Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
DALAM NEGERI

ARKIB : 11/08/2007
Nur Hakim tidak perlu merangkak lagi

Nur Hakim tidak perlu merangkak lagi

KUALA LUMPUR 10 Ogos – ‘‘Jika dulu saya terpaksa merangkak dan memerlukan bantuan orang lain untuk bergerak tetapi kini dengan adanya kerusi roda elektronik ini, saya boleh melakukannya sendiri’’.

Itulah luahan hati seorang kanak-kanak kurang upaya, Muhammad Nur Hakim Malik, 10, sebagai tanda terima kasih atas keprihatinan Astro melalui program Gegar U! menyumbang kerusi roda elektronik bernilai RM8,000.

Dalam masa yang pendek sahaja, Nur Hakim dilihat dapat menyesuaikan diri dengan alat bantuan itu.

Ibunya, Faizah Jusoh, 43, berterima kasih atas keprihatinan pihak Astro yang sudi menyumbangkan kerusi roda itu.

‘‘Kini, dengan adanya kerusi roda elektronik ini, saya yakin Hakim dapat melakukan sendiri urusan harian. Malah, dia akan lebih aktif seperti kanak-kanak lain.

‘‘Sebelum ini, pergerakannya terbatas disebabkan tiada alat bantuan untuk memudahkannya ke mana-mana, ‘’ kata Faizah ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Serdang, Seri Kembangan dekat sini.

Muhammad Nur Hakim menghidap sejenis penyakit yang dikenali sebagai ‘Spina Bifida’ sejak lahir iaitu kecacatan pada tulang belakang yang menyebabkannya sukar bergerak.

Spina Bifida adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh masalah tumbesaran tulang belakang dan saraf tunjang. Ia biasanya berlaku kepada bayi dalam kandungan.

Bapa tiri Muhammad Nur Hakim, Ahmad Tajuddin Salleh, 52, pula memberitahu anaknya turut menerima sumbangan sebuah syarikat produk kesihatan akibat luka di kakinya.

‘‘Luka di kakinya semakin beransur pulih sejak menggunakan produk kesihatan itu. Alhamdulillah, kini dia dapat bantuan kerusi roda pula,” katanya.

Program Gegar U! adalah anjuran Yayasan Budi Penyayang Malaysia (Penyayang), Kementerian Pengajian Tinggi, Utusan Malaysia, The Star dan Astro untuk mendorong golongan belia terlibat dalam projek kemasyarakatan.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN