|
TERKEJUT dan marah, itulah perasaan saya dan mungkin ramai lagi apabila membaca berita peristiwa Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah terpaksa berjalan kaki sejauh dua kilometer ketika dalam perjalanan menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala FA antara Kedah dan Perlis, kelmarin.
Yang paling menyedihkan, pengalaman pahit itu bukan setakat dilalui oleh Sultan Kedah, tetapi turut membabitkan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizzuddin Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang menumpang motosikal ke stadium tersebut.
Walaupun kita memahami bahawa apa yang berlaku itu di luar jangkaan kerana terlalu banyak kenderaan berduyun-duyun ke arah sama untuk menonton perlawanan itu tetapi persoalannya, kenapa boleh Sultan terheret sama dalam hiruk-pikuk tersebut.
Amat jarang sekali kita mendengar perjalanan Sultan atau Perdana Menteri ke sesuatu destinasi untuk acara penting dan besar tersangkut di tengah jalan hanya kerana kesesakan lalu lintas.
Dan, kita juga merasa hairan bagaimana perancangan awal dilakukan bagi mengelak kesesakan teruk dari berlaku sehingga kenderaan terperangkap sehingga sejauh 20 kilometer.
Pihak berkuasa berkaitan sepatutnya boleh menjangka kesesakan teruk bakal berlaku kerana perlawanan itu membabitkan dua negeri jiran dan tentunya kita boleh meramalkan ledakan jumlah kenderaan dan penonton yang bakal menyaksikan perlawanan akhir itu.
Pulau Pinang perlu belajar dari cara Kuala Lumpur atau Putrajaya mengendalikan acara-acara besar.
Malah, kerajaan Terengganu sendiri melakukan persiapan awal bagi mengelak kesesakan teruk sewaktu berlangsungnya kejohanan kapal layar antarabangsa Piala Monsun di Pulau Duyong.
Bagi saya sebagai anak Kedah, apa yang berlaku melibatkan Sultan Kedah dan Pemangku Raja Perlis itu sukar diterima.
Peristiwa itu seharusnya menjadi iktibar untuk semua pihak terlibat termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
– MOHD. DANIAL,
Padang Sera, Kedah.
IKLAN@UTUSAN
|