakan garapan penyair berkenaan sekali gus mengangkat rasa kecintaan kita yang mendalam kepada negara. Dari sajak pertama yang berjudul Kampung Kami, yang padat tentang pengakuan penyair akan kasihnya kepada tanah tumpah darahnya yang satu-satu ini sebagaimana katanya tempat ‘tumpahnya darah/tumpahnya cinta.’

Sajak-sajak dalam kumpulan Cakerawala Kemerdekaan memaparkan sejarah bangsa yang panjang. Dari kekalahan Melaka kepada Portugis pada 1511, tatkala negara berada dalam pemerintahan penjajah Inggeris, selepas itu Jepun kemudian Inggeris semula, rakyat dan pejuang-pejuang bangsa yang berani tidak henti-henti memperjuangkan kedaulatan tanah air yang sudah lama terlepas dari genggaman.

Penyair menyelusuri setiap peristiwa ini dengan mengambil natijahnya untuk dijadikan titik renungan anak generasi. Semangat perjuangan para nasionalis sehinggalah pemimpin tertinggi negara dirakam dengan cermat, berhemah dan penuh kesedaran.

Perjuangan memerdekakan tanah air bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak kesengsaraan, nestapa dan banyak pengorbanan yang terpaksa ditempuhi. Generasi selepas merdeka seharusnya menghayati titik-titik yang sukar ini dengan persepsi yang positif.

Bangsa Malaysia yang terbina sebenarnya telah melalui detik-detik yang sangat mencabar. Mereka telah mengharungi toleransi dan kecekalan yang tiada tolok bandingannya. Kalau semua ini dihayati secara yang positif, kita akan sentiasa bersyukur akan nikmat dari pengorbanan nenek moyang para pejuang kita ini tanpa mengira siapakah kita, asal bangsa dan keturunan kita, bahkan agama anutan kita.

Lim Swee Tin kemudian membawa kita menjelajah ruang perjuangan patriotisme oleh pejuang, pahlawan dan nasionalis bangsa yang dikaguminya. Antaranya Maharajalela, Mat Kilau, Bahaman dan banyak lagi yang disifatkannya pencetus kepada perjuangan kebangsaan yang sangat berani.

Kekaguman ini berterusan sehinggalah pemimpin yang terkemudian, seumpama Tunku yang memperjuangkan kemerdekaan negara. Pengisian kemerdekaan selanjutnya dalam berbagai-bagai dimensi dibicarakan dengan halus tetapi mendalam.

Puisi Jejak Perdana misalnya mengupas perjalanan empat Perdana Menteri terdahulu dalam mengisi kemerdekaan tanah air. Manakala, puisi-puisi lain umumnya mengajak kita mencintai negara ini dengan sepenuh hati.

Melalui puisi Warga Malaysia yang dianggap paling menarik, sebagai contoh, penyajak mengajak seluruh rakyat memahami erti kemerdekaan. Lim Swee Tin mengambil semua aspek yang sempat dijangkau dek imaginasinya dalam memperkatakan semangat nasionalisme yang kental di jiwanya dan di jiwa rakyat Malaysia seluruhnya.

Selain perjuangan kebangsaan, tema bahasa, budaya, pengorbanan tentera yang disifatkannya pahlawan bangsa, tokoh pimpinan, Wawasan 2020, jasa individu-individu yang banyak memberi idea dalam melestarikan kemerdekaan dan kedaulatan. Tidak dipinggirkan juga soal tentang perpaduan, dan semangat keharmonian yang tinggi yang menjadi teras kesejahteraan hidup di negara ini.

Penyair juga menyeru setiap rakyat tampil mempertahankan kemerdekaan negara dari apa-apa juga bentuk ancaman dalam dan luar, sama-sama menyanyikan lagu kedamaian dan kemakmuran ekonomi yang dinikmati, seterusnya meletakkan Malaysia di kedudukan yang tertinggi di mata dunia.

Lim Swee Tin, pengarang buku ini merupakan pengarang yang sudah pun bertapak kukuh di arena kesusasteraan Melayu sejak tahun 1970 lagi.

Sejak kecil beliau turut serta dalam pelbagai kempen perjuangan bahasa, sehinggalah jiwanya amat teguh dalam mempertahankan kedaulatan dan keutuhan bahasa Melayu.

Beliau bersekolah Melayu dari darjah 1 hinggalah ke peringkat Ph.D. Kecintaan dalam bidang kebahasaan menanjakkan minat dan kecenderungannya dalam bidang kesusasteraan Melayu. Bahasa yang digunakan pengarang untuk menggarap tema kebangsaan dan kemerdekaan mudah dan indah.

Ini merupakan satu keistimewaan Lim Swee Tin yang jarang ada pada pengarang-pengarang lain. Di samping mengemukakan isi yang besar lagi penting, Lim mahu berkomunikasi dengan masyarakat pembaca secara yang sehabis luas. Dengan itu, garapannya mudah difahami.

Tetapi, pada waktu yang sama, beliau amat menjaga estetika karyanya. Pemilihan kata- katanya teliti dan cermat.

Setiap kata yang dipilih dan digunakannya bagaikan berjiwa. Baris-barisnya segar, menarik dan boleh membangunkan emosi kita. Rangkap-rangkap sajaknya memberangsangkan. Dan, di sana sini, Lim menyuntik bahasa seninya yang tinggi sehinggakan pembaca yang membaca atau mendeklamasikan puisi-puisinya akan berasa seolah-olah mereka sedang mendeklamasikan puisi karya mereka sendiri.

Keupayaan pengarang membangkitkan semangat patriotisme sesiapa sahaja yang membaca karyanya dalam kumpulan ini sangatlah terpuji. Minda Lim Swee Tin dalam banyak hal sangat positif. Dia menangisi tekanan pihak penjajah. Dia menyanjung semua pemimpin negara yang amat dikasihinya.

Beliau menyayangi bahasa Melayu. Maka tidak hairan jika ada yang menganggap “Lim Swee Tin lebih berjiwa Melayu dari orang Melayu sendiri.’’

Dia mencintai keamanan dan keharmonian hidup. Semua rakyat seolah-olah sahabat dan saudaranya. Dia membenci permusuhan, sebaliknya mahukan perpaduan yang abadi dan berkekalan.

Segalanya dilakukan demi menghadiahi kita sejambak karya yang menakjubkan sempena sambutan 50 tahun kemerdekaaan Malaysia ini. Sajak-sajak dalam kumpulan Cakerawala Kemerdekaan amat sesuai, malahan mesti menjadi bacaan wajib bagi semua rakyat Malaysia.

Bukan sahaja menjelang sambutan Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia yang ke-50 pada 31 Ogos ini. Gugusan sajak-sajak yang terhimpun dalam Cakerawala Kemerdekaan ini wajar dihayati berterusan oleh segenap lapisan masyarakat.

Kumpulan puisi ini juga sesuai ditempatkan di semua perpustakaan di seluruh negara, dikirim ke kedutaan-kedutaan dan pusat-pusat pelajar di luar negara.

Cakerawala Kemerdekaan merupakan penghasilan cemerlang anak bangsa yang memuja tanah airnya, menghargai jerih payah perjuangan pejuang-pejuang silam, meletakkan tinggi sesiapa sahaja yang memberi keringat dan air mata untuk kedaulatan negara tercinta, Malaysia.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:51
Zohor 1:16
Asar 4:22
Maghrib 7:20
Isyak 8:29


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
PRK Bukit Gelugor
Utusan Live di PRK Parlimen Bukit Gelugor
PRK Teluk Intan
Utusan Live di PRK Parlimen Teluk Intan
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.