|
MEMBACA laporan muka depan Utusan Malaysia semalam, saya begitu kagum dengan kesungguhan Sultan Kedah yang sedia mengetepikan protokol dengan berjalan kaki sejauh dua kilometer ke Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, Sabtu lalu, semata-mata mahu memberi sokongan kepada Kedah pada perlawanan akhir Piala FA.
Pada masa yang sama, Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizzuddin Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang juga penyokong nombor satu pasukan Perlis, turut mengetepikan protokol diraja apabila membonceng motosikal polis untuk ke stadium.
Walaupun terlepas daripada menonton aksi peringkat awal dan mungkin bagi sesetengah orang sudah berputus asa dengan tidak perlu lagi ke stadium memandangkan kesesakan yang amat teruk, namun baginda berdua membuktikan tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan pasukan negeri masing-masing, selain memenuhi jemputan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sebenarnya, saya merasa terpanggil untuk menceritakan pengalaman yang saya alami sendiri terperangkap dalam kesesakan itu.
Menjangkakan mungkin akan berlaku sedikit kesesakan termasuk di atas Jambatan Pulau Pinang, saya mengambil keputusan untuk keluar awal dari rumah di Tanjung Bungah, kawasan Ketua Menteri sendiri, kira-kira pukul 4 petang lagi.
Sebaik sahaja melepasi Jambatan Pulau Pinang, saya tergamam seketika apabila menyaksikan deretan kenderaan yang mula bergerak perlahan yang pada jangkaan saya mungkin disebabkan berlaku kemalangan di lebuh raya menghala ke selatan.
Tetapi ternyata jangkaan meleset sama sekali apabila saya turut diheret sama menempuh kesesakan yang mungkin paling buruk dialami di kawasan itu.
Untuk tiba di Plaza Tol Juru bagi perjalanan kira-kira lima kilometer dari Jambatan Pulau Pinang sahaja mengambil masa lebih sejam, malah sebaik melepasi plaza tol itu, kenderaan hampir tidak bergerak langsung.
Sehingga pukul 8 malam, baru saya melepasi Plaza Tol Batu Kawan, namun kenderaan masih lagi berasak-asak di Bukit Tambun menuju ke stadium.
Ketua Menteri boleh memohon maaf dan memberikan apa juga alasan, namun persoalannya ialah apakah tindakan yang akan beliau ambil bagi mengatasi masalah itu daripada berulang lagi?
Ini kerana kesesakan laluan ke stadium itu kerap berlaku walaupun tidak seteruk Sabtu lalu, ketika berlangsungnya acara-acara seperti Karnival Jom Heboh tahun lepas.
Namun sehingga kini, tidak ada laluan tambahan dibuat menghubungkannya, mungkin atas alasan ia berlaku sesekali sahaja, tetapi itu jelas menunjukkan sikap tidak peka kerajaan negeri yang seolah-olah hanya mahu melepaskan tangan sahaja.
Pada masa yang sama, syarikat pengendali lebuh raya, PLUS Expressway Sdn. Bhd. juga patut dipersalahkan kerana tidak membuat persediaan walaupun FAM telah memaklumkan beberapa hari lebih awal bahawa perlawanan akhir itu akan berlangsung di Batu Kawan.
Namun kegagalan pihak PLUS menambah lorong di Plaza Tol Batu Kawan dan membuka laluan kontra bagi kenderaan lain yang menghala ke selatan, tidak sepatutnya berlaku.
Bayangkan andainya berlaku sesuatu yang mencemaskan, ke mana orang ramai mahu keluar dari Batu Kawan sedangkan hanya terdapat satu sahaja laluan keluar masuk?
Begitu juga jika ditakdirkan Kedah akan bertemu Perlis pada perlawanan akhir Piala Malaysia tidak lama lagi atau kejohanan lain dan FAM memutuskan untuk mengadakannya di stadium berkecuali di luar Lembah Klang, sudah tentu Stadium Batu Kawan menjadi pilihan kerana lokasinya berhampiran dengan kedua-dua negeri itu.
Namun sekiranya tidak ada kesungguhan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah itu dengan tidak menyediakan laluan alternatif seperti stadium-stadium lain yang terbukti mampu menyuraikan kesesakan trafik, lebih baik sahaja FAM mengadakan perlawanan akhir di Stadium Darulaman di Alor Star atau Stadium Negeri di Kangar.
Dan biarkan Stadium Batu Kawan terus kekal sinonim dengan gelaran sebagai projek ‘gajah putih’ atau hanya menunggu projek Jambatan Kedua Pulau Pinang dan pembangunan kawasan perumahan di Batu Kawan menjadi kenyataan terlebih dahulu.
Orang ramai menunggu apa pula alasan kerajaan negeri.
– NANA GERAM,
Tanjung Bungah, Pulau Pinang.
IKLAN@UTUSAN
|