VERSI : Mobile | Akhbar Digital
16 September 2014 / 21 Zulkaedah 1435  
  Carian Arkib
FORUM

ARKIB : 21/06/2007

Sindiket ceti haram masih terus berleluasa

BIARPUN pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak kerajaan untuk menangani masalah ceti haram atau Ah Long, namun hingga kini masalah ini masih gagal ditangani secara serius.

Senario yang jelas dapat kita lihat di seluruh negara ialah sindiket ceti haram terus beroperasi.

Apa yang lebih menarik lagi, jika dulu mereka hanya menggunakan pelekat atau kad-kad perniagaan yang dicampak dan diletakkan pada kenderaan, namun kini, strategi pemasaran sindiket ini semakin canggih.

Sebelum ini, mereka juga telah memperbaharui sistem pemasaran dengan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada para pelanggan.

Kini mereka telah semakin berani dengan memasang kain rentang pula di tempat-tempat awam.

Walaupun saiznya agak kecil namun ia jelas menunjukkan bahawa sindiket ceti haram ini semakin terdesak untuk menggandakan operasi perniagaan mereka.

Di merata tempat kini jelas dapat kita lihat kain rentang yang menawarkan skim pinjaman segera itu. Dengan strategi pemasaran baru ini, maka semakin ramai rakyat Malaysia yang akan terjerat dengan skim haram ini.

Kerajaan sebenarnya boleh bertindak membanteras skim pelaburan haram dengan cepat dan pantas. Namun, mengapakah masalah ceti haram yang telah sekian lama berlarutan masih gagal ditangani dengan berkesan?

Persoalannya ialah ke manakah perginya pihak berkuasa tempatan dalam memantau perkara ini? Sebelum ini kita ada mendengar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkata, bahawa pihak kerajaan akan membanteras sindiket ceti haram Ah Long ini secara lebih serius lagi.

Bahkan, hasrat itu dijangka dapat tercapai apabila sistem pendaftaran talian telefon bimbit prabayar prepaid dilaksanakan pada penghujung tahun lalu. Kononnya dengan adanya sistem tersebut, maka pihak berkuasa juga akan lebih mudah untuk menjejak individu yang terlibat sebagai ceti haram Ah Long ini menerusi talian telefon yang dipaparkan pada kad nama ataupun pelekat yang ditampalkan di merata tempat.

Namun, jika hanya hasrat sahaja tanpa perlaksanaan sudah pasti perkara ini tidak akan berkesan. Apa yang lebih menyedihkan lagi, sindiket ceti haram ini masih terus berleluasa di negara kita.

Persoalannya, siapakah dalang di sebalik kegiatan haram ini? Mengapakah, sindiket ini terlalu sukar untuk dibanteras oleh pihak berkuasa? Apa yang dapat kita lihat, saban hari dan saban tahun semakin ramai mangsa yang terjerat dengan Ah Long.

Berita tentang jenayah peras ugut dan keganasan yang ditimbulkan oleh sindiket ini seolah-olah sudah menjadi rencah kehidupan dalam sebahagian besar rakyat Malaysia hari ini.

Mengapakah isu ini terus berlarutan? Dan siapakah sebenarnya dalang yang berselindung di sebalik Ah Long ini? Inilah yang harus diperhalusi dan disiasat sebenarnya.

Kerajaan tidak perlu menyalahkan orang ramai kerana meminjam daripada Ah Long. Ini kerana, kebanyakan mereka yang membuat pinjaman ini adalah terdiri daripada kalangan individu yang sudah bosan dengan kerenah birokrasi dan syarat-syarat ketat yang diperlukan oleh agensi kewangan untuk mereka membuat pinjaman, terutamanya perniagaan.

Biarpun pelbagai tabung usahawan diwujudkan, namun akibat daripada masalah terdahulu yang timbul di kalangan pe niaga dan usahawan ini, menyebabkan mereka akhirnya terpaksa berurusan dengan kumpulan ceti haram. Masalah seperti nama disenaraihitamkan (blacklist) ataupun gagal menyediakan ‘penjamin’ adalah masalah utama sering menghantui mereka.

Ditambah lagi dengan kelulusan pinjaman yang lewat dengan pelbagai syarat dan alasan yang ketat juga memainkan peranan utama mengapa seseorang individu terjerumus dan menjadi mangsa Ah Long.

Susulan masalah tersebut, maka sebab itulah industri pinjaman ceti haram bertambah pesat kerana ia tidak terlalu mengenakan syarat ketat kepada peminjam.

Jika kerajaan boleh bertindak pantas untuk membanteras skim pelaburan haram, masalah ceti haram juga perlu dihapuskan dengan segera.

Apa yang jelas dapat kita lihat, strategi pemasaran baru sindiket ceti haram ini mula wujud setelah kerajaan mengharamkan sindiket pelaburan Internet baru-baru ini.

– CUCU MAT KILAU,

Kuantan, Pahang.

Kongsi Konten di :

Waktu Solat Kuala Lumpur
 
Subuh 5:49
Zohor 1:11
Asar 4:12
Maghrib 7:14
Isyak 8:23



 

Dengar SuriaFM
Radio SuriaFM Menceriakan Duniamu
Riuh Rio Brazil 2014
Laman web mikro bola sepak Piala Dunia 2014
Tragedi Pesawat MH370
Utusan Live lapor kehilangan pesawat MH370
KE7B Greenland 2014
Laporan Ekspedisi KE7B Greenland Malaysia 2014


IKLAN@UTUSAN

IKLAN@UTUSAN
ePlayer Sukan


MENARIK
Ruang iklan percuma hartanah, produk
Promosikan perniagaan anda kepada dunia.
Jom langgan akhbar Utusan Malaysia
Dapatkan terus akhbar dengan cara mudah.
Aduan sukar dapat naskhah akhbar
Beritahu kami jika akhbar tiada di tempat anda.
Gambar kahwin Album Raja Sehari
Abadikan kenangan indah anda di dada akhbar.
Mari baca Utusan Melayu Mingguan
Kekalkan tradisi, pelajari tulisan jawi.
SMS News Alert Utusan Malaysia
Dapatkan berita terkini di telefon bimbit anda.