Utusan Online
 
10 Februari 2010 / 25 Safar 1431
  English Version       Arkib Berita     
BERITA UTAMA

ARKIB : 18/07/2007
Cuaca buruk punca nahas

Cuaca buruk punca nahas

KUALA LUMPUR 17 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, nahas membabitkan pesawat Nuri yang mengorbankan enam anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di kawasan Genting Highlands dipercayai berpunca daripada faktor cuaca buruk.

“Laporan awal menunjukkan cuaca buruk adalah faktor terbesar yang menyebabkan nahas itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sambil mengucapkan takziah kepada anggota keluarga kesemua mangsa, Najib berkata, keadaan dan bentuk muka bumi serta rintangan hutan tebal, bukit curam serta ketinggian pokok, telah menyukarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dari udara, yang dijalankan sebaik sahaja pesawat itu dilaporkan hilang Jumaat lepas.

Bangkai pesawat itu ditemui pada 1.24 petang ini. Pesawat itu dilaporkan hilang pada pukul 9.35 pagi, 10 minit selepas meninggalkan stesen udara TUDM di Sungai Besi menuju ke Kuantan.

Najib berkata, bangkai helikopter itu ditemui anggota Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Terendak melalui gerakan darat.

“Pesawat dengan anggota yang terkorban itu ditemui pada pukul 1.24 petang tadi, di lokasi 5 kilometer (km) dari barat laut terowong Genting (Lebuh Raya Karak),” katanya.

Najib berkata, keadaan hutan tebal dengan pokok seperti “kanopi” telah menghalang penglihatan anggota SAR yang menjalankan operasi mencari dari udara di kawasan itu sejak beberapa hari lepas.

Tempat pesawat itu ditemui adalah dalam kawasan lingkungan 60 kilometer persegi yang diberi tumpuan oleh pasukan mencari dan menyelamat sejak hari pertama operasi dijalankan, katanya.

Najib berkata, pada masa ini TUDM sedang berusaha keras untuk membawa keluar kesemua mayat itu dari lokasi kejadian.

Anggota penyelamat kini sedang berusaha membersihkan kawasan hutan berhampiran tempat helikopter itu ditemui, bagi membolehkan pasukan penyelamat mendarat dan membawa keluar kesemua mayat.

Usaha membawa keluar mayat tidak dapat dibuat lebih awal kerana pasukan penyelamat menghadapi masalah untuk menarik dan mengangkat mayat-mayat itu menggunakan tali ke helikopter kerana halangan pokok, selain hutan tebal dan kawasan yang agak curam.

Gerakan mencari dan menyelamat yang dilancarkan serta-merta sebelum ini melibatkan lebih 1,386 anggota dan penggunaan kira-kira 15 pesawat, antara operasi terbesar pernah dijalankan sejak beberapa tahun lepas.

Terdahulu, Najib diberikan taklimat oleh pegawai kanan TUDM di Kementerian Pertahanan yang diketuai panglimanya Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Panglima Operasi TUDM, Datuk Lt. Jen. Rodzali Daud serta pegawai lain berhubung penemuan pesawat dan anggota yang terkorban selain penjelasan mengenai kerja-kerja untuk mengeluarkan kesemua mayat.

Helikopter Nuri itu telah berkhidmat dalam TUDM sejak tahun 1968 dan pada masa ini sebanyak 20 pesawat itu masih lagi beroperasi walaupun telah digunakan hampir 40 tahun.

Menjawab soalan, Najib berkata, Kementerian Pertahanan akan mempertimbangkan untuk meletakkan alat pengesan automatik ke atas semua pesawat TUDM.

Menurutnya, perkara itu boleh dipertimbangkan memandangkan kesemua pesawat moden TUDM dilengkapi dengan alat tersebut.

Add to Google  
IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
 



IKLAN@UTUSAN