VERSI : Mobile | Akhbar Digital
1 Oktober 2014 / 6 Zulhijjah 1435  
  Carian Arkib
KESIHATAN

ARKIB : 12/08/2007

Alahan susu atau intolerans laktosa?

KITA tinggalkan sekejap tuding-menuding dalam isu keracunan susu yang semakin menjadi-jadi di kalangan murid-murid sekolah selepas meminum susu yang dibekalkan menerusi Program Susu Sekolah.

Lebih baik kita jaga diri sendiri dengan meningkatkan kesedaran mengenai susu dan masalah-masalah yang berkaitan dengannya - mengambil ‘semangat susu’ yang sedang hangat diperkatakan sepanjang minggu ini.

Selain keracunan susu yang mungkin berpunca daripada pelbagai faktor termasuk proses penyimpanan dan penghantaran tidak mengikut aturan sepatutnya hingga menyebabkan ia tercemar, terdapat dua keadaan perubatan berkaitan susu yang berbaloi untuk diberikan perhatian.

Alahan Protein Susu Lembu yang selepas ini akan dirujuk sebagai CMPA sahaja dan intolerans laktosa yang juga boleh menjejaskan tumbesaran dan kesihatan kanak-kanak khususnya, walaupun boleh juga terjadi kepada orang dewasa.

CMPA merupakan alahan makanan yang paling kerap dialami oleh kanak-kanak di Asia, menjejaskan satu daripada setiap 13 bayi.

Pakar Perunding Pediatrik, Dr. Chin Wai Seong ketika berkongsi pengalamannya tentang masalah ini berkata: ‘‘Seperti yang saya lihat di klinik saya sendiri, CMPA semakin meningkat dan keadaan ini amat membimbangkan.

‘‘Ibu bapa perlu diberitahu tentang cara-cara mengenal pasti sama ada anak mereka mengalami CMPA supaya mereka boleh mengambil langkah-langkah perlu untuk menjamin kesihatan anak-anak mereka,” ujarnya.

Dr. Chin berkata demikian pada forum umum mengenai CMPA dan Alahan Makanan di Kalangan Kanak-Kanak anjuran Abbott Nutrition yang bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap keadaan yang boleh mengancam nyawa itu.

Beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar mengawasi gejala-gejala seperti muntah, sakit perut, kolit (kembung), cirit birit, ruam kulit, bunyi nafas berdehit dan batuk yang boleh menjadi tanda-tanda alahan susu.

‘‘Tindak balas ini boleh berlaku dari 45 minit hingga lebih 24 jam selepas kanak-kanak minum susu,” kata beliau.

Jadi, apa pilihannya kepada ibu bapa selain rumusan susu lembu?

Ketua Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Noor Aini Mohd. Yusoff berkata, alternatif kepada protein susu lembu yang digunakan secara meluas adalah rumusan berasaskan soya.

‘‘Ia terbukti memberikan prestasi yang sama dari segi pemakanan berbanding rumusan susu biasa dan dapat diterima dengan baik oleh kebanyakan kanak-kanak CMPA,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan apa yang boleh dijangkakan oleh ibu bapa apabila memberikan anak-anak mereka rumusan berasaskan soya termasuk kesan kebaikannya ke atas bayi yang mengalami cirit-birit dan dermatitis atopik (sejenis penyakit kulit).

Dr. Noor Aini juga memberikan petua-petua bagi memastikan tiada produk susu lembu atau derivatif termasuk di dalam diet kanak-kanak kerana cara terbaik untuk menguruskan alahan makanan ialah dengan mengelakkannya sama sekali.

Sementara itu, seorang ibu, Rosliza Abdul Rahman turut berkongsi pengalamannya yang menguruskan anak lelakinya yang alah kepada susu lembu.

‘‘Saya dan suami mendapati anak kami batuk dan sakit lelah, antara gejala-gejala CMPA. Kami telah dinasihatkan oleh pakar pediatrik (kanak-kanak) kami supaya memberikan dia rumusan berasaskan soya kerana ia alternatif terbaik kepada rumusan susu lembu.

‘‘Kami dapati, Isomil bukan sahaja memberikan pelbagai nutrien (zat atau khasiat pemakanan) penting tetapi juga rasa yang sedap hingga digemari oleh anak kami itu,” terangnya.

Tidak seperti CMPA yang boleh mengancam nyawa anak-anak, intolerans laktosa hanya menjejaskan sistem penghadaman dan kurang berbahaya berbanding CMPA.

Dikenali juga sebagai kekurangan laktase, intolerans susu bermaksud anda tidak mampu mencernakan sepenuhnya gula (laktosa) susu dalam produk-produk tenusu yang anda ambil.

Sekalipun ia selalunya tidak mendatangkan bahaya, namun simptom-simptom intolerans laktosa boleh membuatkan anda berasa cukup tidak selesa kerana menjadikan makan minum sesuatu yang mencabar, memerlukan penggantian sesetengah resipi atau mengelak terus makanan tertentu.

Intolerans laktosa terjadi disebabkan oleh masalah kekurangan laktase iaitu sejenis enzime yang dihasilkan oleh lapisan usus kecil manusia.

Laktase berperanan menguraikan laktosa bagi membolehkan ia diserap ke dalam saluran darah anda. Kekurangan laktase mencetuskan masalah dalam pemecahan dan penyerapan gula susu.

Sesetengah orang yang berpendapat bahawa mereka tidak toleran laktosa sebenarnya tidak mempunyai pencernaan laktosa yang rosak. Dan bukan semua orang yang mempunyai tahap laktase rendah adalah intolerans laktosa.

Hanya individu yang rendah kadar laktasenya dan mempamerkan gejala-gejala seperti cirit-birit, loya, kejang perut, kembung dan angin dianggap intolerans laktosa.

Begitu juga dengan intolerans makanan yang tidak sama dengan alahan makanan. Intolerans laktosa tidak melibatkan sistem imun anda seperti alahan dan tidak semestinya memerlukan rejim mengelakkan sepenuhnya produk-produk susu.

Sebaliknya, anda berupaya mengawal gejala-gejala intolerans laktosa melalui pemilihan diet yang lebih berhati-hati - mengehadkan laktosa tanpa meninggalkan kalsium dan mungkin juga dengan pengambilan suplemen.

Apapun, mengambil sempena Minggu Penyusuan Ibu Sedunia pada 1 hingga 7 Ogos yang baru berlalu, susu ibu tidak syak lagi susu terbaik.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Isomil Plus di talian bebas tol 1-800-88-6233 (Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 6 petang) untuk mendapatkan maklumat mengenai forum awam seterusnya yang akan dianjurkan oleh Abbott Nutrition mahupun untuk mengetahui tentang rumusan susu yang boleh didapati untuk kanak-kanak CMPA.

Apa itu Alahan Protein Susu Lembu (CMPA)

CPMA merupakan sejenis alahan makanan di mana sistem imun tersilap mentafsir protein susu lembu sebagai bahan yang boleh menjejaskan, dan oleh itu mencetuskan tindak balas alahan tubuh yang dimanifestasikan melalui sistem badan seperti kulit, saluran pernafasan dan penghadaman

Insidens

CMPA dikategorikan sebagai alahan makanan yang paling kerap berlaku di kalangan kanak-kanak (antara 0.5 peratus hingga 7.5 peratus dalam golongan bayi). Kebanyakan bayi menunjukkan tanda-tanda CMPA dalam bulan-bulan pertama selepas dilahirkan.

Faktor risiko

* Sejarah keluarga (genetik)

* Tempoh penyusuan ibu eksklusif yang lebih singkat

* Pendedahan yang awal kepada susu lembu

* Cara penyerapan dan pengendalian protein susu lembu

Simptom-simptom

* Kulit (gejala CMPA bayi paling lazim): Ruam; ekzema, dermatitis atopik; gatal-gatal, urtikaria (benjolan gatal berwarna merah)

* Sistem penghadaman/gastrousus: Kolik (kembung dan menangis tidak henti-henti); muntah; cirit-birit 5 - 8 jam selepas makan; najis berdarah; gastroenteritis (radang dalam perut dan usus kecil); proktokolitis (radang kolon dan rektum); sembelit

* Pernafasan: Rinitis alergik/alahan/resdung seperti bersin; asma seperti nafas berdehit, batuk kronik.

Diagnosis

* Doktor akan menanyakan beberapa soalan kepada ibu bapa seperti sejarah keluarga yang mengalami CMPA dan gejala-gejala yang mungkin ditunjukkan oleh si anak

* Penyingkiran diet: Sangat membantu dalam mengenal pasti makanan tertentu yang menyebabkan alahan, elakkan susu lembu sama sekali, digantikan dengan susu soya. Jika gejala hilang, susu lembu boleh dimasukkan semula dalam senarai pemakanan anak-anak untuk melihat sama ada gejala akan muncul semula

* Ujian mencucuk kulit dilakukan di mana doktor akan mencucuk atau mencalarkan sedikit bahagian kulit anak anda sebelum diletakkan dengan sejumlah kecil bahan alahan yang disyaki ke atas kulitnya. Sekiranya timbul benjolan merah yang berasa gatal selepas ujian tersebut, anak anda dianggap alah terhadap bahan tadi. Sehingga kini, ia kekal sebagai standard emas (utama) dalam ujian diagnostik.

Susu rumusan soya

Malangnya, tiada penawar CMPA yang berjaya ditemui setakat ini. Bagaimanapun, ia boleh dielakkan dengan cara mengelakkan sama sekali pengambilan susu lembu termasuklah rumusan separa hidrolisis (jenis susu lembu yang didatangkan bersama-sama molekul protein lebih kecil.

Jika bayi diberikan susu ibu sepenuhnya, ibu yang menyusukan perlulah mengelakkan produk tenusu daripada pemakanan mereka.

Formula berasaskan soya mula diberikan kepada bayi-bayi CMPA pada tahun 1929 oleh Hill dan Stuart, disyorkan sebagai pilihan dan alternatif pertama bagi kanak-kanak dengan keadaan ini.

Ia bukan sahaja selamat digunakan tetapi juga mampu menyediakan nutrisi/pemakanan yang sesuai bagi menyokong tumbesaran dan perkembangan yang sihat sebagaimana saranan Jawatankuasa Nutrisi Pediatrik Akademi Amerika.

Insiden alahan protein soya mencatatkan julat yang rendah - hanya 0 hingga 6.1 peratus. Kajian demi kajian turut membuktikan bahawa prevalens/kekerapan alahan susu soya di kalangan penduduk berada dalam lingkungan 0.5 hingga 1.1 peratus sahaja daripada kesemua bayi. Cuma 7 hingga 14 peratus yang mengalami CMPA alah kepada protein soya.

Ini bermakna, majoritinya ataupun sehingga 86 peratus bayi serta kanak-kanak yang lebih muda dan hidup dengan CMPA boleh diuruskan secara berkesan menggunakan rumusan berasaskan soya.

Prognosis

Rata-rata kanak-kanak CMPA akan beransur-ansur bebas daripada alahan yang mereka alami menjelang usia tiga tahun manakala selebihnya akan kekal dengan keadaan itu sehinggalah dewasa.

Sebanyak 80 peratus daripada penghidap CMPA akan membesar dengannya dalam tempoh lima tahun pertama kehidupan mereka.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:45
Zohor 1:06
Asar 4:16
Maghrib 7:07
Isyak 8:16


 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN



IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.